Xiaomi telah pun mengumumkan pada bulan lalu yang mereka akan bekerjasama dengan Leica untuk teknologi pengimejan. Walaupun mereka tidak mendedahkan peranti apakah yang akan dilancarkan dengan teknologi Leica, maklumat tertiris mendedahkan ia adalah Xiaomi 12 Ultra.
Peranti ini dijangka akan hadir dengan skrin 6.7-inci QHD+ AMOLED LTPO, 120Hz, dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 512GB UFS3.1. Untuk kamera, di belakang akan hadir dengan sensor 50MP (OIS) + 48MP (sudut ultra lebar) + 48MP (periskop, zum 5x), ToF, menyokong laser autofokus serta kamera hadapan 20MP. Peranti akan menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 12, mempunyai bateri 4,800mAh dengan pengecasan pantas 67W dan pengecasan nirwayar pantas 50W.
Xiaomi hari ini menyatakan yang pengimejan pada peranti mudah alih dan rakaman video menjadi semakin penting untuk semua orang. Pada bulan Julai akan datang, akan ada produk baharu dilancarkan memfokuskan pada video dan juga fotografi.
Dalam siaran di Weibo, Xiaomi turut kongsi poster Xiaomi dan Leica dengan kenyataan era baharu pengimejan akan tiba pada Julai nanti. Jika ia adalah apa yang kita semua sangkakan, Xiaomi 12 Ultra akan dilancarkan tidak lama lagi.