Cari @ Amanz

AV1 adalah codec percuma royalti, yang merupakan pengganti kepada H.264/AVC. Banyak platform penstriman sudah mula menggunakannya termasuk YouTube dan Netflix serta pelayar web seperti Chrome dan Edge. Codec ini mampu memampatkan fail video menjadi 50% lebih kecil sambil mengekalkan kualiti video agar pengguna dengan akses Internet terhad mudah menstrim kandungan.

YouTube AV1

Terkini, Mozilla dilihat mula menguji sokongan AV1 untuk pelayar web mereka. Buat masa ini ia masih dalam ujian dalaman dan dijangka akan diedarkan kepada Firefox versi 100 yang dijadualkan akan dilancarkan pada 3 Mei akan datang. Akan tetapi pengguna Firefox pada Windows tidak semua akan dapat menikmati ciri ini, kerana Microsoft menyatakan spesifikasi komputer perlulah menggunakan Intel Core generasi ke-11 dan grafik Intel Iris Xe Graphics, NVIDIA GeForce RTX siri 30, atau AMD Radeon RX siri 6000.

Akan datang pada tahun 2023, cip Snapdragon akan mula menyokong codec AV1 ini. Google juga telah mewajibkan peranti Android TV untuk menyokong codec ini bagi memudahkan semua pengguna mereka. Apa kata anda mengenai codec AV1?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd