Seperti yang dilaporkan sebelum ini, telefon dengan skrin boleh-lipat pertama OnePlus mungkin akan menggunakan nama OnePlus Open. Rekaan peranti diperkatakan sama dengan Oppo Find N3 yang mana mengambil inspirasi dari rekaan Vivo X Fold2.
Lanjutan darinya, kini hadir perkongsian baharu oleh Max Jambor, iaitu salah seorang peniris terkenal untuk produk Oppo dan OnePlus mengatakan OnePlus Open adalah variasi peranti Oppo Find N3 untuk pasaran global. Oppo Find N3 akan ditawarkan untuk pasaran China sahaja, sebaliknya OnePlus Open akan dipasarkan pada peringkat global.
Ia turut didakwa yang peranti ini cukup bagus dan boleh bersaing dengan telefon lipat lain dalam pasaran. Selain mempunyai rekaan menarik, OnePlus Open dijangka akan hadir dengan kamera periskop 3x zum optikal.
OnePlus Open dikatakan akan menggunakan skrin dalam 7.8″ OLED, skrin luar 6.3″ OLED, bateri 4800mAh, pengecasan pantas 67W dan mungkin dijana cip Snapdragon 8 Gen 3. Peranti akan dilancarkan pada 29 Ogos nanti. Sama-sama kita nantikan.