Carian
10 Berita Sains Paling Menarik 2024
December 12, 2024 Effi Saharudin

Tahun 2024 melihat perkembangan menarik dalam sains rawatan kanser, vaksin dan juga penemuan genetik. Dua pemenang Hadiah Nobel pula terlibat dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang merupakan teknologi paling mendapat orang ramai.. Berikut ialah 10 berita sains paling menarik kami laporkan sepanjang 2024.


1.Saintis Merawat Kanser Payu Dara Sendiri Menggunakan Virus

Beata Halassy 

Beata Halassy seorang ahli virologi dari Universiti Zagreb telah berjaya merawat sendiri kanser payudara menggunakan virus yang dibangunkan beliau sendiri di dalam makmal. Tumor kanser ditemukan pada payudara beliau pada tahun 2020 dan selepas melakukan eksperimen ke atas diri sendiri beliau kini mengatakan telah bebas sepenuhnya daripada kanser selama empat tahun.

Halassy nekad melakukan rawatan oncolytic virotherapy (OVT) ke atas kanser tahap 3 beliau kerana rawatan ini masih di peringkat ujian dan hanya diberikan kepada pesakit kanser melanoma metatastik sahaja di Amerika Syarikat.

Virus yang dikultur sendiri dalam makmal, disuntik terus pada tumor dengan bantuan rakan sekerja selama dua bulan serta dipantau oleh seorang ahli onkologi. Rawatan eksperimental ini berkesan menyebabkan tumor mengecil sebelum tertanggal daripada otot pektoral dan kulit yang kemudiannya dibuang menerusi prosedur pembedahan. Apabila tumor diperiksa, ia dipenuhi sel imun limfosit tubuh menunjukkan keberkesanan rawatan OVT untuk kanser payudara.


2.Nombor Perdana Terbesar Dunia Ditemukan Dengan 41 Juta Digit

Penemuan nombor perdana terbesar dunia telah diumumkan pada bulan Oktober dengan ia mengandungi 41 juta digit. Ia memintas rekod sebelum ini dengan perbezaan 16 juta digit. Nombor ini ialah 282,589,933-1 atau dengan nama panggilan lebih pendek M136279841. Ia adalah hasil menggandakan nombor dua sebanyak 136,279,841 kali yang kemudiannya ditolak dengan 1.

Selain menjadi nombor perdana terbesar pernah ditemukan, M136279841 juga adalah nombor perdana Mersenne terbesar pernah ditemukan. Nombor perdana Mersenne ialah nombor perdana yang terhasil dengan menggandakan nombor 2 sebelum ditolak dengan satu.

M136279841 ditemukan oleh Luke Durant, seorang penyelidik yang terlibat dengan Great Internet Mersenne Prime Search (GIMPS) pada 11 Oktober lalu. Durant menggunakan rangkaian superkomputer awanan yang dikuasakan ribuan cip NVIDIA A100 yang terletak di 17 negara. Penemuan kemudian disahkan oleh sebuah lagi superkomputer dengan cip NVIDIA H100. Kerana kejayaan menemukan nombor perdana terbesar, Durant menerima hadiah $3000 (~RM 13,000).


3.Bumi Kini Secara Rasmi Dikelilingi Dua Bulan

Bumi dipercayai mula dikelilingi bulan sekitar 4.5 bilion tahun yang lalu. Tetapi pada bulan Oktober, Bumi telah dikelilingi dua bulan. Bulan kedua bumi ialah 2024 PT5 yang terperangkap dalam graviti bumi sejak 29 September lalu. Ia adalah sebuah asteroid yang dalam perjalanan mengorbit Matahari dan akan hanya menjadi bulan untuk Bumi sehingga 25 November 2024.

Ahli astronomi Carlos de la Fuente Marcos dan Raúl de la Fuente Marcos dari Ciudad Universitaria Madrid adalah dua saintis yang menemukan bulan yang hanya selebar 11 meter. Selepas 25 November, 2024 PT5 akan meneruskan perjalanan untuk mengorbit matahari dan akan hanya kembali semula melawat bumi pada tahun 2055. Ini bukan kali pertama bumi menerima bulan sementara.

Kali pertama ia dikesan ialah pada September 2006 apabila 2006 RH120 dengan ia mengorbit bumi selama 281 hari. Kemudian pada tahun 2016, 2020 CD3 pula menjadi bulan sementara selama 752 hari. Kedua-dua bulan sementara ini hanya selebar 1.8-2.7 meter.


4.MOSTI Menyasarkan Untuk Malaysia Melahirkan Pemenang Anugerah Nobel

MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) kini meletakkan sasaran untuk melahirkan Pemenang Anugerah Nobel dari kalangan saintis tempatan pada Jun lalu. Tiada sebarang garis masa dinyatakan buat masa ini.

Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah inisiatif melalui universiti tempatan untuk memupuk pemikiran Pemenang Anugerah Nobel dan Akademi Sains Malaysia pula melaksanakan program seperti penganjuran syarahan, perbincangan saintifik dan sesi motivasi sains.

Sejak tahun 2004, Malaysia juga telah menghantar 84 saintis muda untuk menyertai Mesyuarat Nobel Laureate Lindau – dimana kebiasaannya Pemenang Nobel akan berkumpul untuk membentangkan penemuan penyelidikan.


5.AI AlphaFold 3 Boleh Meramal Struktur dan Interaksi Semua Molekul Kehidupan

DeepMind mengumumkan versi terkini kecerdasan buatan (AI) AlphaFold yang berkemampuan meramal struktur molekul dengan lebih jitu. AlphaFold 3 kini bolen meramal struktur dan interaksi semua molekul kehidupan yang wujud. Untuk ramalan protein dan beberapa lagi jenis molekul, AlphaFold 3 menunjukkan peningkatan ketepatan ramalan sehingga 50% berbanding model lain yang digunakan sekarang.

AlphaFold 3 boleh digunakan untuk meningkatkan pemahaman tentang dunia biologi dan penemuan ubat-ubatan di masa hadapan. Pihak Isomorphic Labs yang juga merupakan anak syarikat Alphabet, telah memulakan kerjasama degan beberapa syarikat farmaseutikal untuk menggunakan AlphaFold 3 bagi membangunkan rawatan-rawatan baharu.

Ini sebuah lagi sumbangan DeepMind kepada dunia sains perubatan. Dua tahun lalu AlphaFold menerbitkan senarai 200 juta struktur protein yang boleh wujud di dunia juga bagi tujuan kemajuan menghasilkan dadah serta ubat-ubatan baharu.


6.Saintis China Menghasilkan Cakera Optik Dengan Kapasiti 1.6 Petabit


Saintis daripada Shanghai Institute of Optics and Fine Mechanics telah berjaya menghasilkan cakera optik dengan kapasiti 1.6 Petabit (200 Terabyte) pada Februari lalu. Ini adalah kapasiti yang jauh lebih tinggi berbanding 128GB yang boleh disimpan pada cakera sekeping UIltra HD Blu-Ray.

Kapasiti yang tinggi dicapai dengan menyimpan data pada permukaan cakera secara tiga dimensi dan ratusan lapisan. Kemudiannya saiz titik laser (spot size) adalah hanya 54 nm dan jarak antara trek pada permukaan cakera (track pitch) pula sekecil 70nm. Sekali lagi sebagai perbandingan titik laser pada DVD ialah 530nm dan jarak antara trek pula ialah 320nm. Dengan ini kepadatan maklumat dapat ditingkatkan dalam luasa permukaan cakera optik yang sama.

Teknologi ini masih lagi dalam peringkat kajian. Sistem dwi-laser yang khusus diperlukan bukan sahaja untuk menulis data tetapi juga untuk membaca maklumat yang disimpan.


7.Bateri Nuklear Bertahan Selama 50 Tahun Tanpa Perlu Dicas Dibangunkan Di China

Di China syarikat Betavolt mengumumkan kejayaan membina bateri nuklear yang boleh bertahan selama 50 tahun tanpa perlu dicas semula. Bateri ini menggunakan isotop Nikel-63 yang menghasilkan kuasa 100 mikrowatts dan voltan 3V. Ia hanya bersaiz 15x15x15 milimeter yang sangat kompak. Betavolt yakin mereka mampu menghasilkan bateri dengan kuasa 1W menjelang 2025.

