OpenAI telah pun melancarkan Sora iaitu perkhidmatan AI generatif menjana video. Banyak kontroversi mengenai Sora seperti melatih model dengan video YouTube tanpa kebenaran. Bukan Sora sahaja kerana NVIDIA dan Runway juga sama, walaupun CEO YouTube menyatakan perkara ini salah dari segi terma penggunaan platform mereka.
Terbaru, YouTube telah mengeluarkan ciri untuk memberi kebenaran jika pemilik akaun ingin kandungan mereka digunakan untuk melatih AI.
Di dalam YouTube Studio, kini terdapat bahagian khas yang dinamakan sebagai Third-party training di mana jika pemilik akaun membenarkannya – syarikat AI pihak ketiga yang bekerjasama dengan YouTube boleh menggunakan video-video untuk melatih model mereka. Cuma, jika video mengandungi kandungan yang ada hak cipta yang dikesan dengan Content ID – pemegang hak video tersebut juga perlu membenarkannya.
Rakan kerjasama AI YouTube yang diketahui setakat ini adalah Sony, Warner dan Universal di mana mereka bersama-sama membangunkan ciri Dream Track. Google turut mempunyai perkhidmatan menjana video iaitu Veo 2, cuma mereka tidak mendedahkan sumber video mana digunakan untuk melatih model mereka. Diharapkan, Google tidak menggunakan kandungan video YouTube untuk menjayakan Veo 2 tanpa kebenaran pemilik akaun YouTube.
Adakah anda akan membenarkan YouTube untuk menggunakan kandungan daru saluran anda melatih perkhidmatan AI pihak ketiga?