10 Peranti Paling Ikonik Dalam Sejarah Android

10 Peranti Paling Ikonik Dalam Sejarah Android

Diterbitkan pada Sep 24, 2018 oleh .

Sistem operasi Android dilancarkan 10 tahun lalu pada 23 September 2008 sebagai sistem operasi telefon pintar yang bersaing dengan iOS. Dalam masa hanya sedekad, 77% telefon pintar di pasaran dunia kini menggunakan sistem operasi yang mula dibangunkan pada tahun 2003  oleh Andy Rubin, Rich Miner, Nick Sears, dan Chris White.

Tidak melampau untuk mengatakan Android mendemokrasikan telefon pintar dengan ribuan model dihasilkan pada harga yang mampu dimiliki kesemua lapisan masyarakat. Sempena ulang tahunnya yang kesepuluh, ini ialah senarai sepuluh peranti Android yang paling ikonik dalam sejarahnya,

1.HTC Dream/HTC G1

Pada 23 September 2008, HTC Dream/G1 dilancarkan sebagai peranti Android pertama di dunia. Ia mempunyai sokongan skrin sesentuh dengan papan kekunci fizikal yang boleh dipaparkan dengan melungsurkan skrin. Ia hadir dengan aplikasi YouTube, Gmail, Maps, Talk. Calendar dan Contact. Lebih banyak aplikasi boleh dimuat turun menerusi Android Market.

HTC Dream dilengkapi skrin 3.2″ TFT (320×480 pixel) sesentuh, dijana pemproses 528 MHz satu teras Qualcomm MSM7201A, memori sebesar 192MB, storan sebesar 256MB (sokongan kad mikroSD sehingga 16GB), kamera belakang 3.15 Megapixel dan bateri sebesar 1150 mAh.

Tidak seperti iPhone, Dream hadir dengan bateri yang boleh ditanggalkan dan sokongan kad mikroSD. Ini  akan menjadi sebab mengapa pengguna memilih Android pada waktu tersebut kerana memerlukan dua fungsi menarik ini. HTC Dream disokong secara rasmi sehingga Android 1.6 Donut.

2.Google Nexus One

Pada 5 Januari 2010, Google Nexus One dilancarkan sebagai usaha sulung mereka untuk menghasilkan telefon pintar Android jenama sendiri. Sekali lagi mereka bekerjasama dengan HTC dan mengejalkan trackball pada bahagian dagu. Sistem operasi Android 2.1 Eclair digunakan yang kali pertama menyokong penggunaan Live Wallpaper, zoom digital dan fokus makro.

Google Nexus One dilengkapi skrin 3.7″ AMOLED (460×800 pixel) sesentuh, dijana pemproses 1 GHz Snapdragon S1, memori sebesar 512MB, storan sebesar 512MB (sokongan kad mikroSD sehingga 32GB), kamera belakang 5-Megapixel dan bateri sebesar 1400 mAh yang boleh ditanggalkan.

Masih tiada kamera swafoto disertakan pada peranti ini tetapi kamera utama boleh merakam pada resolusi 480P. Ia menerima kemaskini rasmi sehingga Android 2.3.6, Gingerbread.

3.Samsung Galaxy S

Pada 4 Jun 2010 Samsung Galaxy S dilancarkan di Singapura dan kemudian ke pasaran Malaysia pada 25 Jun. Pada waktu ini iPhone 3GS adalah peranti terhangat di pasaran tetapi pada harga RM2490 dengan kontrak telko. Ini masih lagi agak mahal untuk tahun 2010. Galaxy S dilancarkan pada harga RM2599 tanpa kontrak atau RM 1699 dengan kontrak telko.

Kerana harga jualannya yang lebih mampu milik serta antaramuka yang seakan sama dengan iPhone (sehingga menyebabkan Samsung kemudian berjaya disaman Apple), Galaxy S ialah peranti yang mempopularkan Android is seluruh dunia dan melonjakkan nama Samsung sebagai pengeluar peranti pintar utama dunia.

Samsung Galaxy S dilengkapi skrin 4″ SAMOLED (480×800 pixel) sesentuh, dijana pemproses 1 GHz Samsung Exynos 3 Hummingbird, memori sebesar 512MB, storan sebesar 8/16 GB(sokongan kad mikroSD sehingga 64GB), kamera belakang 5-Megapixel, kamera swafoto 0.3-Megapixel dan bateri sebesar 1500 mAh yang boleh ditanggalkan.

Ia dilancarkan dengan Android 2.1 Eclair dengan pelancar TouchWiz 3.0. Sokongan kemaskini rasmi diberikan hanya sehingga Android 2.3 Gingerbread.

4.Samsung Galaxy Note

Ketika dilancarkan pada 1 September 2011 di IFA Berlin, terdapat banyak laman yang mengatakan Samsung Galaxy Note tidak mempunyai ruang di pasaran. Skrin 5.3″ dikatakan terlalu besar untuk diletakkan di dalam poket dan kelihatan seperti talam apabila digunakan sebagai telefon. Kesemua ramalan awal kegagalan Galaxy Note nyata salah sama sekali kerana ia menjadi pemangkin kepada penghasilan telefon pintar berskrin besar.

Selain skrin besar ia memperkenalkan penggunaan stylus Wacom dan fungsi multi-tingkap pada Android.  Samsung Galaxy Note dilengkapi skrin 5.3″ Super AMOLED 800P, dijana pemproses 1.4 GHz dua teras Exynos 4210, memori sebesar 1GB, storan sebesar 16/32 GB (sokongan kad mikroSD sehingga 64GB), kamera belakang 8-Megapixel, kamera swafoto 2-Megapixel dan bateri sebesar 2500 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 2.3.6 Gingerbread dan disokong secara rasmi sehingga Android 4.1.2 Jelly Bean. Di Malaysia phablet ini dijual pada harga bermula RM2299.

5.HTC One M7

Pada 19 Februari  2013, HTC One M7  diumumkan dalam sebuah acara di London Tidak seperti peranti utama lain di pasaran pada tahun 2013, One M7 mempunyai tubuh yang diperbuat daripada sebongkah aluminium. Ia amat selesa dipegang dengan bahagian belakang yang melengkung. Ia anjakan paradigma rekaan peranti utama Android yang pada waktu tersebut masih lagi diperbuat daripada bahan plastik.

Inovasi terbesar HTC One M7 selain mempopularkan tubuh logam ialah penggunaan pembesar suara stereo BoomSound pada bahagian hadapan, HTC Zoe dan jalur antena yang kemudian turut ditemui pada peranti iPhone, Oppo, Vivo dan Samsung. Ia memulakan trend peranti Android tidak mempunyai slot kad mikroSD dan bateri yang tidak boleh ditanggalkan (hanya bateri model untuk pasaran China dan Jepun boleh ditanggalkan).

HTC One M7 dilengkapi skrin 4.7″ Super LCD3 HD penuh sesentuh, dijana pemproses 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600, memori sebesar 2GB, storan sebesar 32/64 GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 4-Ultrapixel, kamera swafoto 2.1-Megapixel dan bateri sebesar 2300 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 4.1.2 Jelly Bean dan disokong secara rasmi sehingga Android 5.0 Lollipop. Di Malaysia peranti ini dijual pada harga bermula RM2299.

6.Motorola Moto G

Setakat ini kesemua peranti di dalam senarai ini adalah peranti mercu. Tetapi umum diketahui majoriti peranti Android di pasaran bukan dari kelas ini. Motorola Moto G yang diumumkan pada November 2013 adalah penting dalam sejarah Android kerana dilancarkan khusus untuk golongan kurang berkemampuan. Walaupun ia sebuah peranti kelas permulaan, ia menggunakan Android asli memastikan kelancaran penggunaan.

Motorola Moto G dilengkapi skrin 4.5″ IPS LCD HD , dijana pemproses 1.2 GHz dua teras Snapdragon 400, memori sebesar 1GB, storan sebesar 8/16 GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 5-Megapixel, kamera swafoto 1.3-Megapixel dan bateri sebesar 2070 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 4.3 Jelly Bean dan disokong secara rasmi sehingga Android 5.1.1  Lollipop. Di Malaysia set rasmi dijual pada harga RM698. Sambutan ke atas peranti ini amat menggalakkan dan membuka mata pengeluar lain seperti Xiaomi untuk melancarkan peranti pada harga mampu milik di pasaran.

7.OnePlus One

OnePlus One dilancarkan pada  23 April 2014 sebagai sebuah FlagShip Killer, lima bulan selepas OnePlus ditubuhkan oleh Pete Lau yang merupakan mantan timbalan presiden di Oppo. Pada waktu ini harga jualan peranti mercu sudah menjadi telalu mahal sehingga tidak mampu dimiliki majoriti pengguna. OnePlus One dilancarkan sebagai “pembunuh peranti utama” yang dijual pada harga lebih mampu milik. Keunikan yang dibawakan OnePlus One ialah butang navigasi boleh dipaparkan atas skrin atau menggunakan butang fizikal.

