Carian
Skor Geekbench Nothing Phone (1) Mendedahkan Cip Pemprosesan Adalah Snapdragon 778+
June 23, 2022 Fahim Zahar

Nothing Phone (1) adalah telefon pintar pertama Nothing dan produk kedua selepas TWS mereka Nothing Ear (1). Peranti ini dilihat berjaya menjadi perbualan orang ramai dengan memperlihatkan sistem LED yang unik dan berbeza dengan mana-mana pengeluar peranti.

Spesifikasi peranti ini masih misteri. Apa yang kita tahu, skrin adalah AMOLED, menyokong kadar segar semula sekitar 90Hz, menjalankan Nothing OS berasaskan Android 12, mempunyai sistem LED dengan antaramuka Glyph, pengecasan mungkin 45W dan ada dwi-kamera. Binaan pula dikatakan adalah mesra alam, seperti aluminium yang dikitar semula.

Peranti sudah dijangka akan dilancarkan sebagai peranti kelas pertengahan premium. Antara cip pemprosesan yang dijangka akan digunakan adalah Snapdragon 7 Gen 1 atau Snapdragon 778. Terkini, Ice Universe mendedahkan yang peranti ini akan menggunakan cip Snapdragon 778+ selepas menemui rekod dalam sistem penanda aras Geekbench.

Skor satu teras peranti ini adalah 797 dengan skor multi-teras pula adalah 2803. Memori dilihat adalah 8GB RAM. Skor ini adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan cip Snapdragon 870. Jika ada variasi memori 12GB RAM pun, skor masih tidak boleh menjadi tinggi.

Dengan cip ini, harga jualan peranti yang kami jangkakan haruslah setaraf dengan peranti lain dengan spesifikasi lebih kurang sama. Di Malaysia, Samsung Galaxy A73 5G dengan cip Snapdragon 778G dijual pada harga RM2099. Harapnya harga jualan adalah dalam lingkungan yang sama.

Apa agaknya perasaan pengguna yang membida harga peranti ini di StockX sehingga lebih RM11 ribu?

Komen