Cari @ Amanz

Telefon pintar pertama Nothing, iaitu Phone (1) berjaya menjadi perbualan orang ramai selepas mereka mengacah akan hadir dengan rekaan lutsinar, menjalankan sistem operasi Nothing OS yang ringkas dan menjadi lebih hangat apabila MKBHD mendedahkan sistem LED yang akan digunakan pada peranti ini amat unik dan kelihatan gempak.

Spesifikasi peranti ini belum didedahkan secara rasmi, tetapi Geekbench mendedahkan semalam yang ia dijana dengan cip Snapdragon 778+. Permintaan peranti ini agak tinggi, seperti TWS mereka Ear (1). Untuk menghangatkan lagi pasaran peranti ini ia dilelong di StockX dan harga dipinta mencapai lebih RM11 ribu.

Lelongan Nothing Phone (1) telah pun tamat malam tadi dengan harga permintaan terakhir dibida pada harga $2,955 iaitu sekitar RM13,021. Terdapat lapan lagi permintaan lebih daripada $2000 iaitu $2013-$2700, sekitar RM8870-RM11897.

Jika kiraan saya betul, hanya 74 orang berjaya membida dengan harga paling rendah bermula dari $761, RM3353. Ada yang meminta dua unit, ada juga yang meminta untuk mendapatkan sembilan unit seorang pada harga $892 satu, RM3930.

Pelancaran peranti ini adalah pada 12 Julai nanti dan Asia adalah antara pasaran yang Nothing sasar untuk menjual Phone (1). Saya harap jika ia dijual di Malaysia, harga adalah sekitar harga Pixel 6A atau Samsung Galaxy A73 5G iaitu bawah RM2500. Sama-sama kita nantikan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd