Semalam 9 Januari ialah ulang tahun ke-16 mendiang Steve Jobs memperlihatkan iPhone kepada dunia buat pertama kali ketika acara MacWorld. Beliau mengacah peranti baharu yang menggabungkan sebuah telefon, iPod dan pelayar internet dalam satu tubuh yang kompak. Sejak dari awal pengumumannya, iPhone dilihat sebagai peranti yang akan mengubah dunia kerana berbeza daripada telefon selular yang wujud di pasaran pada waktu tersebut.
Tidak boleh dinafikan bahawa rekaan telefon mudah alih dan dunia yang kita diami sekarang mungkin berlainan sama sekali sekiranya iPhone tidak wujud. Sempena ulang tahun ke-16 iPhone, ini senarai 10 inovasi pada telefon pintar ini yang mengubah dunia telefon mudah alih.
1.Skrin Sesentuh 10 jari
Harus dimulakan dengan skrin sesentuh kerana tidak ada satupun telefon pintar di pasaran sekarang yang tidak menggunakannya. Sebelum iPhone, skrin dari jenis resistive digunakan oleh pengeluar telefon mudah alih. Skrin jenis ini tidak mengesan sentuhan dengan baik, tatalan tidak lancar dan suka memberikan sentuhan yang jitu maka ia digunakan bersama stylus.
Skrin iPhone boleh mengesan sehingga 10 jari. Gestur zum keluar masuk yang kini gunakan setiap hari ini untuk melihat gambar pada telefon semuanya boleh dilakukan kerana teknologi skrin sesentuh yang dipopularkan oleh iPhone.
Skrin iPhone juga besar (untuk tahun 2007) membolehkan ia digunakan untuk menonton video dengan lebih baik membuka pintu kepada telefon pintar sebagai pemain multimedia utama sekarang. Interaksi jari manusia dan skrin peranti berubah sejurus selepas iPhone dipasarkan.
2.Antaramuka Sistem Operasi
Masihkah anda ingat rekaan antaramuka telefon sebelum iPhone? Menu hamburger yang bertindih sehingga tersorok? Bagaimana pula dengan keperluan menggunakan butang navigasi fizikal dan bebola seperti HTC G1? Jika anda ingat tahniah kerana trauma menggunakan peranti dengan antaramuka yang tidak mesra pengguna masih tersemat di dalam batu jemala.
Jika tidak ingat, tahniah juga kerana anda semua masih mudah belia dan berterima kasihlah kepada iPhone. Semasa sistem operasi iOS dibangunkan untuk iPad and iOS, Steve Job mementingkan kepantasan serta kemudahan ia digunakan tanpa membaca manual. Setiap elemen harus intuitif dibantu oleh ikon yang mudah difahami. Jobs kerap meminta aksi yang memerlukan lebih daripada tiga langkah dipermudahkan kepada dua semasa perisian di tahap ujian.
Papan kekunci sesentuh yang boleh dikustomsi sepenuhnya? Terima kasih iPhone. Rekaan skeumorfik mudah difahami? Terima kasih iPhone. Majoriti rekaan antaramuka pada telefon pintar anda sekarang boleh dikesan susur galurnya pada iOS asal untuk iPhone 2007.
3.Stor Aplikasi
Ekonomi aplikasi pada telefon mudah alih mencecah lebih $200 bilion pada tahun 2022 dengan ratusan bilion aplikasi dimuat turun pada tahun yang sama. App Store yang dilancarkan pada 10 Julai 2008 dengan 500 aplikasi – iPhone asal tidak dilancarkan dengan stor aplikasi sendiri – kini menawarkan 1.8 juta aplikasi yang boleh diakses di hujung jari. Google Android Market kemudian menyusul pada 22 Oktober tahun yang sama.
Sebelum iPhone frasa “ekonomi aplikasi” tidak wujud sama sekali. Tetapi menerusi iPhone dan aplikasi, kita melihat ramai menjadi jutawan menerusi Instagram, WhatsApp, Angry Birds, Flappy Birds, TikTok dan Snapchat. Perisian kini mengusai dunia dan bukannya perkakasan. Siapa yang mengusai perisian adalah raja dalam telefon pintar anda.
Di peringkat awal aplikasi akan dilancarkan di iPhone dahulu kerana ia paling menguntungkan. Jika berjaya barulah versi Android ditawarkan. App Store menjadi ekosistem yang penting. Kini di tahun 2023 pembangun bangkit menentang App Store dengan mereka ingin bayaran langganan diterima sepenuhnya tanpa membayar potongan sehingga 30% kepada Apple.
4. Touch ID dan FaceID
Telefon pertama dengan pengimbas cap jari terbina ialah Sagem MC 959 ID dari tahun 2000. Kami yakin 99.999% peratus pembaca tidak pernah tahun akan fakta ini apatah lagi kewujudan Sagem MC 959 ID. Pada tahun 2013, iPhone 5S dilancarkan dengan Touch ID. Kedudukan Touch ID pada butang Home menjadi ikutan pengeluar lain seperti Samsung, dan HTC. Apple tidak mencipta teknologi ini tetapi berjaya melakukan implementasi yang sempurna sehingga menjadi ikutan industri.
Kemudian pada tahun 2017 iPhone X dilancarkan pula dengan Face ID. Sekali lagi memulakan kegilaan pengeluar Android menawarkan sistem imbasan wajah yang lebih tepat dan penggunaan takuk yang besar pada skrin tanpa sebab munasabah. Yang menjadi Touch ID dan Face ID unik berbanding sistem biometri lain ialah integrasi dengan perisian serta aplikasi yang terbaik yang sehingga kini sukar ditandingi pengeluar lain.
5. Penggunaan eSIM Pada Telefon Pintar
iPhone turut mempopularkan penggunaan eSIM pada telefon pintar pada tahun 2018 menerusi siri iPhone XS, XS Max dan XR selepas teknologi ini digunakan pada jam tangan Galaxy Gear S3 pada tahun 2016. Pada awalnya hanya satu eSIM disokong pada iPhone bagi membawakan sokongan dwi-SIM. Tetapi tahun lalu iPhone juga mempelopori rekaan telefon pintar pertama tanpa SIM fizikal menerusi siri iPhone 14 yang dijual di Amerika Syarikat.
Sepanjang senarai ini kita melihat sesuatu yang dimulakan Apple kemudian akan menjadi ikut industri. Maka bolehlah diramalkan telefon pintar Android tanpa talam SIM fizikal akan turut ditawarkan dalam masa terdekat kelak.
6. Membunuh Adobe Flash
Sejak dari awal Apple enggan menyokong Flash pada iPad dan iPhone. Steve Jobs memberikan sebab mengapa beliau merasakan teknologi Macromedia (sebelum dibeli Adobe) ini memperlahankan peranti, memakan bateri, menimbulkan isu sekuriti dan tidak efisien dalam surat terkenal beliau Thoughts on Flash pada tahun 2010.
Keengganan Apple menyokong Flash dan pengenalan HTML5 mempercepatkan kubur Flash digali sebelum sokongan untuknya dihentikan sendiri oleh Adobe pada tahun 2021. Kedegilan Jobs pada awalnya menjadi bahan ketawa industri dan menjadi peluru untuk peminat Android menembak kekurangan iPhone untuk lebih sedekad. Tetapi kini kita tahun Jobs betul dan Flash ialah format yang tidak sesuai untuk telefon pintar.
7. Warna Ros Emas
iPhone adalah pemula trend dan mereka juga boleh diberikan kredit mempopularkan penggunaan warna yang tidak konvensional pada telefon pintar. Pada peringkat awal iPhone hanya ditawarkan dalam warna hitam dengan sisi logam berkilat. Kemudian dalam waran putih sebelum mula berjinak-jinak dengan warna emas. Siri iPhone 6S dari tahun 2015 memulakan trend warna Rose Gold yang menjadi ikutan pengeluar lain.
Sebelum itu iPhone 5C membuktikan telefon pintar boleh ditawarkan dalam warna ceria seperti pelangi di langit. Anda boleh katakan peranti Microsoft Lumia dan Nokia N9 lebih awal menyumbang kepada trend ini tetapi hakikatnya jualan peranti-peranti ini tidak setinggi iPhone. Pada peranti lain ia dilihat sebagai niche tetapi iPhone yang membawakan penggunaan warna ceria ke arus perdana menerusi komputer iMac di penghujung 90an.
Keberanian Apple menggunakan warna tidak konvensional membuka pintu kepada waran cerun pada peranti Oppo, ungu pada Samsung dan kemasan kulit pada peranti Huawei. Telefon pintar tidak semestinya hadir dalam warna bosan hitam dan kelabu.
8. Matinya Bicu Audio
Setakat ini kami senaraikan perkara positif iPhone kepada industri. Tetapi tidak semua pengaruh iPhone adalah baik untuk pengguna. Keberanian iPhone 7 membuang bicu audio pada awalnya ditertawakan oleh industri tetapi Apple menjadi orang terakhir masih ketawa kerana ia kini adalah lumrah pada majoriti telefon pintar Android juga.
Alasan yang diberikan oleh Apple pada waktu tersebut ialah bagi memberikan ruang lebih besar untuk bateri maka bicu audio dikorbankan. Kita semua tahu alasan sebenarnya ialah untuk menjual AirPods kepada orang ramai. Telefon pintar moden kini kembali tebal kerana bateri yang semakin besar. Mungkin kita memerlukan Apple mengembalikan bicu audio 3.5mm untuk memaksa pengeluar peranti lain (kecuali Sony dan Asus) untuk turut menawarkannya semula pada peranti mereka.
9. Matinya Bateri Boleh Tanggal Dan Pembaca Kad SD
Seperti di atas, ini dua lagi trend yang dimulakan iPhone yang menerima cemuhan tetapi kini menjadi perkasa bias oleh pemain industri yang lain. Hanya beberapa tahun yang lalu sebuah peranti mercu Android mempunyai bateri boleh ditanggalkan, dilengkapi bicu audio 3.5mm dan memori boleh ditambah dengan kad SD. Kini boleh dikira dengan sebelah tangan peranti Android mercu dengan ciri yang sama.
Cuma kelak iPhone mungkin perlu aku dengan keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang ingin membenarkan pengguna menukar bateri pada peranti dengan lebih mudah. Undang-undang baharu ini masih di peringkat perancangan tetapi kelak iPhone dengan bateri boleh tanggal akan menjadi realiti. Kami yakin Apple akan menemukan lubang gelung untuk mengelak daripada mengikuti arahan EU. Ini kami lihat sebagai kifarah tuhan kerana mempopularkan rekaan tiada bicu audio, bateri tak boleh diganti dan tiada slot mikro SD selama ini.
10. Komunikasi Satelit
Akhir sekali ialah iPhone mempopularkan sokongan telekomunikasi satelit bagi tujuan kecemasan pada telefon pintar. Bermula tahun lalu sokongan telekomunikasi satelit disokong di Amerika Syarikat dan beberapa lagi negara di Eropah. Huawei memberikan ciri yang sama tetapi hanya di China.
Kerana populariti ciri ini, Qualcomm mengumumkan Snapdragon Satellite yang bakal disokong peranti Android yang menggunakan Snadpragon 8 Gen 2 tahun ini. Dalam masa kurang setahun ciri unik iPhone kemudiannya diperkenalkan pula pada peranti pengeluar lain.