Cari @ Amanz

Setahun berlalu dan Xiaomi 12 serta Xiaomi 12 Pro telah dilancarkan di Malaysia dengan reaksi dari pembaca adalah secara majoritinya positif. Kelebihan Xiaomi sejak mereka memasuki pasaran Malaysia ialah harga yang jauh lebih murah berbanding pesaing. Ketika Samsung dan Apple sedang berlumba-lumba menjual peranti RM6000 sebuah, Xiaomi 12 Pro dijual pada harga RM3899 sahaja.

Selama ini ramai yang memaafkan kekurangan peranti Xiaomi kerana harga peranti yang murah ini. Tetapi pada tahun 2022, harga jualan Xiaomi 12 Pro tidak lagi serendah dahulu. Dengan Xiaomi juga kini adalah pengeluar telefon pintar ketiga terbesar dunia, piawaian dahulu tidak lagi boleh digunakan. Oleh itu adakah Xiaomi 12 Pro masih layak dilabel sebagai pembunuh peranti mercu ataupun mereka perlu mempertingkatkan usaha sekiranya serius ingin menjadi pengeluar peranti terbesar dunia menjelang 2024?

Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12 Pro
Skrin6.73″ OLED,
WQHD+, 120Hz, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 UFS 3.1
Kamera Utama50+50+50 Megapixel f/1.9+f/1.9+f/2.2, Zum Optikal 2X, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel
Bateri4600 mAh
Pengecasan berwayar 120W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 3899 (12/256GB)

Sebagai model yang paling mercu dalam keluarga Xiaomi 12 setakat ini (dengan Xiaomi 12 Ultra dilaporkan telah ditangguhkan), Xiaomi 12 Pro tidak lokek dengan skrin yang sesuai dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu. Skrin 6.73″ yang digunakan adalah dari keluarga OLED LTPO yang menawarkan kadar segar semula antara 1 hingga 120Hz secara adaptif. Ini meletakkan teknologi skrin 12 Pro setanding dengan yang ditemukan pada S22 Ultra yang telahpun ditawarkan di Malaysia.

Skrin melengkung sedikit pada bahagian sisi sama seperti pada S22 Ultra cuma dengan bucu yang lebih dibulatkan. Wajah peranti tidak banyak berbeza dengan Xiaomi 11 Ultra cuma ia masih mempunyai lubang keram berbentuk bulat di hadapan. Xiamo belum bersedia menggunakan teknologi kamera bawah skrin pada siri 12 Pro tahun ini.

Satu kelebihan ketara skrin 12 Pro ialah ia menyokong format HDR Dolby Vision yang jarang sekali disokong pada peranti Android. Paparan warna dan keterangan skrin adalah memuaskan dalam tempoh pendek kami menggunakan peranti ini, penstriman kandungan Dolby Vision boleh dilakukan menerusi aplikasi Netflix tetapi tidak pula pada Disney+ Hotstar. Sedikit aneh kerana Xiaomi 11 Lite 5G NE disokong kedua-dua platform penstriman ini tahun lalu. Besar kemungkinan sokongan akan diberikan menerusi kemas kini selepas peranti dilancarkan kelak.

Sungguhpun begitu skrin memang cantik, terang dan tajam dengan isu kami hanyalah ia masih menggunakan pengimbas cap jari dari jenis optikal. Pengimbas ini tidak begitu pantas dan kadang kala tidak mengesan jari sekiranya basah. Perkara positif mengenai pula ialah kedudukannya yang agak tinggi menjadikan proses mengimbas cap jari selesa tidak seperti yang kami alami pada peranti Realme 9 Pro+ sebelum ini. Ia juga hadir dengan pengimbas nadi terbina. Jika anda mahu mengimbas nadi letakkan sahaja jari pada pengimbas dan mengakses ciri Heart Rate yang disertakan.

Tubuh diperbuat daripada logam dan kaca panel bahagian belakang. Tetapi ikhlas kami katakan panel belakang peranti hitam yang kami ulasan ini terasa lebih mirip polikarbonat dengan tubuh terasa rompong. Panel mempunyai kemasan kasar yang tidak berkilat dan hasilnya ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Bingkai logam terasa premium di dalam tangan dan hasilnya ialah Xiaomi 12 Pro sangat selesa digunakan walaupun peranti mempunyai tubuh yang agak besar.

