Nothing Phone (1) Mungkin Dijual Bermula Sekitar RM1700

Diterbitkan pada Jun 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Nothing Phone (1) adalah telefon pintar pertama daripada Nothing, iaitu syarikat startup yang ditubuhkan oleh Carl Pei yang terkenal dengan peranti OnePlus sebelum ini. Peranti ini disahkan adalah peranti kelas pertengahan premium dengan binaan aluminium dan plastik yang dikitar semula. Keunikan peranti ini terlekat pada rekaan yang lutsinar di belakang dan juga sistem LED yang nampak unik.

Spesifikasi peranti dan harga jualan masih lagi menjadi tanda tanya orang ramai. Walaupun spesifikasi masih lagi misteri, lebih 150,000 orang telah mendaftar minat dan ada juga meminta untuk miliki peranti ini sehingga harga belasan ribu Ringgit.

91Mobiles baru-baru ini telah mendedahkan spesifikasi penuh peranti ini dan juga harga jualan untuk pasaran di India. Nothing Phone (1) dilihat mungkin akan hadir dengan tiga variasi iaitu 8/128 GB pada harga INR31,000 (sekitar ~RM1727), 8/256 GB pada harga INR32,000 (sekitar ~RM1783) dan 12/256 GB pada harga INR36,000 (sekitar ~RM2006).

Peranti ini dikhabarkan akan menggunakan skrin OLED 6.55-inci 120Hz, dijana dengan cip Snapdragon 778G+ yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dengan sokongan memori maya dan storan dalaman UFS 3.1 mencapai 256GB. Dwi-kamera di belakang mungkin akan menggunakan sensor 50+16 Megapixel dan kamera swafoto 16MP. Ia akan hadir dengan bateri 4500mAh dengan sokongan pengecasan 45W serta pengecasan nirwayar berbalik 5W dan menjalankan Nothing OS berasaskan Android 12.

Buat masa ini, peranti ini hanya boleh dibeli di negara-negara Eropah seperti UK, Jerman dan juga India. Jualan di Malaysia masih belum disahkan lagi.

komen


© Amanz / 2022 Kami