Carian
Picsart Akan Menggunakan Imej Getty Images Bagi Melatih Model AI Tersendiri
June 14, 2024 Fahim Zahar

Getty Images amat tidak menggemari pembangun menggunakan imej-imej di platform mereka bagi melatih model AI. Disebabkan itu, Stable Diffusion di saman sebelum ini dan pengguna tidak dibenarkan memuat naik dan menjual gambar dijana AI. Walaupun begitu, Getty Images turut tidak ingin ketinggalan dengan teknologi ini dengan telah bekerjasama dengan NVIDIA untuk ciri menjana imej. Terbaru, Picsart iaitu perkhidmatan suntingan yang dibiayai Softbank akan bekerjasama dengan Getty Images untuk membangunkan model AI tersendiri.

Model ini akan dibangunkan oleh PAIR iaitu makmal AI Picsart dan mereka akan menggunakan semua imej Getty Images yang telah dilesenkan. Model ini kelak boleh diakses melalui perkhidmatan API mereka. Dengan menggunakan sumber daripada Getty, Picsart ingin menawarkan pengguna mereka ciri menjana imej yang selamat dan bebas daripada masalah hak cipta. Setiap imej yang dijana turut dibenarkan oleh Getty untuk penggunaan komersial.

Dengan model baharu ini, Picsart ingin mengembangkan aplikasi suntingan mereka ke tahap yang seterusnya. Tahun lepas aplikasi mereka telah pun ditambah dengan ciri AI generatif bagi membuang gambar bekas kekasih. Kemas kini baharu kelak turut akan menambah akses kepada video Getty Images dan pelbagai ciri AI lain khusus untuk pengguna pelan Plus mereka.

Komen