TECNO Phantom V Fold2 dan Phantom V Flip2 telah pun dilancarkan untuk pasaran global terpilih pada bulan September lalu. Kedua-dua peranti ini tidak dijual di Malaysia, tetapi di acara TECNO Future Lens 2024 hari ini yang berlangsung di Chongqing, China – saya berpeluang mencuba kedua-dua peranti ini.
Kedua-dua peranti Phantom V generasi kedua ini mengejutkan adalah peranti dengan skrin boleh-lipat yang menarik. Artikel ini akan menjawab persoalan adakah ini peranti yang patut TECNO fokuskan jualannya di Malaysia ataupun tidak?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
SPESIFIKASI | TECNO Phantom V Fold2 5G | TECNO Phantom V Flip2 5G |
---|---|---|
SKRIN | Dalam: 7.85” LTPO AMOLED, 120Hz, 2296 x 2000 Luar: 6.42” LTPO AMOLED, 120Hz, 2550 x 1080 | Dalam: 6.9”LTPO AMOLED+120Hz , 1080 x 2640 Luar: 3.64” AMOLED, 60Hz, 1056 x 1066 |
CPU | Dimensity 9000+ (4 nm) 1x 3.20 GHz Cortex-X2 3x 2.85 GHz Cortex-A710 4x 1.80 GHz Cortex-A510 | Dimensity 8020 (6 nm) 4x 2.6 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 |
GPU | Mali-G710 MC10 | Mali-G77 MC9 |
MEMORI | 12GB RAM LPDDR5 12GB RAM Maya | 8/12 GB RAM LPDDR5 8/12 GB RAM Maya |
STORAN | 512GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 3.1 |
KAMERA BELAKANG | 50MP (Sudut Lebar), f/1.9, OIS 50MP(Telefoto), f/2.0, 2x Zum Optikal 50MP (Sudut Ultra Lebar), f/2.2 | 50MP (Sudut Lebar), f/1.9, OIS 50MP(Sudut Ultra Lebar) |
KAMERA HADAPAN | Luar: 32MP, f/2.5 Dalam: 32MP, f/2.5 | 32MP, f/2.5 |
AUDIO | Stereo, Dolby Atmos | Stereo, Dolby Atmos |
BIOMETRI | Pengimbas cap jari bawah skrin | Pengimbas cap jari butang sisi |
LAIN-LAIN | HiOS 14.5.0, Android 14 2 Tahun Kemas Kini WiFi 6E Bluetooth 5.3 | HiOS 14.5.0, Android 14 2 Tahun Kemas Kini WiFi 6 Bluetooth 5.3 |
PERLINDUNGAN | IP54 | Tiada |
BATERI | 5,750mAh 70W Berwayar 15W Nirwayar | 4,720mAh 70W Berwayar |
HARGA | Karst Green / Rippling Blue $1,099 (~RM4,866) | Travertine Green / Moondust Grey BERMULA $699 (~RM3,095) |
Phantom V Flip2 mengingatkan saya kepada rekaan Xiaomi MIX Fold 3 yang telah kami ulas pada tahun lepas dengan sedikit gabungan rekaan Honor Magic V2 (tetapi lebih tebal). Bonggol kamera segi empat yang gergasi tetapi kelihatan kemas dan tidak tajam, mod terbuka yang masih lebih nipis berbanding Samsung Galaxy Z Fold6, serta rekaan yang memang jelas premium. Ia benar-benar rasa mewah dan tidak seperti peranti TECNO yang lain.
Phantom V Flip2 pula mengingatkan saya kepada Samsung Galaxy Z Flip5 tetapi rekaan skrin luar adalah segi empat, bukan seakan sejenis folder. Peranti ini juga rasa premium dan mewah di tangan, tidak seperti Phantom V Flip generasi pertama tahun lalu. Keseluruhan binaan peranti ini juga pada hemat saya lebih baik berbanding Xiaomi MIX Flip. Ia memang langsung tidak rasa seperti peranti yang dikatakan adalah “murah” berbanding pesaing.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Kedua-dua TECNO Phantom V Fold2 dan Phantom V Flip2, saya hanya mempunyai masa kurang 10 minit untuk mencubanya kerana harus dikongsi bersama dengan rakan media Indonesia yang jauh lebih ramai. Jadi artikel ini adalah berdasarkan pengalaman saya dengan membandingkan kedua-dua peranti ini bersama peranti skrin boleh-lipat lain yang pernah saya uji.
Paling mengejutkan untuk saya adalah Phantom V Fold2 yang memberikan pengalaman penggunaan seakan Galaxy Z Fold5. Ini kerana cip Dimensity 9000+ yang digunakan mempunyai kemampuan menghampiri Snapdragon 8 Gen 2. Kemudian sistem operasi yang digunakan adalah HiOS 14.5.0 berasaskan Android 14 yang padat dengan ciri dan fungsi menarik seperti pembantu maya Ella yang mempunyai integrasi ChatGPT 3.5, pelbagai ciri AI generatif yang menarik serta pada beberapa aspek lebih pantas berbanding Galaxy AI dan kemampuan kamera yang setaraf peranti mercu.
Cuma, saya tidak menggemari apabila peranti skrin boleh lipat tidak mempunyai ciri produktiviti lengkap sepertimana yang dibangunkan oleh Samsung untuk One UI mereka. Sistem operasi pada peranti terasa seakan masih berada di generasi pertama dan masih belum matang. Walaupun begitu, disebabkan kekurangan ciri dan fungsi tambahan inilah membuatkan peranti ini terasa pantas dan lancar yang konsisten.
