Huawei Freebuds 5 adalah set fon telinga nirwayar sebenar baharu yang jatuh dalam kelas pertengahan premium. Ia tidak menawarkan ciri Devialet seperti FreeBuds Pro 2, tetapi mempunyai rekaan yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Saya telah menggunakan TWS baharu mereka ini untuk sekitar sebulan. Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dan memberitahu anda adakah berbaloi untuk memiliki Freebuds 5. Anda juga akan mengetahui sama ada TWS ini boleh digunakan bersama peranti lain atau terhad kepada Huawei sahaja.
SPESIFIKASI
Huawei FreeBuds 5 | |
---|---|
Jenis | TWS fon separa dalam telinga |
Pemacu Audio | 11mm Pemacu dinamik dwi-magnetik Dynamic EQ |
Mikrofon | Mikrofon AI Pembatalan Hingar |
Sensor | Pemecut Inframerah Hall |
Bateri | 42mAh fon telinga 505mAh kerangka pengecas Ketahanan sehingga 30 jam |
Tambatan | Bluetooth 5.2 Tambatan pantas Huawei |
Codec | HWA Audio Wireless Hi-Res LDAC |
Pengecasan | USB-C Pengecasan nirwayar |
Sokongan aplikasi | Peranti Huawei Huawei AI Life Android/iOS |
Kawalan | Sentuhan |
Kemampuan kalis air | IP54 |
Harga Jualan | RM699 |
Selepas banyak menggunakan TWS dengan sokongan ANC yang membuatkan saya terlampau selesa dengan ciri ini. Saya sekali lagi mencuba yang menggunakan ANC lain seperti Sony WF-C700N iaitu yang menggunakan perisian. Untuk Huawei FreeBuds 5 ia adalah AI Noice Cancellation.

Bukan itu sahaja, mikrofon pada TWS ini turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk membatalkan hingar agar panggilan telefon mempunyai kualiti audio terbaik. Pemacu dinamik dwi-magnetik 11mm yang digunakan turut menyokong equaliser dinamik.

FreeBuds 5 turut dilengkapi dengan bateri yang boleh bertahan sehingga 30 jam dengan sokongan pengecasan USB-C dan pengecasan nirwayar. Dari segi audio TWS ini menyokong LDAC, diiktiraf oleh LHDC untuk HWA Audio Wireless dan Hi-Res. Untuk sambungan ia menggunakan Bluetooth 5.2 dan TWS boleh disambungkan melalui tambatan pantas pada peranti Huawei. Pada peranti Android dan iOS tambatan dilakukan menerusi dengan aplikasi Huawei AI Life.
Sokongan perlindungan air IP54 turut diberikan yang membolehkan ia dipakai ketika bersenam tanpa perlu risau rosak disebabkan oleh peluh. Untuk sistem kawalan pula terdapat pad sesentuh pada kedua-dua putik telinga.
REKAAN DAN PENGGUNAAN
Sepanjang tahun ini, saya boleh katakan FreeBuds 5 adalah TWS yang hadir dengan rekaan paling unik sekali selepas Nothing Ear (2). Huawei menggunakan rekaan fon telinga Seamless Curve yang dikatakan adalah untuk kesesuaian pada mana-mana bentuk telinga. Bukan itu sahaja setiap fon telinga turut hadir dengan kemasan berkilat seakan krom yang nampak mewah.
Terdapat sensor pada putik audio yang menjeda muzik sejurus selepas ia ditanggalkan daripada telinga. Muzik akan terhenti dalam masa sesaat selepas satu (atau kedua-dua) putik telinga dicabut. Kemudian apabila ia dikembalikan ke telinga, muzik bersambungan semula selepas sesaat.

Walaupun putik telinga ini licin dan mempunyai bentuk tidak konvensional, ia mudah dicabut keluar daripada pod pengecas berbanding FreeBuds Pro 2. Ini dibantu oleh bentuk putik telinga yang mempunyai “pinggang” di mana jari boleh mencubitnya keluar dengan mudah.
Huawei turut menyertakan sarung silikon untuk bahagian putik telinga. Ini adalah untuk cengkaman tambahan kerana kemasan yang terlampau licin. Kerangka pengecas pula menggunakan bentuk seakan batu sungai yang licin dengan port USB-C di bawah, butang tambatan di sisi kanan, lampu LED di hadapan dan penutup yang sangat sedap untuk dibuka atau tutup. Sebagai bonus, FreeBuds 5 turut menyokong pengecasan niwayar.

KUALITI AUDIO
Huawei FreeBuds 5 adalah TWS pertama yang saya pernah lihat di depan mata yang nampak aneh. Bentuk seakan produk keluaran makhluk asing dalam filem sains fiksyen. Keanehan produk audio ini tidak berhenti pada rekaan tetapi turut terkesan pada kualiti audio. Walaupun aneh, ia masih menghiburkan. TWS ini bergantung banyak kepada teknologi AI untuk meningkatkan kualiti audio. Ia akan kedengaran tidak semula jadi kerana seakan audio yang diproses sepenuhnya daripada komputer.
BASS/LOWS
Bass yang FreeBuds 5 hasilkan cukup seronok untuk didengari. Ia tidak melampau, seimbang, dan sekadar memadai. Walaupun tidak begitu memuaskan, kaki masih ingin dihentak dan menarik mengikut rentak kerana bass yang rancak. Penyanyi dengan suara yang dalam akan kedengaran seakan dijana daripada komputer dan butiran pada instrumen sukar untuk dinikmati dengan baik.

VOKAL/MIDS
Biasanya kebanyakan TWS akan menyertakan ciri Bass Boost untuk meningkatkan kualiti audio. Tetapi pada TWS ini semua bahagian menggunakan perisian dan kecerdasan buatan untuk memastikan vokal yang jelas dan pada masa sama cukup lantang. Vokal yang dihasilkan tidak tenggelam, cuma pendengaran masa panjang untuk muzik akan cepat bosan. Kecuali jika mendengar podsiar yang memberi keselesaan tambahan kerana suara yang tidak kasar.
NADA TINGGI/HIGH
Nada tinggi juga begitu, ia bukanlah yang terbaik tetap untuk TWS RM699 saya tidak rasa kecewa. Tahap nyaring yang hampir tepat serta tidak diganggu dengan mids dan lows. Cuma sesetengah muzik akan kedengaran sedikit tajam menyebabkan keseronokan itu tidak dapat dinikmati dengan jangka masa panjang.

PEMENTASAN DAN PENGASINGAN AUDIO
Pementasan pada Huawei FreeBuds 5 cukup lebar dan tidak rasa lemas. Akan tetapi pengasingannya tidak teratur dan serabut. Setiap instrumen tidak boleh didengar dengan jelas pada kebanyakan muzik dan membuatkan rasa penat untuk mendengar muzik menggunakan TWS ini.

APLIKASI DAN KAWALAN
Sepanjang penggunaan saya hanya menggunakan FreeBuds 5 dengan Huawei Mate X3 jadi tiada aplikasi tambahan yang diperlukan. Segala tetapan yang saya ingin lakukan seperti aktifkan mod LHDC, menggunakan mod pembatalan hingar, mengubah equaliser, mencari fon telinga, mengemaskini perisian dan banyak lagi semuanya boleh dilakukan dalam tetapan Bluetooth peranti.

Walau bagaimanapun jika tiada peranti Huawei, aplikasi Huawei AI Life membolehkan TWS ini digunakan pada mana-mana peranti Android dan iOS dengan mudah. Semua ciri dan fungsi yang sedia terbina pada peranti Huawei boleh digunakan tidak seperti beberapa tahun lalu. Ini termasuk dengan tetapan kawalan sentuhan.

Secara rasminya Huawei AI Life hanya ditawarkan menerusi App Store. Pada peranti Android aplikasi tidak lagi disenaraikan sejak beberapa bulan lalu. Untuk ulasan ini saya mencuba Freebuds 5 pada sebuah Samsung Galaxy S23 Ultra dan Honor Magic Vs. Maka APK Huawei AI Life perlu dimuat turun terus dari laman Huawei dan dipasang menerusi Chrome.

Bercakap mengenai kawalan, sentuhan pada setiap fon telinga cukup sensitif dan boleh mengesan jari saya dengan baik. Tidak dinafikan pada awalnya permukaan licin padanya memberi kerisauan untuk sentuhan tidak dikesan. Ternyata saya salah.
BATERI
Ketahanan bateri FreeBuds 5 kurang memuaskan kerana penggunaan berterusan hanya bertahan sehingga 5 jam untuk penggunaan asas. Jika LHDC digunakan, pembatalan hingar diaktifkan dan pelbagai mod-mod lain dihidupkan TWS ini hanya bertahan sekitar 3.5 jam sahaja.

Nasib baik sokongan pengecasan pantas disertakan. Di mana putik audio boleh dicas semula dalam masa 20 minit untuk penuh dan kerangka itu sendiri mengambil masa 40 minit untuk dicas sehingga penuh. Apabila tahap bateri adalah 100% pada kedua-duanya ketahanan boleh mencapai 30 jam yang mana pada saya sudah memadai. Seperti yang telah saya sebuatkan di atas pengecasan nirwayar juga boleh dilakukan tetapi mengambil masa yang lebih perlahan.
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Sepasang fon telinga Huawei FreeBuds 5.
- 1x Kerangka Pengecas.
- 2x Pasang putik telinga silikon.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
KESIMPULAN
Huawei FreeBuds 5 adalah set fon telinga nirwayar yang bagus. Tidak dinafikan yang bentuk fon telinganya aneh dan profil audio yang ditawarkan juga tidak begitu alamiah. Seandainya ciri penyama yang disertakan boleh dikawal seperti Nothing Ear (2) atau Sony WF-C700N, FreeBuds 5 akan lebih baik. Malah jika ciri AI yang terbina untuk meningkatkan kualiti audio boleh dimatikan saya mungkin akan lebih menghargai TWS ini.

Harga jualan RM699 bukanlah yang paling mahal. Tetapi harga yang biasa kita lihat untuk produk audio kelas pertengahan premium. Jika anda inginkan bentuk yang unik, warna yang menarik dan melengkapkan ekosistem TWS ini walaupun aneh ia cukup menghiburkan. Bagi mereka yang ingin menghargai muzik yang dihasilkan oleh artis saya akan sarankan pilih Nothing, Sony atau Samsung Galaxy Buds2 Pro.
Pro
- Rekaan yang aneh, cantik dan ringan.
- Mesra pengguna dan tidak terhad kepada peranti Huawei.
- Kualiti audio yang menghiburkan.
- Menyokong LHDC, LDAC dan LC3.
Kontra
- Tiada sokongan pembatalan hingar aktif (ANC).
- Tidak selesa digunakan untuk jangka masa panjang.
- Bahan binaan warna perak yang licin dan mudah kotor.
