Sehingga Hari Ini Sudah Lebih 150,000 Orang Daftar Minat Untuk Memiliki Nothing Phone (1)

Diterbitkan pada Jun 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Nothing adalah syarikat startup baharu yang dibangunkan oleh Carl Pei. Syarikat ini menerima banyak pelaburan daripada pelbagai syarikat teknologi seperti Google, Qualcomm, selebriti seperti Casey Neistat dan turut menerima pelaburan daripada ramai peminat.

Produk pertama mereka adalah TWS, Ear (1) dan tidak lama lagi iaitu pada 12 Julai telefon pintar pertama mereka Nothing Phone (1) akan dilancarkan. Peranti ini dilihat menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai, ada yang suka dan ada juga yang benci sehingga maki.

Keunikan peranti ini terletak pada rekaan dan juga sistem LED di belakang peranti. Spesifikasi lain masih lagi misteri, tetapi peminat Carl Pei yang yakin dengan produk ini sanggup menghabiskan duit sehingga lebih RM13 ribu melalui lelongan 100 unit pertama di StockX.

Nothing Phone (1) turut akan dijual melalui jemputan sahaja, seperti OnePlus One dahulu. Sejak minggu lepas, Nothing sudah mula menjemput pelabur terpilih dan juga ahli komuniti di nothing.community yang layak untuk mula pra-tempah dengan kod jemputan khas. Sementara yang mempunyai akses kepada pautan khas perlu menunggu giliran apabila pra-tempahan dibuka nanti.

Setiap yang dijemput dilihat menerima baucar €20 atau INR2000 iaitu sekitar RM90-RM100 untuk diskaun membeli Phone (1) atau aksesori Nothing. Setakat hari ini, ketika artikel ini ditulis sudah terdapat sebanyak 152,998 orang mendaftar minat dan menunggu giliran untuk pra-tempah.

Jualan peranti ini dilihat akan menjadi terhad di negara terpilih seperti India dan negara-negara Eropah seperti Jerman dan United Kingdom. Tidak pasti lagi bila atau adakah ia akan dijual di Malaysia ataupun tidak. Jika ia dilancarkan, adakah anda ingin beli peranti yang dijangka dijana dengan cip Snapdragon 778+ ini?

komen


© Amanz / 2022 Kami