Tahun ini akan menjadi yang yang pertama kita kembali beraya seperti zaman pra-Covid-19. Pelbagai kelonggaran SOP telah diumumkan dengan tiada lagi halangan untuk pulang ke kampung merentas daerah seperti tahun sebelumnya. Oleh itu keseronokan serta keterujaan Aidilfitri 2022 adalah lebih tinggi berbanding dua tahun sebelum ini.
Seperti tahun-tahun terdahulu, kami di Amanz akan memberikan saranan beberapa peranti yang kami rasakan terbaik untuk Hari Raya 2022. Kita mulakan dahulu dengan Peranti Terbaik Raya 2022 pada harga bawah RM1100. Tetapi sekiranya anda menggunakan telefon terbaik sekalipun, ia tidak bermakna tanpa sokongan pakej Internet yang baik.

Oleh sebab itu, kami menyarankan penggunaan pakej Celcom Xpax Postpaid yang menaja segmen Peranti Terbaik Raya Amanz 2022. Menerusi langganan Celcom Xpax Postpaid dengan kontrak selama 12 bulan, anda dapat memiliki telefon pintar pada harga bermula RM199 sahaja tanpa sebarang caj pendahuluan.
Langganan ini juga menawarkan Internet tanpa had untuk penggunaan media sosial. Jadi anda boleh menstrim pelbagai video di Youtube, menatal ribuan gambar #OOTD di Instagram dan memuat naik status di Facebook ketika semasa Hari Raya Aidilfitra kelak. Anda juga dapat menggunakan sehingga 20GB Internet pantas dengan sambungan yang lancar. Banyak lagi sebenarnya kelebihan yang ditawarkan. Untuk ketahui dengan lebih lanjut, boleh layari laman rasmi Celcom di pautan yang disediakan di akhir artikel.
Kriteria Pemilihan
- Harga mesti di bawah RM1100 sebelum promosi.
- Skrin sebesar 6-inci dan ke atas.
- Prestasi masih memuaskan walaupun kelas pertengahan
- Port pengecasan USB-C
- Menggunakan sekurang-kurangnya Android 11
- Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia
Tempat Ketiga – Samsung Galaxy A23

Samsung juga ada menawarkan peranti pada harga bawah RM1100 tetapi dengan kelebihan yang tidak ditemukan pada peranti pesaing dalam kelas yang sama. Samsung Galaxy A23 kami masukkan sebagai antara peranti pilihan kerana ia hadir dengan Cip Snapdragon 680 yang masih mampu menawarkan prestasi yang baik, sokongan OIS pada kamera utama, bateri yang besar, bicu audio dan penggunaan Android 12.
Jarang sekali melihat peranti Samsung dengan pelbagai ciri di atas ditawarkan pada harga RM999 sahaja. Dengan persaingan semakin sengit dalam kategori peranti mampu milik, Samsung perlu menawarkan peranti yang mampu berdaya saing dan A23 memenuhi kehendak ini. Memang tiada 5G dan skrin TFT tetapi kami rasakan bagi mereka yang inginkan penjimatan kekurangan ini boleh dimaafkan apabila diimbangi dengan kelebihan yang kami senaraikan di atas.
Spesifikasi: 6.6” TFT FHD+ 90Hz, Snapdragon 680 6nm (2X Cortex-A73 2.4 GHz + 6X Cortex-A53 1.9 GHz), 6GB RAM, storan 128GB, 50+5+2+2 MP (Utama), 8MP (Swafoto), 5000 mAh (25W), Android 12.
Harga: RM999 (6/128GB)
Tempat Kedua – Redmi Note 11s 5G

Mustahil untuk bercakap mengenai peranti mampu milik tanpa Redmi. Kami meletakkan Redmi Note 11s 5G kerana ia dijual pada harga RM999. Peranti hadir dengan skrin besar 6.6″ 90Hz, dipadankan dengan cip Dimensity 810 yang membawakan sokongan 5G dan bateri besar 5000 mAh.
Walaupun dijual pada harga mampu milik, Redmi masih menawarkan kamera sudut ultra lebar, bicu audio dan speaker stereo. Kesemua ini sedikit sebanyak memastikan peranti memberikan sebanyak mungkin ciri tambahan bagi memberikan nilai terbaik kepada bakal pembeli.
Spesifikasi: 6.6” IPS LCD FHD+ 90Hz, MediaTek Dimensity 810 6nm (2X Cortex-A76 2.4 GHz + 4X Cortex-A55 2.0 GHz), 6GB RAM, storan sehingga 128GB, 50+8+2MP (Utama), 13MP (Swafoto), 5000 mAh (33W), Android 11.
Harga: RM999 (6/128GB)
Juara – Infinix Zero 5G

Infinix ialah peranti masih baru sahaja memasuki pasaran Malaysia. Mereka menawarkan peranti dengan spesifikasi yang baik tetapi pada harga yang mampu milik. Tahun lalu Infinix Zero X Neo kami senaraikan sebagai antara yang terbaik untuk harga bawah RM1000. Untuk Hari Raya 2022, kami sarankan pula Infinix Zero 5G kerana spesifikasinya yang lebih baik dan menyokong 5G walaupun pada harga yang mampu milik.
Skrin besar 6.78″ 120Hz dipadankan dengan MediaTek Dimensity 900 yang membuktikan zaman gelap MediaTek sebagai cip cap ayam telah berakhir. Kini MediaTek dilihat sebagai pengeluar cip yang mampu berdaya saing pada kos yang jauh lebih rendah. Bukan itu sahaja peranti hadir dengan memori LPDDR5, storan UFS 3.1, kamera telefoto 2X zum optikal dan bateri 5000 mAh yang mampu bertahan sepanjang hari beraya lengkap dengan pengecasan pantas 33W.
Spesifikasi: 6.78” IPS LCD FHD+ 120Hz, MediaTek Dimensity 900 6nm (2X Cortex-A78 2.4 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), 8GB RAM, storan sehingga 128GB, 48+13+2MP (Utama), 16MP (Swafoto), 5000 mAh (33W), Android 11.
Harga: RM1099 (8/128GB)
Baiklah ini ialah senarai peranti-peranti terbaik bawah RM1100 untuk Hari Raya 2022. Untuk peranti lain dalam kelas mercu, premium pertengahan dan nilai terbaik. Sila kembali ke Amanz esok kerana kami akan menerbitkan senarai baharu setiap hari.
Sekali lagi artikel kali ini dibawakan oleh Celcom. Jika anda ingin nikmati pelbagai tawaran menarik yang Celcom Xpax Postpaid yang ditawarkan sempena Raya ini, sila layari pautan di bawah.
