Carian
Ulasan SteelSeries Arctis Nova 7 Dragon Edition – Fon Kepala Gaming Paling Selesa
April 17, 2024 Effi Saharudin

Perubahan paling ketara yang saya lakukan sejak menjadi seorang ayah ialah membeli set fon kepala untuk sesi permainan video di rumah. Sebab utamanya ialah bagi memastikan audio dari dalam permainan video yang lantang tidak akan mengganggu anak dan isteri di rumah. Sebab sekunder pula ialah bagi mengelakkan permainan yang agak dewasa kasar tidak didengari anak. Sebab terakhir pula ialah bagi menikmati sesi permainan tanpa diganggu oleh audio luar.

Di rumah selama ini saya menggunakan Razer Blackshark V2 Pro 2023 dan ASUS ROG Delta S Wireless yang kedua-duanya meletakkan palang yang tinggi dari segi kemampuan audio tetapi juga keselesaan semasa sesi gaming yang panjang. Adakah SteelSeries Arctis Nova 7 Dragon Edition mampu menandingi dua fon kepala ini? Jawapannya dalam ulasan di bawah.

SPESIFIKASI

SteelSeries Arctis Nova 7 Dragon Edition
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu40mm Neodymium
Mikrofon1 ClearCast Gen 2
Bateri38 Jam (2.4Ghz)
26 Jam (BT)
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
Sambungan2.4 GHz Quantum 2.0 Gaming Wireless
Bluetooth
Sistem operasi disokongPC
Mac
Sony PlayStation 4
Sony PlayStation 5
Nintendo Switch
Oculus Quest 2
Android
iOS
Sokongan pembantu mayaTiada
Butang kawalanFizikal
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM 1099

REKAAN Dan PENGGUNAAN

Dari segi rekaan Nova 7 Dragon Edition adalah sepasang fon kepala gaming yang diperbuat daripada plastik sepenuhnya dengan rekaan sempena tahun naga. Keseluruhan tubuh berwarna merah dengan logo naga berlingkar berwarna emas pada bahagian sisi. Seperti Nova 7 yang dilancarkan sebelum ini (seperti edisi Diablo setahu lalu), dua panel sisi pada cawan telinga boleh ditanggalkan dan ditukar menerusi sambungan magnet. Dalam set yang dibeli dua set ditawarkan satu dengan rekaan naga emas tadi dan satu lagi set dengan logo SteelSeries juga berwarna emas.

Nova 7 adalah siri fon kepala yang cukup popular di kalangan gamer kerana memberikan tumpuan kepada keselesaan dan bukannya kepada gaya. Saya katakan begini kerana ia diperbuat daripada plastik yang membuatkannya terasa ringan apabila dipakai di kepala. Ia jauh lebih ringan jika saya bandingkan dengan fon kepala gaming yang pernah saya miliki.

Selepas sesi permainan yang panjang, tidak terasa tekanan pada bahagian ubun-ubun dan juga kepala tidak terasa seperti terkepit. Satu lagi perkara positif ialah terdapat bahagian elastik di bahagian atas kepala yang boleh diubah kedudukannya bergantung kepada saiz kepala pemakai. Kepala saya agak besar dan Nova 7 tiada masalah untuk dipakai kemas di kepala. Tidak terasa seperti ingin tertanggal walaupun kepala digerakkan dengan pantas.

Terdapat banyak butang kawalan pada Nova 7 yang menjadikannya amat mesra kepada golongan gamer. Ketika sedang bertarung anda tiada masa untuk mencari alat kawalan jauh atau mengubah tetapan audio menerusi menu PS5 misalnya. Pada cawan kiri terdapat suis berputar untuk mengubah kelantangan audio serta lubang untuk bicu audio 3.5mm.

Pada cawan telinga kanan pula terdapat suis berputar untuk mengubah audio dari permainan ataupun perbualan dalam permainan serta port pengecas USB-C. Terdapat juga butang fizikal untuk membisukan mikrofon, tambatan bluetooth, dan kuasa.

Span yang tebal dan selesa digunakan pada cawan telinga. Terasa seperti bantal empuk dengan telinga tidak terkepit dan masih boleh bernafas. Walaupun cuaca di Malaysia agak panas sepanjang Ramadan, tidak sekalipun terasa seperti telinga kepanasan sehingga berpeluh. Masalah bus fon telinga berbau kepam tidak berlaku pada Nova 7.

Setakat ini saya menulis hanya puji-pujian seperti nama album Raihan. Tetapi realitinya tidak semua elemen pada Nova 7 ini saya gemari. Pertama sekali ialah binaan tubuh plastik yang terasa agak murahan untuk sepasang fon telinga yang harganya mencecah RM1000. Ia mengingatkan saya kepada fon telinga Sony WH-CH720N  yang diulas tahun lalu.

Saya faham tubuh plastik digunakan bagi tujuan meringankan fon kepala tetapi ia membuatkan Nova 7 terasa kurang premium dan kurang tahan lasak. Saya mempunyai dua ekor kucing yang agak ganas di rumah. Kadang kala fon kepala yang diletakkan pada pemegang di rumah terjatuh dilanggar oleh dua ekor bebulus ini. Sedikit risau jika terjatuh bahagian angkup telinga plastik akan patah jika kerap terjatuh.

Rekaan mungkin tidak begitu mewah, tetapi Nova 7 adalah sangat kaya dengan ciri-ciri tambahan. Paling menarik ialah kemampuan ditambat kepada dua peranti serentak. Satu menerusi bluetooth dan satu lagi dengan tambatan 2.4 GHz. Saya boleh mendengar muzik (ataupun panggilan telefon) daripada telefon dan audio permainan daripada PlayStation 5 secara serentak. Ciri ini tidak pernah saya gunakan pada fon kepala gaming lain yang pernah diulas. Dengan ini ketika khayal dalam permainan video saya masih boleh mendengar telefon berdering.

Dongel 2.4 GHz menggunakan sambungan USB-C. Tetapi SteelSeries memberikan penyesuai USB-C ke USB-A dengan setiap pembelian. Oleh itu tidak akan timbul isu dongel tidak boleh digunakan kerana peranti tidak mempunyai port USB-C

Tombol pada sisi kanan kepala juga memudahkan audio dari permainan dan berborak diimbangi secara manual. Dalam permainan Call of Duty Warzone saya ingin mendengar perbualan ahli pasukan dengan jelas untuk melakukan serangan di kawasan yang sama.

Apabila bater habis, sambungan kabel 3.5mm boleh dilakukan tanpa sebarang masalah. Ini adalah perlu kerana hayat bateri Nova 7 adalah pendek jika saya bandingkan dengan ROG Delta S dan Black Shark V3. Tak perlu risau jika terlupa mengecas Nova 7 kerana sambungan berwayar masih boleh dilakukan.

Bercakap mengenai sambungan, Nova 7 juga menyokong Android, iOS, PC, Mac, PS4, PS5, Switch dan Quest 2. Sokongan sambungan yang cukup baik. Harus saya ingatkan sokongan untuk konsol Xbox tidak diberikan. Tetapi untuk mengubah pelbagai tetapan seperti profil audio, menapis bunyi bising pada mikrofon dan pelbagai lagi anda memerlukan sebuah PC kerana tiada sokongan untuk Mac.

KUALITI AUDIO

Kualiti audio pada asalnya saya rasakan kurang bermaya kerana dentuman bass sederhana dan treble kurang nyaring. Tetapi selepas mengubah profil audio menerusi perisian SteelSeries Sonar, barulah audio yang dimainkan terasa menarik. Dalam perisian ini terdapat pelbagai profil seperti memberikan keutamaan kepada bass, treble, vokal, muzik, filem dan banyak lagi. Malahan Sonar mempunyai tetapan untuk beberapa permainan video popular. Tetapi seperti saya katakan di atas, ia hanya boleh dinikmati pengguna PC.

Selain pilihan pelbagai profil audio, saya juga boleh menetapkan tahap audio sendiri jika merasakan profil tersedia masih belum cukup mantap. Satu lagi ciri yang saya gemari ialah sokongan audio spatial pelbagai format. Saya sekadar dapat menguji audio spatial di PS5 dan ROG Ally. Pada kedua-dua konsol ini audio bergerak agak tepat dan saya terasa seperti memang berada dalam dunia permainan video.

Bagaimana pula jika Nova 7 digunakan untuk mendengar muzik? Saya rasakan fon kepala ini direka untuk permainan video dan menonton video. Oleh sebab itu audio apabila mendengar muzik saya rasakan tidaklah begitu cemerlang. Bukannya teruk cuma tidak setanding dengan Sony XM5 misalnya yang merupakan fon kepala pilihan saya untuk mendengar muzik

Perkara akhir yang ingin saya sentuh ialah cawan telinga Nova 7 tidak menghalang audio luar dengan baik. Tanpa ANC saya boleh mendengar perbualan rakan sepejabat dengan terang. Oleh itu saya tidak boleh sarankan penggunaan Nova 7 di kawasan luar seperti fon kepala biasa.

MIKROFON

Audio daripada mikrofon juga jelas untuk digunakan ketika berborak dalam permainan video. Berdasarkan ujian, untuk kualiti terbaik mikrofon perlu dikeluarkan sepenuhnya dengan ia diarahkan ke arah mulut. Audio tidak sebaik mikrofon cardiod XLR (seperti SteelSeries Alias Pro) atas meja tetapi memuaskan untuk saiznya yang kecil. Pada tangkap mikrofon ini terdapat lampu LED yang menyala apabila butang bisu diaktifkan.

Mikrofon yang digunakan adalah amat baik kerana kualiti percakapan yang kedengaran jelas oleh rakan sepasukan ketika kami dalam sesi MP dalam permainan atas talian. Tidak timbul isu audio kurang jelas. Malahan sekali menerusi perisian Sonar saya boleh aktifkan penapis audio dengan ciri noise gate terbina. Bunyi bising kipas, pendingin hawa, dan sistem penyejukan boleh dihalang daripada ditangkap oleh mikrofon Nova 7.

BATERI

Bateri diiklankan boleh bertahan sehingga 38 jam menggunakan BT atau 2.4 GHz. Tetapi jika saya menggunakan BT dan 2.4 GHz secara serentak, hayat bateri turun ke 26 jam. Secara purata Nova 7 yang saya uji boleh bertahan sehingga tiga hari sebelum perlu dicas. Menerusi pengecasan pantas, bateri boleh bertahan sehingga 6 jam selepas dicas hanya 15 minit.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian di Malaysia.

  • 1x SteelSeries Arctis Nova 7
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Kabel penyesuai USB-C ke USB-A
  • 1x Dongel 2.4 GHz
  • 2x Plat sisi bermagnet tambahan.

KESIMPULAN

Fon kepala gaming SteelSeries Arctis Nova 7 adalah fon kepala yang kaya dengan ciri dan adalah paling selesa pernah saya ulas setakat ini. Ianya ringan dengan busa telinga yang tidak mendatangkan isu kepala terasa terkepit atau berpeluh kerana panas. Kemampuan menstrim audio daripada dua sumber audio serentak juga amatlah berguna. Perisian Sonar pula membolehkan profil audio diubah dan tahap mikrofon diubah. Audio juga amat baik khususnya dalam permainan video yang saya uji di PlayStation 5.

Kekurangan terletak pada bahan binaan yang terlalu plastik membuatkan Nova 7 tidak terasa seperti sepasang fon kepala premium. Perisiannya juga terhad pada sistem operasi Windows sahaja.

Pada harga RM1099 harga jualan SteelSeries Arctis Nova 7 adalah agak mahal. Namun begitu dari segi ciri, perisian, kualiti audio dan keselesaan saya rasakan ia masih berbaloi untuk golongan gamer yang mencari fon kepala yang boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

Pro

  • Ringan dan selesa untuk digunakan tempoh yang lama.
  • Audio yang mantap untuk permainan video.
  • Boleh menstrim audio daripada dua sumber berbeza serentak.
  • Perisian yang memberikan kawalan yang terperinci.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Sambungan kabel berwayar boleh dilakukan.
  • Menyokong pelbagai komputer, konsol, dan telefon pintar.

Kontra

  • Tidak menyokong Xbox
  • Harga agak mahal untuk fon kepala plastik.
  • Hayat bateri agak pendek berbanding fon kepala gaming premium lain.
  • Tidak menghalang audio luar dengan baik.
  • Perisian hanya menyokong Windows 11.
Komen