Mengingati iPod Yang Menyelamatkan Industri Muzik, Apple Dan Pemangkin iPhone

Diterbitkan pada Mei 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple menamatkan pengeluaran iPod Touch pagi tadi sekaligus menghentikan produk yang telah wujud sejak 23 Oktober 2001. Selepas hampir 22 tahun, antara produk yang paling penting dalam sejarah dunia teknologi khususnya Apple ditamatkan kerana tidak lagi relevan dengan peredaran zaman.

Bagi mereka yang mungkin terlalu muda untuk melalui zaman kegemilangan iPod, artikel ini akan cuba mengingatkan anda mengapa kami mengatakan iPod adalah antara peranti terpenting pernah dihasilkan. Dalam multimesta yang lain seperti Dr Strange, dunia tanpa iPod adalah amat berbeza dari yang kini kenali.

Evolusi Bermula 23 Oktober 2001

Pada tarikh bersejarah ini mendiang Steve Jobs mengumumkan pemain muzik MP3 pertama dari Apple. Menurut biografi Steve Jobs oleh Walter Isaacson, Jobs mempunyai masalah menggunakan pemain MP3 Rio yang pada waktu tersebut dipasarkan sebagai yang terbaik di pasaran. Jobs, Phill Schiller dan Jon Rubenstein (timbalan presiden kejuruteraan perkakasan Apple) bersetuju bahawa kesemua pemain muzik di pasaran adalah teruk. Bersaiz besar, terlalu berat, storan yang kecil, storan yang perlahan dan dosa paling besar sekali ialah antaramuka yang memeningkan.

Sumber – @Foone

Jobs percaya kepakaran Apple dalam perisian boleh digabungkan dengan kepakaran kejuruteraan mereka untuk menghasilkan pemain MP3 terbaik di pasaran. Apple bernasib baik kerana Toshiba menunjukkan kepada Rubenstein prototaip storan cakera keras nipis dengan kapasiti 5GB hanya sebesar 1.8″. 5GB mungkin kini tidak cukup untuk sistem operasi tetapi adalah cukup besar untuk menampung 1000 lagu MP3.

Dengan segera Apple membeli kesemua bekalan cakera keras kompak ini untuk digunakan pada iPod. Rubenstein juga memborong skrin LCD kecil untuk pemain muzik yang bakal dihasilkan. Perkakasan kemudiannya digabungkan pula dengan perisian yang pembangunannya diketuai oleh Tony Fadell yang sebelum ini bertugas di Philips. Idea pemain MP3 beliau tidak mendapat perhatian di Philips dan selepas mengetahui Apple sedang membangunkan iPod beliau segera berpindah syarikat.

Menurut Fadell cabaran terbesar semasa membangunkan iPod ialah Steve Jobs meminta pasukan yang menghasilkan perisian untuk memudahkan antaramuka. Setiap ciri menurut Jobs perlu boleh diakses dengan hanya tiga klik. Roda navigasi iPod yang ikonik digunakan kerana Jobs tidak mahu pengguna perlu menekan butang berkali-kali untuk menatal ribuan lagu yang disimpan.

Pada 23 Oktober 2001, iPod diperlihatkan kepada umum. Ianya pantas kerana menggunakan sambungan FireWire yang membolehkan 1000 lagu dipindahkan ke dalam iPod dalam masa 10 minit sahaja dan bukannya 5 jam menggunakan sambungan USB yang popular pada waktu tersebut. iTunes dilancarkan pada Januari bulan yang sama dan kini Apple mengawal bagaimana muzik digital boleh diselarikan dengan iPod dengan lebih mudah.

Demam iPod

Walaupun dijual pada harga $399 (bersamaan $647 pada tahun 2022) yang mahal untuk tahun 2021, jualan versi pertama iPod pada suku pertama adalah sekitar 125,000 unit. Jualan adalah rendah kerana iPod hanya boleh digunakan dengan komputer macOS sahaja kerana iTunes tidak ditawarkan pada sistem operasi lain. Phil Schiller kemudiannya berjaya memujuk Jobs untuk menawarkan iTunes pada komputer Windows. Hasilnya jualan iPod mencecah 1 juta unit pada September 2003. Pada tahun 2004, lebih 4 juta unit lagi telah berjaya dijual yang jauh lebih banyak dari keseluruhan jualan komputer Mac pada tahun tersebut. Kempen grafik

Selain penawaran pada Windows, iTunes Store yang dilancarkan pada 28 April 2003. turut menjadi pemangkin kepada jualan iPod yang melonjak naik. Menerusinya lagu boleh dibeli menerusi saluran sah pada harga serendah $0.99 sebuah. Steve Jobs bertarung dengan beberapa syarikat rakaman untuk membenarkan jualan lagu secara berasingan.

Sebelum ini hanya single sahaja dijual secara berasingan manakala muzik lagi harus dibeli dalam bentuk album lengkap. Dengan jualan muzik menjunam teruk selepas Napster, Kazaa, dan Gnutella diperkenalkan, pemilik syarikat muzik tunduk kepada Job dan kini membeli lagu secara berasingan sudah menjadi norma biasa.

Mesej yang disampaikan oleh Jobs ialah gunakan platform kami ini dan dapat sebahagian keuntungan ataupun teruskan amalan lama sehingga industri hancur kerana cetak rompak. Kerana iPod industri muzik berjaya diselamatkan dan kini penstriman menggantikan iTunes. Apple yang pada asalnya enggan menawarkan perkhidmatan penstriman akhirnya akur (seperti syarikat rakaman di awal milenium) untuk mengikut trend semasa. Pembelian Beats Music pada tahun 2014 menjadi batu loncatan kepada pelancaran Apple Music pada tahun 2015 dan penutupan iTunes tiga tahun lalu.

