Apple Vision Pro tidak dinafikan adalah set kepala realiti gabungan yang paling canggih pernah kami saksikan. Vision Pro yang akan dijual pada harga lebih RM16000 ini akan terhad di Amerika Syarikat dan kelak siapa ingin membeli perlu melakukan temu janji dengan Apple.
Apple dilihat merancang pelbagai kandungan imersif seperti video atau filem untuk Vision Pro, termasuk dengan kandungan 3D menggunakan teknologi OpenUSD. Pelbagai aplikasi seakan pada iOS dan iPadOS turut akan ditawarkan untuk penggunaan dalam dunia maya.

Laporan Mark Gurman baru-baru ini menyatakan yang tidak ramai pembangun menghadiri makmal pembangun yang Apple anjurkan di Cupertino. Makmal ini dikatakan adalah untuk pembangun menguji aplikasi mereka pada Vision Pro dengan bantuan pakar-pakar Apple.
Antara sebab kenapa tidak ramai pembangun ingin menghadirkan diri adalah VisionOS versi pembangun yang baru sahaja diperkenalkan pada Jun lepas dan mungkin ramai yang masih membangunkan aplikasi masing-masing. Kedua adalah lokasi pembangun yang jauh dan Apple yang tidak akan menanggung kos.

Ketiga besar kemungkinan adalah Vision Pro akan terhad dijual di Amerika Syarikat terlebih dahulu. Ini bermakna pembangun tidak ingin begitu serius dengan jumlah penggunaan set kepala ini yang kecil. Kami ada melaporkan sebelum ini yang Apple hanya menempah Vision Pro sebanyak 400,000 unit kerana ada isu pengilangan.
- Sumber
- Mark Gurman