Apabila dipasang secara siri, kuasa yang lebih tinggi dalam dihasilkan. Sekiranya semuanya berjalan lancar telefon pintar yang tidak perlu dicas dan dron yang terbang selama-lamanya bakal menjadi realiti. Bateri nuklear sudah dibangunkan sejak 1914 dengan terdapat dua versi. Satu mengubah haba yang terhasil dari proses reputan radioaktif menjadi kuasa elektrik menggunakan termogandingan. Satu lagi menggunakan partikel beta untuk menggerakkan elektron pada bahan semikonduktor bagi menghasilkan arus.

Sejak 1970an, bateri partikel beta telah digunakan sebagai bateri untuk mesin perentak jantung dalam tubuh manusia. Bezanya dengan bateri Betavolt ialah, kuasa bateri lebih rendah sekitar 1 mikrowatt dan hanya bertahan selama 12.5 tahun.


8.Pemindahan Ginjal Khinzir Ke Badan Manusia Berjaya Dilakukan Buat Pertama Kali

Richard Slayman

Pada Mac lalu, Richard Slayman dari Massachusetts menjadi manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir. Doktor dari Massachusetts General Hospital menjadikan beliau manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir yang telah disunting gen bagi membolehkan ia sesuai digunakan oleh manusia. Selepas lebih seminggu, organ didapati berfungsi dengan normal tanpa tanda penolakan.

Namun begitu pada bulan Mei, Slayman meninggal dunia tetapi telah disahkan bukan disebabkan oleh komplikasi ginjal khinzir yang telah diterima. Ginjal ialah organ tubuh utama pertama yang berjaya dipindahkan pada Disember 1954. Kemudian diikuti pula oleh hati, jantung dan pankreas. Walaupun teknologi sudah wujud hampir 70 tahun, ia masih belum mampu menyelamatkan nyawa semua pesakit yang memerlukan organ kerana kurangnya penderma.


9. Ubat Menumbuhkan Semula Gigi Diuji Pada Manusia

Saintis dari Kyoto University dan University of Fukui akan melakukan ujian ubat yang menumbuhkan semula gigi yang rongak pada manusia pada bulan Jun lau. Sebelum ini ubat ini berjaya diuji pada tikus dan musang di makmal.

Dalam kajian yang telah dilakukan sejak 2005, uterine sensitization associated gene-1 (USAG-1 ) didapati menyebabkan pertumbuhan gigi pada manusia berhenti. Dengan menghalang gen ini, gigi boleh ditubuhkan semula pada tikus dan musang yang diuji. Ujian ke atas manusia akan dilakukan Hospital Universiti Kyoto pada September 2024 hingga Ogos 2025.

Pada peringkat awal ia melibatkan 30 individu lelaki berusia 30-64 tahun yang kehilangan sekurang-kurangnya satu gigi geraham. Kemudian dalam fasa kedua pula kanak-kanak berusia 2-7 tahun pula akan menjalani ujian yang sama. Sekiranya ujian ke atas manusia ini berkesan, rawatan menumbuhkan semula gigi disasarkan akan mula ditawarkan secara komersial seawal 2030


10. Firma Sarawak Sedang Mengkaji Hasilkan Beras Daripada Sagu

Di Amanz kami kerap melaporkan berita daging buatan manusia dihasilkan daripada tumbuhan dan teknik cetakan 3D. Majoriti inovasi teknologi pemakanan ini dilakukan oleh firma luar negara. Kini sebuah firma daripada Sarawak sedang melakukan kajian menghasilkan beras daripada pokok sagu.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, firma CRAUN Research kini sedang menjalankan penyelidikan menghasilkan beras dengan kanji daripada sagu. Menurut beliau lagi, beras sagu yang dihasilkan hampir sukar dibezakan dengan beras sebenar.

Pada ketika ini beras yang dihasilkan daripada sagu masih lagi di peringkat ujian makmal dan masih belu bersedia untuk dipasarkan secara komersial. Firma CRAUN Research ialah singkatan untuk Crop Research and Application Unit yang ditubuhkan pada tahun 1993 bagi meningkatkan daya saing industri sagu Sarawak

Komen