#LG

Ulasan – LG DualUp Ialah Monitor Untuk Mereka Yang Berfikir Di Luar Kotak

Diterbitkan pada Nov 15, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat banyak monitor yang tiba di makmal Amanz untuk ujian kami. Setakat ini yang paling unik adalah LG DualUp, iaitu sebuah monitor dengan rekaan segi empat sama yang memfokuskan produktiviti dan ergonomik untuk keselesaan pengguna.

Kami telah menggunakan monitor ini untuk sekitar satu bulan dan kami rasakan ia adalah antara monitor terbaik untuk kegunaan bekerja, lagi-lagi seperti saya yang menulis artikel pada setiap hari. Cuma, adakah rekaan segi empat ini sahih untuk keselesaan atau hanya gimik dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki?


Spesifikasi Dan Rekaan

LG DualUp
Skrin27.6″ IPS LCD,
2560 x 2880 piksel, 16:18, 60Hz
Sokongan Warna1.07 Bilion warna
DCI-P3 98%
HDR 10
Nisbah Kontras700 : 1
Kecerahan300 cd/m²
Masa Tindak Balas5ms
Sokongan Paparan AdaptifTiada
CagakVESA
I/O2x HDMI 2.0, 1x Display Port 1.4
1x USB-C, 2x USB-A, 1x USB UP,
1x port bicu audio 3.5mm
AudioSpeaker stereo 7W Maxx Audio
USB2x USB-A 3.0
Kamera WebTiada
HargaHarga saranan RM 2948

LG DualUp pada awalnya kelihatan amat aneh dan janggal untuk digunakan. LG menggunakan rekaan segi empat dengan nisbah paparan 16:18. Panel skrin yang digunakan adalah 27.6-inci Square Double QHD 2,560 x 2,880 yang mimik dua monitor bersaiz 21.5-inci QHD daripada panel jenis IPS LCD. Monitor ini turut boleh menggunakan mod gambar-dalam-gambar untuk multi-tugasan. Monitor ini juga boleh diubah sudut pandangannya secara ke atas pada kadar sekitar 335 darjah.

Monitor ini menggunakan teknologi paparan HDR 10, 1.07 bilion warna dan DCI-P3 98%. Perkara yang mengecewakan padanya adalah tiada sokongan kadar segar semula tinggi, kerana terhad kepada 60Hz sahaja dan turut tidak menyokong mana-mana piawaian paparan adaptif seperti AMD FreeSync atau NVIDIA G-Sync.

Menariknya LG DualUp hadir dengan speaker terbina yang menggunakan pemacu audio 2x 7W yang ditala oleh WavesMaxxAudio. Untuk sambungan, ia hadir dengan sambungan 1x USB-C yang menyokong pemindahan data serta pengecasan PD 90W, 2x HDMI 2.0, 1x DisplayPort 1.4, 1x USB UP, 2x USB-A 3.0 dan 1x port bicu audio 3.5mm.

LG turut menyertakan sensor cahaya untuk mengubah kecerahan secara automatik dan menggunakan teknologi Live Color Low Blue Light untuk keselesaan dan menjamin kesihatan mata pengguna. LG DualUp adalah sebuah monitor tanpa tapak, tetapi menggunakan pengapit seakan apit-G ke meja. Dengan pengapit ini bukan sahaja sudut pandangan dan ketinggian boleh dilaraskan tetapi ia juga boleh ditolak ke depan dan ke belakang untuk kebebasan penggunaan ruang.

Pengalaman Penggunaan

LG mendakwa rekaan mereka ini adalah lebih ergonomik berbanding monitor konvensional bagi mengelakkan masalah sakit tengkuk. Dalam penggunaan saya yang singkat, saya boleh sahkan dakwaan LG ini. Benar, pada mulanya saya berasa kekok dengan monitor ini kerana ia berada di kedudukan yang agak tinggi. Namun selepas menghabiskan masa sekitar beberapa jam saya mampu membiasakan diri dengan rekaan monitor yang unik ini.

Pertama sekali, saya sambungkan laptop Windows saya melalui USB-C yang boleh terus memaparkan kandungan dan juga mengecasnuya pada masa yang sama. Ini satu perkara yang memudahkan kerana mengurangkan jumlah kabel yang berselirat di meja. Ia juga mesra dengan Windows untuk menyokong paparan HDR tanpa sebarang tetapan perlu dilakukan.

Penggunaan monitor ini rasa seakan menggunakan dua monitor 16:9 melintang yang diletakkan di atas satu sama lain. Saya anjakan paradigma dalam penggunaan harian kerana saya sudah membiasakan diri menggunakan monitor 32:9 PRISM+ PG400U sejak awal tahun ini.

Saya hanya perlu pandang atas sedikit dan lihat ke bawah yang membuatkan saya rasa selesa dan tengkuk tidak sakit selepas sepanjang hari menggunakan monitor ini. Is juga menyokong KVM, jadi saya boleh sambungkan tetikus dan papan kekunci terus pada port USB-A di belakang tanpa perlukan sambungan Bluetooth atau kekurangan port pada laptop.

LG DualUp khusus untuk mereka yang menggunakan dua monitor tetapi tidak ingin berbelanja lebih. Saya rasakan kerja saya lebih produktif dengan menggunakan monitor ini dan membuatkan saya terfikir kenapa tidak ada pengeluar lain hadir dengan monitor seperti ini demi keselesaan pengguna.

Saya turut cuba menggunakan mod satu tetingkap sahaja, di mana laman web Amanz boleh dibaca dengan penuh selesa dan kurang tatalan. Dengan kurang tatalan, ia turut mengurangkan pergerakan jari saya menatal pada roda skrol tetikus. Cuma saya sedari, jika monitor tidak ditetapkan dengan baik dengan penggunaan satu tetingkap – ia akan memaparkan paparan yang kecil dengan bar hitam yang besar.

Perkara ini lebih menjengkelkan jika menonton video pada YouTube, Disney+ Hotstar atau Netflix. Saya rasa aneh dan tidak ingin teruskan tontonan video. Kecuali jika menggunakan dwi-tetingkap, kerja di atas hiburan di bawah. Kandungan video menegak walau bagaimanapun tidak begitu konsisten. Ketika saya menguji monitor ini, ciri YouTube Shorts untuk skrin besar belum diedarkan lagi. TikTok tiada masalah, cuma tidak enak ditonton kerana resolusi video yang tidak tinggi.

Jika menonton video tidak begitu memuaskan, ia lebih kurang memuaskan untuk gaming. Sudut pandangan menjadi terhad dan tidak menyeluruh. Permainan FPS dan memandu misalnya kelihatan sempit. DualUp hanya sesuai digunakan untuk permainan arked klasik 80 an seperti 1942, Galaga, Mario, Legend of Kage dan Tetris menggunakan penyelaku.

Kualiti paparan pada LG DualUp adalah antara yang terbaik. Tidak perlu mengubah banyak tetapan, kandungan HDR boleh dipaparkan dengan baik dan secara automatik. Saya menggunakan monitor ini di dalam studio Amanz, di mana ia berjauhan dengan tingkap dan cahaya matahari – jadi sepanjang penggunaan saya kecerahan pada monitor ini adalah mencukupi dan saya rasa sangat berpuas hati. Ia tajam, cukup terang, warna yang dalam dan sedap mata memandang.

Isu saya adalah, LG DualUp tidak menyokong kadar segar semula tinggi atau adaptif. Laptop Huawei MateBook 14s yang saya gunakan menyokong paparan 90Hz, tetapi tidak kira apa jenis sambungan saya gunakan ia tetap akan kekal dengan paparan 60Hz sahaja.

Dapat dilihat siapakah golongan sasaran untuk DualUP iaitu mereka yang mempunyai ruang yang terhad untuk monitor di tempat kerja atau rumah dan mereka yang mahu melakukan kerja. Kesukaran menggunakannya untuk menonton videos serta permainan video mungkin disengajakan kerana ia khusus untuk tujuan produktif kerja sahaja.

Perisian Dan Kawalan

Disebabkan masih tidak banyak monitor di pasaran yang menawarkan sistem operasi terbina, saya tidak ada masalah dengan LG DualUp ini. LG pun baru sahaja melancarkan monitor sedemikian iaitu LG Smart Monitor 32SQ780S. Syukur, perisian terbina pada monitor ini mesra pengguna dan amat mudah untuk di kawal.

Kawalan menu adalah menerusi sebuah tombol multi-arah yang amat mesra pengguna. Tombol seperti ini semakin banyak digunakan pengeluar seperti Samsung dan Acer Predator juga. Kerana ia mudah difahami proses mengubah tetapan monitor boleh dilakukan tanpa perlu membaca manual terlebih dahulu. Disebabkan pemilihan sambungan secara automatik beroperasi dengan baik, penggunaan saya adalah amat lancar tidak seperti pada Prism+ PG320 Ultra.

Audio

Sepasang peaker stereo 7W yang ditala oleh Maxx Audio disertakan. Walaupun pada saya ia bukan yang terbaik, tetapi ia cukup sedap untuk penggunaan asas. Setakat ingin memainkan muzik yang perlahan menemani saya ketika melakukan kerja atau menonton video treler untuk menulis artikel di Aksiz ia sekadar memadai. Lagi pun, terdapat port bicu audio 3.5mm untuk saya sambungkan set fon kepala. Setakat ini kami masih belum menemukan monitor dengan speaker yang benar-benar memuaskan. Oleh itu DualUp setanding dengan monitor-monitor lain yang pernah diulas di makmal Amanz.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, jika diberi pilihan – LG DualUp adalah monitor kegemaran saya pada tahun ini dan saya amat inginkan monitor ini menjadi monitor harian saya. Ia menawarkan keselesaan untuk pengguna, dan mengelakkan isu sakit tengkuk yang sinonim dengan majoriti monitor di pasaran. Kombinasi jumlah I/O yang cukup mewah, kualiti paparan HDR 10 yang sangat hebat, dan perisian yang mudah digunakan turut membantu.

Ia masih bukan untuk semua kerana nisbah skrin yang aneh serta tidak serasi untuk menonton video serta sesi gaming. Tetapi ini tidak mengapa kerana DualUp direka untuk produktiviti bukan untuk bersantai.

Harga LG DualUp ini adalah RM2,948, yang mana pada hemat agak mahal untuk monitor 27″ dan sekadar 60Hz. Tetapi ia hadir dengan ciri penjimatan ruang, rekaan ergonomik dan mampu meningkatkan produktiviti kerja. LG DualUp ialah monitor untuk mereka yang inginkan kelainan dan berfikir di luar kotak.

Pro

  • Skrin yang cantik, luas dan memuaskan.
  • Port sambungan yang banyak dan memenuhkan keperluan.
  • Speaker terbina yang boleh diterima.
  • Kebebasan mengubah sudut pandangan dan ketinggian yang cukup besar.

Kontra

  • Paparan terhad kepada 60Hz sahaja.
  • Binaan plastik yang tidak premium.
  • Tidak mempunyai tapak dan memerlukan ruang untuk pengapit.
  • Tidak sesuai untuk gaming dan menonton video.

komen


© Amanz / 2022 Kami