Cari @ Amanz

“Tiada yang percuma di dalam dunia ini!”. Anda pasti kerap mendengar ayat ini disebut. Perkara ini memang benar kerana sandaran mesej WhatsApp ke Google Drive tanpa had yang selama ini percuma akan mula dihadkan pada 6 bulan pertama tahun 2024 untuk semua orang. Ia merupakan satu strategi menggalakkan pengguna melanggan Google One.

Perkara ini telah dirancang sejak tahun 2022 dan hanya akan dikuatkuasakan tahun ini. Dengan kuota Google Drive percuma sekadar 15GB serta berkongsi pula dengan Gmail serta Google Photos – sandaran mesej WhatsApp akan pasti mengambil ruang kuota Drive anda. Terdapat beberapa jalan penyelesaian mudah yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan mesej anda tidak disandarkan.

Bersihkan Google Drive, Google Photos dan Gmail

Buka aplikasi Google One adalah kaedah paling mudah kerana ia mengimbas semua kandungan yang disimpankan dalam storan awan ini. Tekan Free up account storage, semak satu demi satu cadangan diberikan dan tekan ikon tong sampah untuk buang (ia boleh dikembalikan semula dalam masa 60 hari).

Jangan Sandar Tapi Pindah

Bulan Julai tahun lepas, WhatsApp telah memperkenalkan ciri pemindahan data ke peranti baharu. Dengan ciri ini anda tidak lagi perlu sandarkan mesej ke Google Drive kemudian muat turun semula untuk mengembalikan mesej anda. Ciri ini memindahkan semua data termasuk gambar, video dan dokumen dengan lebih selamat melalui kod QR sahaja. Ia disokong pada kedua-dua iOS dan Android.

Eksport Ke Fail .txt

Betapa pentingkah mesej WhatsApp anda? Adakah kesemua ribuan sembang itu atau hanya daripada keluarga dan yang tersayang sahaja? Jika anda hanya pentingkan beberapa mesej, buka tetapan dan cari Eksport Sembang atau Chat Export. Anda kemudian akan pilihan sama ada ingin eksport sekali gambar, video dan dokumen atau sembang sahaja. Ia akan diproses dengan pantas, kemudian jika anda pilih dengan fail media ia akan dieksport menjadi fail .zip sementara sembang sahaja dalam fail .txt.

Langkah Akhir, Bayar Je!

Di dalam artikel Storan Awanan Mana Terbaik Untuk Anda? yang saya tulis, saya lupa sertakan yang untuk pengguna Android ada manfaat tambahan melanggan Google One – iaitu kuota storan awan untuk sandaran WhatsApp. Saya turut menyertakan senarai harga yang mana 100GB boleh dilanggan pada harga serendah RM8.49 sebulan untuk individu. Google turut menyokong perkongsian storan dengan keluarga jika anda ingin lebih berjimat.


Saya terpaksa melanggan pelan 2TB kerana memerlukan storan banyak bagi menyimpan hasil gambar diambil dengan peranti untuk ulasan, menyimpan pelbagai dokumen, serta WhatsApp yang banyak dengan keluarga serta klien. Kini pengguna WhatsApp Android mula merasai apa pengguna iPhone rasakan, di mana iCloud juga tidak menawarkan sandaran WhatsApp percuma.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd