Carian
Windows 11 Akan Membenarkan Pengguna Memilih Aplikasi Yang Boleh Menggunakan AI
June 13, 2024 Fahim Zahar

Windows 11 telah dikemaskini dengan sokongan ciri AI generatif secara menyeluruh pada komputer riba dan komputer AI PC serta Copilot+. Antara ciri yang menarik adalah Recall di mana ia mengingati semua aktiviti pengguna seperti kedudukan fail, kandungan gambar dan laman yang dilayari.

Memandangkan ciri ini mempunyai kerentanan sekuriti yang serius, ia tidak diaktifkan secara lalai. Malah baru-baru ini terdapat maklumat mendedahkan Windows 11 kelak akan membenarkan pengguna memilih aplikasi boleh menggunakan ciri kecerdasan buatan (AI) generatif.

Tetapan ini dilihat akan berada di bawah Privacy & Security yang kini mempunyai kategori baharu iaitu Generative AI. Di dalamnya terdapat dua pilihan yang pertama adalah Generative AI access dan kedua adalah Let apps use generative AI. Dengan ciri ini pengguna bebas memilih aplikasi yang boleh menggunakan teknologi baharu ini. Bukan itu sahaja, berdasarkan kod yang ditemui Windows 11 turut akan meminta kebenaran pengguna jika sesuatu aplikasi ingin menggunakan kecerdasan buatan generatif.

Ciri baharu ini turut akan diberikan kepada peranti Windows 11 untuk perusahaan kerana pentadbir dibenarkan mematikan ciri kecerdasan buatan generatif agar pekerja yang menggunakan peranti Windows tidak boleh menggunakannya. Buat masa ini masih tidak pasti bila ciri ini akan diberikan kepada semua pengguna. Apa yang pasti ia terhad untuk komputer riba atau komputer dengan cip siri Snapdragon X dahulu kerana ia sahaja yang boleh menggunakan ciri AI generatif Windows.

Komen