Dari MP3 ke Telefon Pintar Pertama

Tidak melampau untuk mengatakan zaman Renaissance Kedua Apple berlaku kerana jualan iPod membuatkan nama syarikat mula dikenali ramai. Ia tidak lagi terhad kepada golongan penggemar teknologi komputer sahaja. Menerusi iPod, nama Apple berada di tahap yang sama dengan Sony sebagai pengeluar produk komersial untuk konsumer. Saya adalah antara insan yang tidak pernah mengenali jenama Apple sebelum iPod menjadi peralatan elektronik yang perlu dibeli sekiranya ingin kelihatan cool semasa di kolej.

Selepas beberapa iterasi iPod diperkenalkan, Steve Jobs mula memikirkan sudah tiba masanya untuk menghasilkan pula sebuah iPod dengan kemampuan telefon. Seperti yang kami laporan semalam, prototaip awal iPod Phone ialah sebuah iPod dengan roda navigasi berputar dan pad kekunci T9. Di peringkat awal Jobs berkeras sebuah telefon dengan sistem navigasi roda berputar iPod ialah penyelesaian yang baik.

Hanya selepas beberapa percubaan pasukan di bawah kendalian Tony Fadell gagal memberikan pengalaman yang melepasi piawaian Jobs, beliau akur sistem antaramuka yang lebih baik perlu digunakan. Sebuah prototaip tablet dengan skrin sesentuh dan antaramuka berasaskan macOS diperlihatkan kepada beliau. Dengan segera beliau menyedari teknologi ini boleh digunakan pada sebuah telefon.

Macworld 2007 – “Sebuah iPod, telefon dan alat komunikasi Internet”

Ramai mungkin tidak menyedari walaupun iPad dilancarkan pada tahun 2010, ia dicipta lebih awal daripada iPhone yang dilancarkan pada tahun 2007. Tumpuan penuh diberikan untuk menghasilkan telefon pintar pertama dengan skrin sesentuh. Masihkah anda ingat zaman menggunakan telefon dengan papan kekunci fizikal, skrin resistif yang memerlukan stylus dan sistem operasi yang perlahan?

Di Macworld 2007 Steve Jobs mengejutkan dunia apabila beliau mengatakan Apple akan melancarkan sebuah peranti yang merupakan “sebuah iPod, telefon dan alat komunikasi internet” dalam satu. Anjakan paradigma rekaan sebuah telefon pintar bermula dengan iPhone Generasi pertama.

Skrin sesentuh yang mengesan sentuhan 10 jari menjadi standard. Penggunaan rekaan antaramuka skeumorfik dipopularkan. Peranti dengan butang home di hadapan menjadi ikutan ramai. Di peringkat awal iPhone ditertawakan nama besar industri telekomunikasi kerana Apple dilihat sebagai syarikat yang tidak mempunyai pengalaman yang luasa dalam menghasilkan telefon. iPhone terlalu berbeza dengan telefon sedia ada sehingga ada yang meramalkan ini akan menyebabkan pengguna tidak akan membelinya.

Kita kini di tahun 2022 dan 15 tahun selepas iPhone diperkenalkan jelas kesemua keputusan yang diambil oleh Apple pada tahun 2007 menjadi ikutan industri. Pesaing terhampir mereka iaitu Ericsson dan Nokia kini tidak lagi tersenarai sebagai 10 pengeluar telefon pintar terbesar dunia. Dua ramalan Steve Jobs yang menyimpang hanyalah

  • Tiada orang ingin menggunakan telefon pintar dengan stylus
  • Skrin telefon yang kecil hanya memerlukan sebelah tangan sahaja akan menjadi standard.

iPod Touch Ke Apple Watch

iPod turut menjadi pemangkin kepada penghasilan Apple Watch. Selepas iPod Nano Gen 6 dilancarkan pada tahun 2010, ramai pemilik mengubahnya menjadi sebuah jam tangan pintar menggunakan kerangka bertali. Dari sinilah Sir Jony Ive mendapat idea untuk menghasilkan Apple Watch yang kini menjadi jam tangan pintar dengan pegangan pasaran tertinggi di dunia.

Kekurangan iPod Nano Gen 6 seperti bateri yang tidak bertahan lama untuk menjadi sebuah jam tangan dan tiadanya sokongan bluetooth membuatkan pemilik perlu memasang EarPods terus ke pergelangan tangan. Tetapi seperti iPod memberikan inspirasi kepada Steve Jobs untuk menghasilkan iPhone, iPod Nano Gen 6 mengilhamkan pula Apple Watch.

7504 Hari

Tirai Apple iPod telah dilabuhkan selepas 7504 hari dilancarkan dan 26 model dilancarkan. Sungguh tidak disangka sebuah pemain muzik MP3 dengan kapasiti 5GB boleh meninggalkan impak yang cukup besar dalam dunia telefon mudah alih, stor muzik atas talian, penstriman, dan jam tangan pintar. Terima kasih kepada Tony Fadell dan Jon Rubenstein yang merupakan pencipta bersama Apple iPod. Selamat bersara dan ini membuatkan kami ingin bertanyakan kepada anda soalan cepu emas hari ini.

Produk elektronik apakah yang anda rasakan akan mempunyai impak besar kepada dunia teknologi seperti Apple iPod?

komen


© Amanz / 2022 Kami