Cari @ Amanz

Nothing akan melancarkan aksesori audio baharu mereka iaitu Ear (stick) pada 26 Oktober nanti. Ear (stick) dilihat bukannya pengganti kepada Ear (1), sebaliknya adalah variasi berlainan untuk TWS yang fon telinganya bukan jenis dalam telinga.

Belum lagi dilancarkan, kini sudah ada laporkan mengenai rekaan Nothing Ear (2) pula. Rekaan ini didedahkan oleh 91Mobiles, yang mendakwa Ear (2) mungkin akan dilancarkan dalam masa terdekat. Dari segi rekaan, pod pengecas tidak memperlihatkan sebarang perubahan. Tetapi pada fon telinga, ada perbezaan pada tulisan pada dalam tangkai iaitu daripada Nothing Ear (1) kini hanya memaparkan Ear (2).

Rekaan Nothing Ear (2) secara keseluruhan masih lagi lutsinar pada pod pengecas dengan blok plastik di dalam yang menyembunyikan komponen. Sementara pada fon telinga juga lutsinar yang menampakkan komponen pada bahagian tangkai.

Spesifikasi masih belum diketahui lagi, tetapi Ear (1) hadir dengan pemacu audio 11.6mm jenis dinamik grafena, ditala oleh Teenage Engineering, menyokong codec SBC dabn AAC, hadir dengan tiga mikrofon HD, turut menyokong pembatalan hingar nirwayar, perlindungan IPX4, pengecasan nirwayar Qi dan Bluetooth 5.2. Jadi Ear (2) mungkin akan menawarkan spesifikasi lebih kurang sama dengan penambahbaikan pada kualiti audio.

Harga jualan mungkin akan menjadi lebih mahal, kerana Ear (1) pada 26 Oktober kelak akan mula dijual pada harga sekitar RM700 iaitu hampir lebih RM200 mahal berbanding harga sebelum.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd