Google Messages Dikemaskini Dengan Ikon Baharu – Memfokuskan Kepada RCS

Diterbitkan pada Okt 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google sedang memfokuskan kepada kaedah pemesejan baharu iaitu RCS melalui Google Messages. Mereka yakin RCS adalah kaedah pemesejan yang lebih selamat berbanding iMessage dan turut meminta Apple menyertakan ciri ini.

Bukan itu sahaja, Google turut menyatakan jika tidak ingin menggunakan RCS – WhatsApp juga lebih selamat berbanding iMessage. Kini, Google Messages telah dikemaskini dengan ikon baharu memfokuskan lagi kepada RCS. Selain rekaan ikon baharu, beberapa ciri turut ditambah;

Antara ciri berikut adalah apabila ada pautan YouTube dihantar, pengguna boleh terus tonton video dalam Google Messages. Kemudian kebolehan memberi reaksi emoji kepada iMessage turut dikembangkan. Google Messages turut akan memberi cadangan jika sesuatu mesej itu perlu dibintangkan jika didapati ia adalah mesej penting.

Jika ada teks dengan masa, tarikh dan lokasi – ia turut boleh disimpan dalam Google Calendar, memberi cadangan untuk menjadualkan Google Meet dan banyak lagi. Sokongan transkripsi teks untuk mesej suara turut akan diperluaskan, kini tidak lagi terhad pada Pixel 7 tetapi boleh digunakan pada Pixel 6, Pixel 6a, Samsung Galaxy S22 dan Galaxy Fold4.

Di negara terpilih, RCS turut boleh digunakan dalam kapal terbang jika ada sambungan WiFi. Google turut akan meneruskan penyulitan E2EE pada Google Messages yang dijangka akan selesai pada 2023 untuk menjamin keselamatan dan privasi pengguna.

Google turut menyatakan rekaan ikon baharu ini adalah untuk diselarikan dengan penggunaan tema Material You. Selain Google Messages, Google Contact turut menerima kemaskini ikon baharu dan akan datang Google Phone juga akan menggunakan rekaan lebih kurang sama.

komen


© Amanz / 2022 Kami