Cari @ Amanz

Dua minggu lalu dunia dikejutkan dengan kematian Akira Toriyama, mangaka terkemuka siri Dragon Ball. Minggu ini kami terbitkan pula sedikit berita gembira kerana taman tema Dragon Ball akan dibuka di Arab Saudi kelak.

Taman teman ini akan dibuka di Qiddiya City dengan keluasan 500,000 meter persegi dan bakal mempunyai tujuh ruang yang bertemakan dunia Dragon Ball. Antara yang disahkan akan dibina ialah rumah Datuk Kame, planet Beerus dan bangunan Capsule Corporation. Watak-watak Dragon Ball dari manga asal hinggalah siri animasi Dragon Ball Super akan dapat dilihat di sekitar taman apabila ia siap kelak.

Terdapat lebih 30 tarikan kesemuanya dengan lima daripadanya boleh dinaiki oleh pelawat. Sebuah patung Dewa Naga setinggi 70 meter juga akan dibina bagi melengkapkan pengalaman dunia Dragon Ball. Bilakah taman tema ini akan dibuka masih lagi belum diumumkan pada saat ini. Yang pasti peminat Dragon Ball pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan aksi kame hame habibi di Arab Saudi nanti.

Taman tema Dragon Ball akan menjadi satu lagi tarikan pelancong di Qiddiya City yang sebelum ini mengumumkan pembinaan roller coaster terpantas, tertingga dan terpanjang, taman air dibina pada bekas pelantar minyak dan stadium e-sukan terbesar di dunia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd