YouTube Shorts Menguji Ciri Membeli-Belah Seakan TikTok Shop
Fahim Zahar
Pesaing TikTok, iaitu YouTube Shorts semakin lama menjadi semakin rancak. YouTube mula membenarkan lagu 60 saat diletakkan, boleh tonton di TV atau konsol, lebih mudah diakses melalui tab tersendiri, dan turut akan berkongsi pendapatan iklan bersama pencipta kandungan mencapai 45%.
Terkini, Financial Times melalui TechCrunch melaporkan yang YouTube mula menguji ciri membeli-belah melalui Shorts. Ciri ini akan bersaing dengan TikTok Shop yang sudah mula diperkenalkan di Malaysia sejak April lalu.

Ciri e-dagang melalui YouTube Shorts terhad kepada pencipta kandungan terpilih dan hanya boleh diakses di negara Amerika Syarikat, Kanada, Brazil, India dan Australia sahaja buat masa ini dengan perancangan untuk dikembangkan secara lebih meluas.
Pengenalan ciri ini adalah untuk pencipta kandungan menjana lebih pendapatan di samping membantu mereka membina perniagaan tersendiri. Tiada butiran lain didedahkan seperti yuran transaksi, peratusan yang diambil daripada setiap pencipta kandungan dan lain-lain.
Sama-sama kita nantikan.