Ulasan – Realme 10 Pro+ Tidak Sebaik Peranti Yang Ingin Digantikannya

Diterbitkan pada Dis 8, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Saya mengaku sedikit prejudis dengan jenama Realme sejak dilancarkan memandangkan kesemua peranti subjenama yang digunakan sebelum ini mempunyai pelbagai isu. Redmi lebih murah berbanding Xiaomi dengan kualiti binaan yang lebih plastik. Honor juga di bawah Huawei dahulu mempunai isu yang sama serta prestasi kamera yang mengecewakan. Realme pada hemat saya pastinya mempunyai isu yang sama.

Tetapi sejak akhir-akhir ini saya sudah mengulas Realme GT NEO 3 dan Realme 9 Pro+ yang kedua-duanya jauh lebih baik daripada sangkaan awal. Ok mungkin lebih kepada pra-sangka kerana saya yakin peranti tersebut akan mengecewakan kerana saya lebih selesa dengan peranti kelas mercu. Maka apabila Realme 10 Pro+ saya mengulasnya dengan hati lebih terbuka kerana ingin melihat adakah sekali lagi Realme akan berjaya memikat hati.

Spesifikasi Dan Rekaan

Realme 10 Pro+
Skrin6.7″ AMOLED
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesMediaTek Dimensity 920 (6nm)
Cip2 X 2.5 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G68 MC4
RAM8GB LPDDR4X
Muatan Dalaman256 GB UFS 2.2
Kamera Utama108MP, f/1.8 (Sudut lebar)
8MP, f/2.2 (Ultra sudut lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Swafoto16 Megapixel f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 1599 (8/256GB)

Skrin 6.7″ AMOLED adalah dari jenis melengkung pada sisi dengan ia menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Secara peribadi saya tidak lagi gemar menggunakan peranti dengan skrin melengkung tetapi aku masih ada yang meminatinya kerana memberikan rekaan yang kelihatan lebih premium. Rekaan skrin adalah cantik kerana mempunyai bezel nipis di keempat-empat sudut. Sekilas pandang skrin Realme 10 Pro+ mempunyai skrin yang serasi dengan yang ditemukan pada peranti yang lebih mercu.

Dengan teknologi AMOLED, skrin memaparkan warna yang hidup dan warna hitam yang gelap seperti lohong hitam. Kandungan HDR10+ disokong dengan tiada isu memaparkan kandungan HDR pada aplikasi YouTube. Tetapi sayang sepanjang tempoh ulasan sokongan HDR untuk Netflix belum diberikan kerana setiap peranti perlu menjalani proses kelulusan daripada Netflix.

Di bawah cahaya matahari yang terang skrin masih boleh dilihat dengan jelas. Setiap sentuhan dikesan dengan baik dengan animasi dipaparkan dengan jelas tanpa isu ghosting yang ketara. Secara keseluruhan skrin amat baik tanpa sebarang isu besar. Isu kecil yang saya sedari ialah lubang kamera yang agak ketara. Apabila menonton video dalam mod skrin penuh, lubang ini akan menghalang sebahagian kandungan yang ingin ditonton.

Terdapat pengimbas cap jari terbina di bawah skrin ini. Tetapi saya rasakan kedudukannya terlalu rendah untuk mengaksesnya dengan mudah. Lebih baik jika dinaikkan setengah inci ke atas seperti yang digunakan pada peranti Oppo dan Samsung. Pengimbas adalah dari jenis optikal yang pantas. Proses menyahkunci berlaku hampir sekelip mata. Menerusi Realme Lab, pengimbas cap jari ini juga boleh digunakan untuk mengimbas nadi.

Saya juga cukup suka dengan sistem haptik menerusi motor linear yang digunakan. Makluman balas sentuhan pada skrin terasa lebih semula jadi berbanding sistem haptik biasa.

Butang laras audio dan kuasa diletakkan pada sisi dengan ia diperbuat daripada bahan logam yang tegap. Kedudukannya juga mudah diakses tidak seperti pengimbas cap jari tadi. Sebuah port pengecas USB-C, kekisi speaker dan talam untuk dwi-SIM nano diletakkan di bahagian bawah peranti. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari slotnya. Sedikit kecewa di sini ialah tiada bicu audio 3.5mm yang biasanya diberikan pada peranti kelas pertengahan.

Rekaan peranti ini cantik dan menarik dibantu dengan panel belakang yang mempunyai warna cerun. Paling penting peranti ini amat selesa di dalam tangan dan tidak licin. Panel belakang plastik juga tidak mudah kotor.

Peranti dijana cip lapan-teras MediaTek Dimensity 920 yang dihasilkan menerusi teknologi 6nm. Ia terdiri daripada dua teras Cortex-A78 dan enam teras Cortex-A55 (berasaskan Cortex-A55) dengan GPU Mali-G68 MC4. Cip yang agak sudah berusia dan adalah sama seperti yang digunakan pada Realme 9 Pro+ sebelum ini.

Ini dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan 256GB di Malaysia. Tiada sokongan kad mikro SD disertakan untuk menambah storan awanan. Jika anda merasakan saiz RAM tidak memuaskan, ciri Dynamic RAM Expension disertakan dengan pilihan penambahan 4GB, 6GB atau 8GB RAM secara maya. Dengan ini pemilik boleh mempunyai peranti sehingga 16GB RAM bagi membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak.

Bateri yang digunakan pula berkapasiti 5000 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W menerusi port USB-C. Saiz yang cukup besar untuk peranti kelas pertengahan dengan sistem pengecasan yang sederhana pantas. Banyak peranti mercu lain sekadar menyokong pengecasan 25W sahaja dengan kapasiti yang sama. Tiada sokongan pengecasan nirwayar disertakan oleh Realme.

Sistem kamera pula terdiri daripada lensa sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP di bahagian belakang. Walaupun 10 Pro+ ialah peranti yang lebih baharu, ia tidak dilengkapi sebarang sistem OIS pada kamera utama yang sebelum ini ada pada Realme 9 Pro+. Di hadapan pula kamera swafoto 16MP disertakan dalam lubang kamera yang saya nyatakan beberapa perenggan di atas.

Kamera diletakkan dalam bonggol yang tidak begitu tinggi dengan tiga kamera diletakkan dalam bonggol yang bersaiz sama. Peranti masih boleh diletakkan rata di atas meja tetapi kami sarankan kerangka lutsinar yang diberikan digunakan oleh pemilik kerana akan memastikan lensa pada bonggol lebih terlindung daripada sebarang kerosakan.

Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh yang agak nipis untuk peranti yang dilengkapi bateri 5000 mAh. Satu ciri yang tidak disertakan oleh Realme pada 10 Pro+ ialah kemampuan kalis air. Ia tidak kalis debu atau air dalam mana-mana situasi sekalipun.

Perisian

Sistem operasi Android 13 digunakan dengan pelancar Realme UI 4.0 yang terkini. Tindakan yang baik dari Realme kerana sistem operasi Android 13 telah dilancarkan sejak Ogos. Tidak masuk akal melancarkan sebuah telefon baharu di bulan Disember yang masih menggunakan Android 12.

Ciri menarik Realme UI 4.0 adalah lebih kepada penambah ciri seperti sokongan widget lebih baik, sekuriti, AOD yang lebih menyeluruh dan pengoptimasian yang akan melancarkan lagi penggunaan, mengurangkan bateri dan mengelakkan pemanasan.

Siri menarik lain ialah Dynamic RAM Expension yang membolehkan memori maya ditambah mengikut keperluan. Ia boleh dimatikan jika tidak diperlukan. Penggunaan adalah amat lancar dan pantas walaupun dengan hanya 8GB RAM. Aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas tanpa sebarang isu yang kritikal.

Satu isu yang mungkin perlu disentuh ialah sesetengah aplikasi tidak boleh dimuat turun dari Play Store. Sebagai contoh Netflix tidak muncul langsung apabila carian dilakukan. Saya terpaksa memasangnya secara sideloading dan aplikasi berfungsi seperti biasa.

Realme tidak pula mengatakan berapa lama kemas kini akan diberikan. Namun sebelum ini siri Realme 9 diberikan sokongan sistem operasi sehingga dua tahun dan tampalan sekuriti selama tiga tahun. Maka saya merasakan Realme 10 Pro+ akan turut diberikan sokongan sistem operasi yang juga sama.

Ciri tambahan yang diberikan oleh Realme ialah:

  • Flexible Windows – Memaparkan beberapa aplikasi dalam tingkap terapung.
  • Gestur – Sokongan pelbagai gestur untuk mengawal peranti dan melakukan tangkapan layar.
  • Kids Space – Mod untuk kanak-kanak dengan sesetengah aplikasi boleh dikunci.
  • Smart Sidebar – Pintasan pantas ke lapan aplikasi pilihan terus dari talam sisi.
  • Quick Launch – Melancarkan tiga aplikasi popular terus dari skrin kunci.
  • Simple Mode – Mod mudah untuk warga tua dengan antaramuka lebih besar dan deringan lebih lantang.
  • Edge Lighthing – Lampu notifikasi yang menggunakan sisi skrin secara menyeluruh.
  • Always on Display – Paparan maklumat penting pada skrin yang dikunci.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah seperti di bawah:

Geekbench 5

  • Realme 10 Pro+ – 843/2372
  • Realme 9 Pro+ – 813/2314
  • Oppo Reno8 Z – 674/1921

Antutu 3D

  • Realme 10 Pro+ – 517,313
  • Realme 9 Pro+ – 494.818
  • Oppo Reno8 Z – 398,307

Skor yang dicatatkan oleh Realme 10 Pro+ adalah sedikit lebih tinggi berbanding Realme 9 Pro walaupun dilengkapi pemproses Dimensity 920 dan konfigurasi 8GB RAM yang sama. Ini mengesahkan dakwaan Realme UI 4.0 boleh meningkatkan prestasi peranti berbanding Realme UI 3.0.

Kami bandingan dua peranti ini dengan Oppo Reno8 Z yang dilengkapi Snapdragon 695. Pemproses Dimensity 920 nampaknya lebih berkuasa berbanding Snapdragon 695. Dalam penggunaan harian pemproses ini cukup berkuasa untuk menjalankan pelbagai aplikasi yang digunakan setiap hari tanpa sebarang isu yang serius.

Dari segi prestasi permua pula, permainan seperti COD Mobile dan PUBG boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan sederhana sahaja. Unik menikmati tetapan grafik tertinggi anda masih memerlukan sebuah peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen 1.


Telefoni dan GPS

Peranti dilengkapi modem 5G sub-6GHz tetapi pada waktu ini ia masih belum disokong oleh DNB. Sepanjang tempoh ulasan hanya rangkaian LTE sahaja dapat diuji dan tiada isu serius ditemukan. Panggilan telefon adalah terang dengan wujud juga sokongan VoWiFI tetapi tiada pula sokongan VoLTE. Kelajuan WiFi juga amat memuaskan kerana sokongan sehingga WiFI 6.

Prestasi GPS sebaik prestasi selular. Lokasi dapat dijejak dengan mudah apabila aplikasi dibuka. Sambungan GPS tidak pernah terputus walaupun ditengah-tengah Kuala Lumpur antara bangunan tinggi.


Kamera

Sistem tri-kamera yang digunakan dilengkapi sensor sudut lebar 108MP, ultra sudut lebar 8MP dan makro 2MP. Di hadapan pula kamera swafoto 16MP digunakan. Tiada sistem OIS digunakan pada kamera utama tetapi terdapat sistem nona-binning yang menggabungkan 9 pixel menjadi 1 pada lensa sudut lebar. Di atas kertas ini ialah kombinasi sensor yang tidak begitu seimbang kerana masih mengekalkan sensor 2MP yang kerap kali kami katakan tidak begitu memuaskan kualitinya. Tiada OIS juga sedikit mengecewakan kerana biasanya amat diperlukan untuk mod malam.

Terdapat pelbagai mod sokongan seperti mod malam, makro, Street Photography, Starry Mode, Tilt Shift dan banyak lagi bagi memberikan kemampuan fotografi yang lebih meluas. Aplikasi kamera mudah digunakan dengan terdapat ciri mengaktifkan kecerdasan buatan yang akan memproses imej selepas diambil.

Kualiti gambar yang mampu diambil kamera 10 Pro+ adalah amat baik untuk peranti di dalam kelas ini. Penggunaan sensor utama yang besar membantu menghasilkan imej yang bukan sahaja tajam tetapi dengan penghasilan semula warna yang menyerlah. Dalam situasi pencahayaan yang baik kualiti gambar yang diambil adalah amat memuaskan. Mod malam juga agak baik walaupun tiada sistem OIS. Dalam kesemua gambar yang berjaya kami tangkap imej masih lagi tajam dan tiada isu hingar yang serius.

Mod makro tidak memuaskan seperti yang disangka. Walaupun ciri kecerdasan buatan diaktifkan, aplikasi kamera tidak secara automatik mengubah ke mod makro secara automatik yang kami rasakan aneh. Gambar yang terhasil menjadi agak kabur. Mod ultra sudut lebar juga baik tetapi kurang tajam berbanding sensor utama 108MP kerana saiz sensornya yang kecil.

Kelebihan utama kamera Realme 10 Pro+ ialah pada sensor utama sahaja yang menyokong zum nirhilang sehingga 3. Ia boleh melakukan zum digital sehingga 10X zum tetapi tidak kami sarankan kerana gambar yang terhasil kelihatan lembut dan kurang memuaskan.

Perlu saya bandingkan kamera 10 Pro+ dengan 9 Pro+ kerana kedua-dua peranti mempunyai spesifikasi yang hampir setanding serta dua sistem kamera berbeza. Pada hemat saya kamera 9 Pro+ adalah lebih baik lebih-lebih lagi dalam mod malam kerana wujudnya sistem OIS. Warna pada 10 Pro+ lebih baik tetapi pada hemat saya secara keseluruhan kamera 9 Pro+ lebih seimbang dan boleh diharapkan dalam lebih banyak situasi.