Peranti ini juga terasa berat di dalam tangan yang meningkatkan lagi pengalaman ia sebagai sebuah peranti mercu premium. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi sebelah kanan. Ianya tegap dan terletak pada lokasi yang mudah diakses.

Pemancar infra merah diletakkan pada bahagian atas bersama dengan kekisi speaker. Ya peranti ini dilengkapi pembesar suara stereo Harman Kardon dengan kedua-duanya menembak ke sisi bagi menawarkan kekuatan audio yang seimbang. Sistem audio Dolby Atmos turut disertakan sekali dan ia boleh digunakan dengan speaker. Akhir sekali sebuah talam dwi-SIM nano dan port pengecasan USB-C diletakkan pada bahagian bawah. Seperti hampir kesemua peranti mercu moden, tiada bicu audio 3.5mm atau slot kad mikro SD disertakan pada Xiaomi 12 Pro.

Bonggol peranti masih lagi besar seperti tahun lalu dengan salah satu lensa lebih besar dari dua yang lain. Ini sekadar kosmetik dan ilusi optik kerana saiz lensa sebenar pada ketiga-tiga sensor sebenarnya sama. Gimik tahun ini nampaknya menggunakan lensa luaran lebih besar dari saiz sebenar yang dipopularkan oleh Apple 13 Pro Max tahun lalu.

Akibatnya bonggol kamera adalah besar dan membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Nasib baik Xiaomi memberikan sebuah kerangka lutsinar dengan setiap pembelian bagi memastikan bukan sahaja lensa kamera terlindung dari sebarang kerosakan tetapi juga bonggol logam yang agak ketara ini.

Dari segi spesifikasi pula Xiaomi 12 Pro ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 sama seperti Xiaomi 12. Ini ialah cip kelas mercu lapan teras 4nm dengan 1x teras Cortex-X2, 3X teras Cortex A710 dan 4x teras Cortex-A510 yang dipadankan pula dengan GPU Adreno 730. Ini ialah cip terbaik boleh digunakan pada peranti mercu Android setakat ini.

Cip padu dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 256GB UFS 3.1 untuk pasaran Malaysia. Jika RAM anda rasakan tidak mencukupi, ciri RAM Extension boleh menambah 3GB lagi memori secara maya. Xiaomi tidak membawa masuk model dengan 8GB RAM dan storan 512GB ke Malaysia. Pilihan yang agak terhad sedangkan peranti tidak menyokong kad mikro SD. Kami ingin merungut kerana selepas menggunakan peranti pintar lebih sedekad, fail-fail lama dari peranti terdahulu semakin banyak dan storan 256GB pada hemat kami sudah boleh dianggap kurang memadai.

Kamera utama memadankan lesan sudut lebar 50MP, telefoto 50MP dan ultra sudut lebar 50MP. Sokongan zum optikal ialah sehingga 2X dan digital pula sehingga 20X sahaja kerana ketiadaan sistem periskop. Hanya lensa sudut lebar sahaja nampaknya menggunakan sistem penstabilan imej optikal OIS. Di hadapan pula kamera swafoto menggunakan sensor 32MP.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 4600 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W menerusi port USB-C. Pengecas ini disertakan sekali dengan setiap pembelian dan oleh itu bakal pembeli tidak perlu berbelanja lebih. Aneh sekali pengecas masih lagi menggunakan kabel USB-A ke USB-C. Pengecas yang dibekalkan mempunyai saiz yang cukup besar dan juga berat. Kelebihannya ialah kerana output kuasanya yang tinggi, ia turut boleh digunakan untuk mengecas komputer riba sekiranya diperlukan.

Pengecasan nirwayar ialah sehingga 50W yang juga adalah lebih pantas dari kebanyakan peranti secara berwayar. Tidak berakhir di sini peranti turut boleh melakukan pengecasan nirwayar berbalik dengan output kuasa 10W.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah menyokong rangkaian WiFi 6, Bluetooth 5.2, dan kesemua sistem GPS. Sedikit aneh tiada langsung sebarang piawaian kalis air pada sebuah peranti mercu ini sedangkan kami merasakan ia sepatutnya wajib disertakan. Pakej menjadi semakin lengkap dengan sokongan sistem audio Dolby ATMOS menerusi pembesar suara stereo. Rangkaian 5G Sub 6GHz juga disokong dan akhirnya boleh digunakan dengan 5G kini mula ditawarkan di Malaysia walaupun masih terhad.