Saya yakin, jika TECNO menjual peranti ini di Malaysia pada harga yang lebih murah berbanding Samsung Galaxy Z Fol6 atau Honor Magic V3 berserta pemasaran yang menarik perhatian – orang ramai akan membelinya. Saya amat kecewa peranti ini tidak dijual di Malaysia dan hanya mempunyai masa singkat untuk mengujinya. Jika anda ingin tahu kualiti kamera peranti ini, lihat di bawah.
Phantom V Flip2 turut menawarkan pengalaman HiOS yang sama kerana menjalankan versi 14.5.0 juga. Ia juga masih berasaskan Android 14 dan lengkap dengan pelbagai ciri menarik termasuk Ella yang cerdik. Cuma untuk peranti skrin boleh katup seperti ini, saya tidak begitu hiraukan jika ia tidak mempunyai ciri produktiviti. Asalkan ada ciri seakan FlexCam pada saya sudah memadai.
Saya juga tidak berapa yakin dengan ketahanan cip Dimensity 8020 yang hanyalah Dimensity 1100. Ia kurang efisien dan dengan hanya menerima sokongan perisian sekitar 2 tahun, harga jualannya tidak meyakinkan orang ramai untuk membelinya. Jika dibandingkan dengan Galaxy Z Flip6 yang menggunakan cip sama dengan Z Fold6, Phantom V Flip2 adalah peranti kelas pertengahan premium dengan harga jualan peranti mercu premium.
Walaupun begitu, apa yang TECNO tawarkan pada skrin luar adalah sangat berbeza dengan apa yang Samsung lakukan pada Cover Screen mereka. TECNO menyokong lebih banyak aplikasi di skrin luar, sistem notifikasi sama dengan skrin dalam, serta penggunaan widget dan kustomasi ringkas yang benar-benar berguna.
Untuk kemampuan kamera, ia menawarkan kemampuan yang agak baik dab boleh diterima. Kualitinya yang pasti lebih baik berbanding Galaxy Z Flip6. Saya juga hormat TECNO kerana mampu membina peranti ini dengan kualiti tegap berbanding MIX Flip yang rasa sedikit murah.
AKAN DATANG OLEH TECNO MALAYSIA
TECNO Malaysia sangat berharap yang Phantom V Fold3 dan Phantom V Flip3 akan datang akan dijual di Malaysia. Ini kerana, mereka menyedari yang orang ramai semakin lama semakin mengenali TECNO. Cuma, mereka risaukan harga jualan yang akan ditetapkan oleh ibu pejabat TECNO. Mereka tidak mahu menjual peranti premium jika sambutan tidak memberangsangkan.
Phantom V Fold2 dijual pada harga $1,099 (~RM4,866) dengan satu variasi iaitu 12/512 GB. Sementara Phantom V Flip2 pula dijual pada harga bermula $699 (~RM3,095). Kedua-dua peranti ini tidak dijual di Malaysia atas kerana Phantom V Fold dan Phantom V Flip generasi pertama tidak menerima sambutan yang baik. Dengan perkembangan teknologi yang pantas, serta kerjasama bersama Google – mereka berharap yang harga jualan untuk Phantom V generasi ketiga boleh diterima oleh pengguna di Malaysia.
Di acara TECNO Future Lens 2024 ini, beberapa teknologi pengimejan AI telah diperkenalkan. Antara peranti yang dijangka akan menerima teknologi ini adalah siri Camon 40. Tecno Malaysia ingin cuba membawa masuk model dengan spesifikasi tinggi terlebih dahulu selepas melihat Camon 30 Premier boleh menjadi pencabar siri Xiaomi T dengan kamera Leica.
Percayalah, saya dapat mencuba unit Camon 30 Premier dari rakan media Indonesia dan ia sememangnya pesaing sengit Xiaomi 14T. Jika Camon 40 Premier (nama belum pasti) diterima orang Malaysia, barulah mereka akan mempertimbangkan jualan Phantom V generasi ketiga.
KESIMPULAN
TECNO Phantom V Fold2 dan TECNO Phantom V Flip2 kedua-duanya adalah peranti yang menarik. TECNO bijak dalam membangunkan HiOS dengan ciri AI yang menarik serta prestasi yang konsisten pantas dan lancar. Kemampuan kamera juga sudah menjadi semakin baik, kerana mereka membangunkan sendiri segala algoritma dan teknologi. Kemudian dengan rekaan premium dan mewah ini, pada hemat saya tidak salah jika mereka ingin menjual harga mahal.
Satu perkara yang TECNO harus sedari, jika ingin menjual pada harga mahal sokongan perisian dan sokongan khidmat bantuan pelanggan selepas membeli haruslah setaraf dengan pesaing. Sekurang-kurangnya, kemas kini Android adalah 4 tahun dan jualan awal perlu mengikuti strategi Samsung yang memberikan banyak hadiah percuma yang menarik.
PRO dan KELEBIHAN
- Kedua-dua Phantom V generasi kedua mempunyai binaan premium setaraf pesaing.
- HiOS dengan ciri AI yang menarik, lagi-lagi Ella dengan ChatGPT 3.5.
- Kemampuan kamera yang semakin cantik dan berkualiti tinggi.
- Prestasi yang pantas dan lancar.
KONTRA dan KEKURANGAN
- HiOS pada kedua-dua peranti masih Android 14.
- Tidak banyak ciri istimewa dan kemas kini terhad kepada 2 tahun.
- Siri Phantom tidak mempunyai pendedahan umum yang menarik.
- Harga jualan yang agak mahal untuk cip pemprosesan generasi lama.