WordPad diperkenalkan pada Windows 95 dan telah berada di dalam sistem operasi Windows sehinggalah dalam Windows 11. Pada tahun 2020, Microsoft mula membenarkan pengguna menyahpasang WordPad dan pada September tahun 2023 barulah kedengaran aplikasi akan dibuang. Dalam Windows Insider pada bulan Januari lepas, WordPad tidak lagi kelihatan. Untuk semua pengguna, WordPad akan ditamatkan sepenuhnya melalui kemas kini Windows 11 24H2 yang telah tiba hari ini.
Dengan kata lain, selepas anda mengemaskini PC atau laptop anda ke Windows 11 24H2, aplikasi WordPad tidak lagi boleh digunakan. Ucapkan selamat tinggal kepada fail .RTF. Kini, Microsoft meminta pengguna menggunakan Microsoft Word atau Notepad untuk terus mengakses dokumen berbentuk teks. Dua aplikasi ini kerap dikemaskini dan lebih sesuai digunakan pada era moden. Word kini mempunyai integrasi Ai iaitu Copilot, sementara Notepad telah menyokong tab.