Penggunaan Dan Perisian

Android 12 dipadankan dengan pelancar MIUI 13 dengan antaramuka yang paling ceria digunakan pada peranti Android. MIUI menarik kerana menawarkan ikon yang beranimasi serta pelbagai ciri tambahan yang tidak disertakan pada Android stok. Harus kami akui sedap mata memandang MIUI 13 kerana rekaannya kini semakin matang tidak lagi sekadar ingin mengajuk estetik iOS.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, kemas, dibulatkan dengan warna yang terang. Penggunaan terasa lancar kerana skrin menyokong kadar segar semula 120Hz. Kami tidak sedari sebarang insiden kadar bingkai tersekat-sekat ataupun aplikasi gagal dilancarkan. Dengan spesifikasi tahap mercu, pengalaman menggunakan Xiaomi 12 Pro turut terasa mercu.

Isu yang masih ada ialah perkara berbangkit pada kesemua peranti MIUI sejak berkurun lamanya iaitu paparan iklan banyak dalam aplikasi. Setiap satunya diaktifkan secara lalai dan perlu dimatikan satu persatu secara manual oleh pengguna. Xiaomi masih belum mengotakan janji untuk membuang semua bentuk pengiklanan dalam antaramuka MIUI.

Antara ciri menarik pada MIUI 13 adalah seperti berikut.

  • Control Center Style – Mengubah antaramuka talam notifikasi dan pintas pantas
  • Sidebar – Talam sisi untuk melancarkan aplikasi kegemaran.
  • Floating Windows – Aplikasi dilancarkan dalam tingkap yang terapung pada skrin.
  • Second Space – Melancarkan dua aplikasi yang sama dengan akaun berbeza.
  • Lite Mode – Mod ringkas untuk warga tua dengan ikon yang lebih besar.
  • Heart Rate – Menjejak nadi menggunakan pengimbas cap jari.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah kedua paling tinggi pernah dilihat pada peranti Android dengan markah teratas dicatatkan Xiaomi 12 hanya beberapa hari lalu. Markah penanda aras Xiaomi 12 Pro adalah seperti berikut.

  • Geekbench 5 – 1220/3506 Markah
  • Antutu 3D – 950,056 Markah

Markah yang dicatatkan Xiaomi 12 Pro adalah sedikit lebih tinggi berbanding Galaxy S22 Ultra juga dengan Snapdragon 8 Gen 1 iaitu 1217/3360 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 917,034 markah dalam ujian Antutu 3D. Sebagai perbandingan lagi Apple A15 Bionic mencatatkan 1716/4678 markah dalam ujian Geekbench 5 dan 789,647 dalam ujian Antutu 3D. Dari segi kemampuan GPU, jelas Snapdragon 8 Gen 1 mempunyai kelebihan dan sebaliknya pula dalam ujian CPU.

Dalam penggunaan harian kami tidak menghadapi sebarang isu langsung dengan Snapdragon 8 Gen 1. Tiada pemanasan melampau semasa mengambil gambar sekadar suam (yang sama seperti Galaxy S22 Ultra dan iPhone 13 Pro Max). Memainkan permua juga kami rasakan suhu yang dijana tidaklah melampau sehingga peranti tidak selesa dipegang. Permua tahap premium seperti Genshin Impact dan COD Mobile boleh dimainkan pada tahap visual tertinggi dengan kadar bingkai yang tinggi. Jike prestasi dicari, Xiami 12 Pro ialah peranti yang dinanti.


Telefoni dan GPS

Menggunakan panggilan telefon menggunakan rangkaian LTE adalah memuaskan, jelas dan tanpa sebarang masalah. Jika syarikat telekomunikasi anda menyokong VoLTE dan panggilan menggunakan WiFi kualiti panggilan kami rasakan adalah lebih baik dan jelas. Kami tidak melakukan ujian 5G kerana peranti belum disokong oleh DNB. Sistem GPS adalah pantas tanpa sebarang isu. Pendek kata sebagai sebuah telefon mudah alih, Xiaomi 12 Pro berfungsi cemerlang.


Kamera

Sistem tri-kamera 50+50+50 MP digunakan pada Xiaomi 12 Pro yang menjadikannya lebih baik berbanding 50+8+13 MP yang digunakan pada Xiaomi 11 Pro tahun lalu. Pada bahagian hadapan pula sensor 32MP digunakan untuk kamera swafoto.

Penekanan tahun ini ialah menawarkan prestasi kamera yang lebih seimbang tetapi tanpa sistem zum periskop. Zum digital hanya sehingga 2X dan zum digital pul adalah sehingga 20X. Tetapi kami merasakan kelebihan sebenar Xiaomi 12 Pro ialah kepantasan kamera. Tiada isu shutter lag seperti pada Samsung Galaxy S22 Ultra.

Kami merasakan kerana sensor hanya 50MP dan bukannya 108MP, proses mengambil gambar boleh diambil dengan lebih pantas serta lancar berbanding peranti Samsung. Kami gembira dengan prestasi mengambil gambar Xiaomi 12 Pro yang bukan sahaja pantas tetapi tanpa sebarang masalah pemanasan melampau walaupun dengan sistem kecerdasan pintar diaktifkan.

Isu yang ada adalah imej terhasil kurang konsisten. Dua gambar yang diambil secara berterusan boleh memberikan warna dan keterangan imej berbeza. Sistem HDR pula kadang kala terang kadang kala gelap. Ini bukanlah perkara baharu dan sudahpun kami sedari sejak Xiaomi Mi MIX 2S empat tahun yang lalu. Seperti mana isu iklan dalam aplikasi, hotspot terputus-putus dan notifikasi tidak masuk dengan pantas, isu prestasi kamera juga belum diselesaikan dengan baik selepas beberapa generasi MIUI.

Berdasarkan sampel dapat dilihat prestasi kamera dalam situasi pencahayaan yang baik adalah amat memuaskan dengan imej yang tajam serta penghasilan semula warna yang baik. Kekurangan hanya dapat dilihat apabila kamera perlu melakukan zum melangkaui 4X dan menghasilkan imej yang kelihatan sedikit lembut lebih-lebih lagi di waktu malam. Tanpa sistem telefoto optikal yang tinggi lengkap dengan OIS, prestasi zum peranti adalah sekadar biasa-biasa sahaja. Belum mencapai tahap yang ditawarkan Galaxy S22 Ultra.

Mod malam pula adalah sangat cemerlang. Lebih terang berbanding Galaxy S22 Ultra dan lebih pantas dalam memproses imej. Situasi yang sepatutnya gelap nampak lebih terang dalam gambar yang terhasil. Kekuatan kamera Xiaomi 12 Pro adalah dalam suasana terang, gelap dan pantas berfungsi.

Berikut pula gambar dari mod ultra sudut lebar, zum 2X, zum 10X dan zum 20X. Selepas tahap zum 2X kualiti gambar mula terjejas dan viewfinder bergoyang-goyang. Pada tetapan zum 20X proses mengambil gambar menjadi hampir mustahil kerana viewfinder bergerak terlalu banyak. Diharap pada Xiaomi 12 Ultra kelak sistem OIS disertakan pada lensa telefoto.

Bateri

Sepatutnya dengan bateri 4600 mAh hayat penggunaan peranti hampir sehari boleh dilakukan. Tetapi pada Xiaomi 12 Pro prestasi baterinya adalah agak mengecewakan dengan kemampuan bertahan sehingga 16 jam sahaja pada penggunaan sederhana dengan SOT sekitar 6 jam. Ini adalah jauh dari prestasi peranti mercu setanding yang sekurang-kurangnya menawarkan SOT 8 jam pada penggunaan sederhana.

Tidak diketahui di mana silapnya dengan sistem bateri peranti ini kerana tiada sebarang perubahan dapat dilihat walaupun selepas menggunakan aplikasi Optimiser yang memberikan saranan penjimatan bateri. Nasib baiklah pengecasan 120W disokong oleh peranti ini dengan bateri dicas sepenuhnya dalam masa hanya 25 minit. Amatlah pantas sehingga kami boleh memaafkan kelemahan prestasi bateri. Kepala pengecas diberikan dengan setiap pembelian dan ia cukup berkuasa untuk turut digunakan sebagai pengecas komputer riba.


Audio

Terdapat speaker stereo yang menyokong audio Dolby Atmos. Speaker fizikalnya lantang dan seimbang kerana ditembak ke sisi. Ini mungkin sistem audio terbaik pernah kami lihat pada sebuah telefon pintar sejak HTC One M7. Dolby Atmos boleh digunakan pada speaker fizikal dan aksesori audio yang disambungkan. Kualiti audio masih lagi jelas walaupun pada kelantangan paling tinggi. Perkara yang sama berulang pada aksesori audio cuma lebih baik rasanya kerana terdapat sokongan LDAC.


Pesaing

Xiaomi 12 ProApple iPhone 13 Pro MaxSamsung Galaxy S22 Ultra
6.73″ LTPO AMOLED 2X, 1440 x 3200, 120Hz, DEolby Vision, (521 ppi)6.7″ Super Retina XDR OLED, 11284 x 2778, 120Hz, Dolby Vision, (458 ppi)6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3080, 120Hz, HDR10+, (500 ppi)
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple A15 Bionic (5nm)
2 X 3.22 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Apple GPU 5 TerasAdreno 730
12 GB LPDRR56 GB8/12 GB LPDDR5
256 GB UFS 3.1
128/256/512/1000 GB NVMe

128/256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+50+50 Megapixel (f/1.9+f/1.9+f/2.2) OIS
Kamera Utama
12+12+12 Megapixel (f/1.5+f/1.8+f/2.8), 3D ToF, IBIS
Kamera Utama
108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/4.9+f/2.4) OIS
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airIP68IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4600 mAh (Berwayar 120W)4352 mAh (Berwayar 20W)5000 mAh (Berwayar 45W)
Harga RM3899Harga bermula RM5299Harga bermula RM5099

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Xiaomi 12 Pro
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas 2 pin 120W Xiaomi HyperCharge
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Xiaomi 12 Pro sepatutnya menjadi pemusnah peranti mercu pertama tahun 2022 kerana ia dilengkapi pemproses Android paling berkuasa, saiz RAM yang besar, bateri berkapasiti tinggi, skrin Dolby Vision yang cantik, speaker stereo sebenar dan kamera yang pantas. Ia sangat lancar digunakan dengan permua yang memerlukan kuasa yang tinggi dalam dijalankan tanpa sebarang isu. Rekaan peranti juga sangat cantik dengan terasa premium di dalam tangan. Tetapi perkakasan yang padu tidak lagi mampu menjadikan sesebuah peranti itu perlu dibeli.

Isu pada Xiaomi 12 Pro ialah ia mewarisi isu peranti Xiaomi sebelum ini seperti perisian yang mempunyai pelbagai pepijat, kamera yang tidak konsisten, prestasi bateri yang mengecewakan, dan tiada kemampuan kalis air.

Kami secara peribadi merasakan pada harga RM3899 lebih banyak ciri perlu disertakan. Ia mungkin mampu milik berbanding peranti mercu Apple dan Samsung tetapi masih belum cukup “murah” sehingga kekurangan yang ada boleh dimaafkan. Samsung mampu menawarkan IP67 pada Galaxy A33 yang dijual pada harga RM1499.

Perkakasan yang padu perlu dipadankan dengan perisian yang tidak memilukan. Sebagai pengeluar peranti ketiga terbesar dunia, kekurangan Xiaomi ini tidak lagi boleh dimaafkan sekiranya mereka serius ingin menjadi pengeluar peranti terbesar dunia menjelang 2024.

Pro

  • Rekaan premium dan kemas selesa di dalam tangan.
  • Skrin menyokong Dolby Vision.
  • Snapdragon 8 Gen 1 amat berkuasa.
  • Pengecasan pantas 120W diberikan percuma.
  • Speaker stereo yang seimbang.
  • Kamera yang pantas dengan mod malam yang baik.
  • Harga yang kompetitif.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Prestasi bateri mengecewakan.
  • Prestasi zum kurang memuaskan.
  • MIUI 13 masih berpepijat dan iklan.
  • Kamera tidak konsisten.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd