Humane sedang mencari pembeli selepas produk pertama mereka AI Pin gagal mencapai sasaran menurut laporan Bloomberg. Syarikat dinilaikan antara $750 juta hingga $1 bilion walaupun pin kecerdasan buatan (AI) mereka dihentam teruk oleh pengulas serta pembeli awal.
Antara isu utama yang dilaporkan ialah sistem AI yang digunakan adalah perlahan dengan jawapan diberikan selepas penantian beberapa saat. Kemudian ia sekadar menyokong rangkaian 4G yang juga perlahan dan tidak dibantu oleh harga jualan yang tinggi, bayaran bulanan mahal dan bateri yang tidak bertahan lama. Sistem projektor mini yang disertakan pula tidak mesra pengguna dan sukar digunakan di kawasan terang.

Isu yang sama melanda Rabbit AI, sebuah lagi syarikat perkakasan AI yang gagal menawarkan apa yang dijanjikan. Kes Rabbit AI lebih menarik kerana keseluruhan sistem operasinya boleh dipindahkan ke peranti Android membuatkan pembelian perkakasan tidak diperlukan.
Dengan OpenAI dan Google telah memperlihatkan pembantu maya baharu dengan sokongan AI mereka minggu lalu, masa depan kedua-dua perintis perkakasan AI ini nampak kelak. Sam Altman dengan bantuan Sir Jony Ive pula akan melancarkan peranti AI mereka dalam masa terdekat yang bukan sebuah telefon pintar.