Bateri

Bateri 5000 mAh adalah agak besar dan peranti mampu bertahan sehingga 22 jam dalam penggunaan yang sederhana dengan SOT sekitar 8 jam. Pada penggunaan yang lebih berat SOT sehingga 10 jam boleh dinikmati tetapi peranti hanya bertahan sekitar 13 jam. Pengecas yang disertakan menyokong 67W SuperVOOC. Kali ini penjenamaan SuperDART tidak lagi digunakan. Tempoh mengecas semula bateri yang agak besar ini ialah sekitar 45 minit sahaja yang adalah agak pantas.

Realme memberikan ciri menjaga kesihatan bateri di mana ia boleh diprogramkan untuk habis mengecas 100% pada waktu tertentu. Pengecasan pantas hanya di peringkat awal sahaja dengan ia diperlahankan semakin hampir ia ke kapasiti penuh. Saya gunakan ciri ini apabila ingin mengecas peranti ketika tidur. Dengan ciri ini hayat bateri akan bertahan lebih lama dengan ciri ini mirip dengan yang boleh ditemukan pada peranti Sony dan Apple.


Audio

Skrin cantik, rekaan menarik dan kamera juga agak baik tetapi kekurangan paling ketara Realme 10 Pro+ terletak pada kemampuan audionya. Walaupun wujud speaker stereo audio yang dikeluarkan adalah seperti tin minuman bergas. Tiada langsung bas dengan bunyi yang rata. Pada tetapan paling tinggi audio bingit tetapi tidak jelas.

Walaupun audio seimbang dari kedua-dua speaker, kualinya seperti sepasang speaker murahan pada alat permainan. Sokongan Dolby Atmos juga tiada. Audio hanya menjadi memuaskan apabila menggunakan sepasang fon telinga nirwayar kerana tiada bicu audio 3.5mm.


Pesaing

Realme 10 Pro+Realme 9 Pro+Redmi Note 11 Pro 5G
6.4″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~411 ppi)
6.4″ AMOLED, 90Hz,
1080 x 2400, (~411 ppi)
6.67″ AMOLED, 120Hz,
1080 x 2400, HDR10+, (~395 ppi)
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 920 (6nm)
2 x 2.5 GHz Cortex A78
6 x 2.0 GHz Cortex A55
Snapdragon 695 (6nm)
2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Mali-G68 MC4Mali-G68 MC4Adreno 619
8 GB RAM
256 GB UFS 2.1
8 GB RAM
256 GB UFS 2.1
8GB RAM
128GB UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)
50MP, f/1.8 (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.8, OIS (utama)
8MP, f/2.2, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
108MP, f/1.7 (utama)
8MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
16MP16MP16MP
Tiada bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio MonoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
4500 mAh
Pengecasan pantas 60W
5000 mAh
Pengecasan pantas 67W
RM1599 (8/256 GB)RM1699 (8/256 GB)RM1149 (8/128 GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Realme 10 Pro+
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas dua pin 67W SuperVOOC.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual

Kesimpulan

Realme 10 Pro+ mempunyai rekaan yang menarik dipadankan dengan skrin yang cukup cantik, cip yang memuaskan, sistem operasi yang terkini dan saiz bateri yang cukup besar. Di atas kertas sensor yang besar sepatutnya menawarkan kemampuan fotografi yang baik. Tetapi sekali lagi sensor utama yang besar dipadankan pula dengan dua sensor yang kurang memuaskan. Akibatnya prestasi fotografi peranti ini menjadi kurang seimbang. Speaker yang disertakan juga tidak melepasi piawaian minimum.

Tidak boleh dinafikan 10 Pro+ ialah peranti yang kelihatan menarik seperti kelas mercu. Namun begitu cantik luaran sahaja tidak memadai jika pakej yang ditawarkan tidak menyeluruh. Pada hemat saya Realme 9 Pro+ adalah pilihan yang lebih baik (dan hanya RM100 lebih mahal) sekiranya anda inginkan kemampuan kamera lebih baik kerana ada sistem OIS, audio lebih memuaskan, tidak kisah bateri lebih kecil dan sistem operasi yang satu generasi ke belakang.

Pro

  • Skrin besar dengan bezel yang nipis.
  • Rekaan yang menarik.
  • Menggunakan Realme UI 4.0 berasaskan Android 13.
  • Bateri bertahan lama dengan pengecasan pantas.
  • Prestasi yang memuaskan untuk majoriti keperluan.
  • Kamera utama yang baik.
  • Pengimbas nadi terbina pada skrin.

Kontra

  • Sesetengah aplikasi tidak boleh dimuat turun.
  • Speaker yang mengecewakan.
  • Kamera makro 2MP masih mengecewakan.
  • Tiada OIS.
  • Mempunyai sokongan 5G tetapi belum disokong DNB.

komen


© Amanz / 2023 Kami