Sejak dua tahun lepas lagi telah dilaporkan yang Apple dijangka memperkenalkan peranti dengan skrin boleh-lipat pada tahun ini. Salah satu produk yang dikatakan bakal tiba adalah iPad dengan skrin boleh-lipat. Tetapi masih tidak pasti adakah iPad dilipat menjadi iPhone atau hanya sekadar sebuah iPad yang boleh dilipat.

Terbaru, Mark Gurman melalui Power On, mendedahkan yang jurutera Apple sedang giat menguji skrin terbaik untuk iPad lipat ini. Apple dikatakan menginginkan skrin boleh-lipat tanpa sebarang kesan lipatan dan jika tidak berjaya dibangunkan projek ini mungkin akan terus dibatalkan. Tetapi laporan tidak menjelaskan sama ada adakah projek skrin boleh-lipat lain turut akan dibatalkan seperti MacBook dengan skrin 20.3-inci?

Sebelum ini telah kami laporkan yang Apple dikatakan memindahkan pasukan jurutera Vision Pro ke projek skrin boleh-lipat. iPhone dengan skrin lipat ini dikatakan mungkin tiba seawal tahun 2027 bukannya pada tahun ini atau tahun 2025. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut di masa akan datang mengenai potensi pesaing Samsung Galaxy Z Fold ini.