Carian
4 Sebab EV Sepatutnya Bayar Parkir Lebih Mahal
July 5, 2024 Effi Saharudin

Semalam Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengatakan kerajaan sedang mempertimbangkan pengecualian bayaran parkir milik pihak berkuasa tempatan (PBT), khusus untuk kenderaan elektrik (EV). Ini menurut Nga adalah bagi meningkatkan penggunaan EV di kawasan bandar. Beliau menggunakan contoh EV di London tidak dikenakan caj kesesakan jalan raya apabila memasuki kawasan bandar seperti kenderaan bahan api fosil (ICE).

Sejak semalam terdapat banyak reaksi negatif daripada orang ramai dengan cadangan yang diberikan oleh Nga. Rata-rata mengatakan ia sebuah lagi idea yang hanya menguntungkan golongan kaya dan ia pelepasan yang tidak pernah diminta oleh pemilik EV. Saya secara peribadi merasakan cadangan ini kurang bernas tetapi izinkan saya menyatakan mengapa menerusi lima sebab di bawah.

Sudah Terlalu Banyak Pelepasan

Pemilik EV sudahpun menerima banyak pelepasan daripada pihak kerajaan. Mereka tidak perlu membayar cukai jalan sehingga 2026. Selepas itu cukai jalan yang dikenakan pula adalah lebih rendah berbanding kenderaan ICE dengan harga yang sama. Kenderaan yang dibeli juga sudah diberikan subsidi kerana tidak dikenakan duti import. Kemudian untuk memasang pengecas di rumah, pelepasan cukai turut diberikan di bawah Belanjawan 2024.

Adakah ini masih tidak mencukupi untuk menggalakkan pembelian EV di kalangan penduduk Malaysia? Berapa Ringgit setahun dapat dijimatkan pemilik EV sekiranya tidak perlu membayar parkir PBT? Jawapannya ialah lebih rendah berbanding penjimatan yang sudahpun dinikmati sekarang.

Kos Pengecasan dan Baik Pulih Masa Depan

EV seharusnya pada pendapat saya harus membayar parkir yang lebih mahal bukannya percuma. Ini kerana PBT kini perlu meningkatkan jumlah pengecas jalanan bagi memenuhi keperluan pengecasan EV di masa hadapan. Pemilik EV kemudian boleh menikmati parkir khas hanya untuk mereka dengan pengecas terbina. Bayaran lebih ini adalah premium untuk mendapat parkir awam yang hanya boleh digunakan oleh EV. Anggaplah sama seperti parkir premium valet di pusat membeli belah.

Seperkara yang langsung tidak pernah saya lihat dibincangkan di Malaysia ialah bagaimana EV meningkatkan kerosakan jalan raya dan menambah beban pada struktur parkir sedia. Persatuan Parkir Britain (BPA) mengeluarkan amaran peningkatan jumlah EV boleh menyebabkan bangunan parkir bertingkat yang agak berusia roboh. EV secara purata adalah antara 300-400 kg lebih berat sedangkan bangunan parkir dibina mengikut berat kenderaan dari dekad 60-70an. Struktur sedia ada perlu dinaiktaraf bagi mengelakkan tragedi berlaku.

Kajian dari University of Edinburgh pada tahun 2022 pula mendapati EV meningkatkan kerosakan seperti jalan berlubang antara 20-40% juga disebabkan beratnya. PBT di masa hadapan perlu melakukan kerja baik pulih jalan raya dengan lebih kerap. Bayaran parkir lebih mahal oleh pemilik EV yang secara majoritinya kaya raya boleh dimasukkan ke dalam tabung dana impak EV di masa hadapan bermula dari sekarang.

Pemilik EV Lebih Daripada Mampu

Berdasarkan data anekdotal peribadi, pemilik EV di Malaysia adalah mereka yang berada dalam kategori T10. Hanya mereka ini boleh membeli EV berharga mencecah RM 700,000 seperti Mercedes EQS SUV di Malaysia. Golongan ini mempunyai wang mencukupi untuk membeli kereta mewah dan parkir yang lebih mahal tidak akan secara tiba-tiba membuatkan mereka tidak lagi boleh pergi bercuti ke London setiap kali tibanya Ramadan.

Kalau terkesan sekalipun mereka tidak akan mati kerana tidak boleh makan di Nobu New York, menonton konsert di The Sphere Vegas atau membeli belah barangan mewah di TRX. Rakyat biasa yang hanya mampu membeli ICE kelak akan berhadapan pula dengan apungan harga RON95. Saya tidak suka menjadi Kapten Ketara, tetapi golongan marhaen B90 inilah yang sepatutnya diberikan pelepasan parkir percuma oleh kerajaan.

Insentif EV Yang Salah

Kenapa apabila bercakap mengenai EV, kerajaan memberikan penekanan berlebihan kepada pemilikan kenderaan elektrik peribadi? Kenapa tiada insentif untuk parkir percuma di stesen LRT, MRT, Monorel dan KTM Komuter untuk menaiki empat EV yang paling efisien ini? Ketiga-tiganya membawa lebih banyak penumpang sehari daripada 41,158 EV yang beroperasi di jalan raya Malaysia sekarang. Galakkanlah pengangkutan awam bukan pengangkutan peribadi.

Dengan insentif untuk menaiki pengangkutan awam, kenderaan peribadi EV dan ICE dapat dikurangkan di jalan raya. Masalah kesesakan lalu lintas dan pada waktu yang sama pencemaran oleh ICE juga dapat ditangani menerusi penyelesaian serampang dua mata.

Kepada YB Nga Kor Ming, sila pertimbangkan saranan saya ini kerana Malaysia tidak akan mencapai tahap madani sekiranya golongan yang tak perlu dibantu diberikan bantuan yang tak pernah diminta.

Komen