OnePlus One dilengkapi skrin 5.5″ IPS LCD HD penuh sesentuh, dijana pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 801, memori sebesar 3GB, storan sebesar 16/64 GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 12-Megapixel, kamera swafoto 5-Megapixel dan bateri sebesar 3100 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 4.4.2 KitKat dengan pelancar CyanogenMod 11s dan disokong secara rasmi sehingga Android 5.1.1 Lollipop menerusi pelancar OxygenOS 2.1.4. Di Malaysia set rasmi dijual pada harga RM1199 yang jauh lebih rendah berbanding peranti mercu di pasaran pada waktu tersebut.

8.Google Pixel Dan Pixel XL

Eksperiman Google dengan Nexus berakhir dengan pelancaran Google Pixel danPixel XL dan pada 4 Oktober 2016. Dengan Pixel, mereka mengawal sepenuhnya proses penghasilan peranti dari perisian hingga ke perkakasan. Kerjasama dengan HTC dilakukan sekali lagi untuk ketiga selepas Dream/G1 dan Nexus One. Ini membawa kepada Google mengambil alih keseluruhan pasukan pereka Pixel dari HTC pada tahun 2017.

Pixel penting dalam sejarah Android kerana Google akhirnya mengikut langkah Apple dengan mengawal penghasilan peranti secara menyeluruh. Ini memastikan masalah dengan pengeluar tidak lagi berulang.

Google Pixel/Pixel XL dilengkapi skrin 5/5.5 inci AMOLED FHD, dijana pemproses 2.15 GHz empat teras Snapdragon 821, memori 4GB, storan sehingga 128GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 12.3-Megapixel, kamera swafoto 8-Megapixel dan bateri sebesar 2770 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 7.1 Nougat  dan disokong sehingga Android 9 Pie. Malang sekali kedua-dua peranti tidak pernah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

9.Xiaomi Mi MIX

Peranti dengan skrin nirbingkai dan peratusan permukaan skrin yang besar amat popular di pasaran sekarang. Trend ini dipopularkan oleh Xiaomi Mi MIX yang dilancarkan pada 25 Oktober 2016. Rekaan ini dipelopori oleh Sharp tetapi peranti mereka tidak dijual secara global seperti Mi MIX. Oleh itu jika anda membenci rekaan nirbingkai, anda boleh menyalahkan Xiaomi.

Ia tidak mempunyai gagang telinga sebaliknya digantikan dengan sistem piezo-elektrik yang mengalir terus ke telinga pemakai. Kamera hadapan diletakkan pada bahagian dagu. Paling unik ialah bingkai peranti yang diperbuat daripada bahan seramik yang cukup premium.

Xiaomi Mi MIX dilengkapi skrin 6.4″ IPS LCD FHD+, dijana pemproses 2.5 GHz empat teras Snapdragon 821, memori sehingga 4GB, storan sehingga 256GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 16-Megapixel, kamera swafoto 5-Megapixel dan bateri sebesar 4400 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 6.0.1 Marshmallow dengan pelancar MIUI 8 dan disokong secara rasmi sehingga Android 7 Nougat. Di Malaysia ia tidak pernah dilancarkan secara rasmi.

10.Huawei P20 Pro

Kemuncak rekaan peranti Android boleh dilihat pada Huawei P20 Pro yang dilancarkan pada 27 Mac 2018 yang lalu. Ia merupakan peranti pertama dengan sistem tri-kamera utama. P20 Pro penting dalam sejarah Android kerana sekali lagi menunjukkan platform ini berani memperkenalkan inovasi yang tidak ditemui pada platform lain.

Huawei P20 Pro dilengkapi skrin 6.1″ AMOLED FHD+, dijana pemproses lapan teras Kirin 970, memori 6GB, storan sehingga 128GB (tiada sokongan kad mikroSD), kamera belakang 40+20+8-Megapixel, kamera swafoto 24-Megapixel dan bateri sebesar 4000 mAh.

Ia dilancarkan dengan Android 8.1 Oreo dengan pelancar EMUI 8 dan sedang menjalani ujian Android Pie. Di Malaysia ia dilancarkan pada harga RM 3299.


Ini ialah pilihan sepuluh peranti paling ikonik dalam sejarah Android. Adakah anda bersetuju dengan senarai ini? Sekiranya tidak peranti manakah yang anda rasakan perlu dimasukkan sebagai ganti?


TIPS & ULASAN