Carian
10 Produk Paling Mengecewakan 2024
December 27, 2024 Effi Saharudin

Ada banyak produk menarik tahun ini yang mencapai jualan yang tinggi. Tetapi di spektrum bertentangan terdapat banyak juga produk yang mengecewakan. Berikut ialah senarai 10 produk paling mengecewakan yang dilancarkan sepanjang 2024. Diharap kekecewaan tahun ini akan menjadi batu loncatan untuk produk lebih baik dihasilkan.


1. Implementasi MyDigital ID dan PADU

Bukan kami yang mengatakan MyDigital ID mengecewakan tetapi diucapkan Perdana Menteri sendiri beberapa minggu lalu. Sistem pengenalan digital atas talian negara sudah dirancang sejak 2019 tetapi implementasinya adalah perlahan. Usaha pertama mengintegrasikan MyDigital ID dalam aplikasi MyJPJ menerima tentangan daripada pengguna sehingga sistem log masuk lama diaktifkan semula. Seterusnya laporan ia perlu diperbaharui setiap tahun juga menerima reaksi negatif orang ramai.

Seterusnya sambutan kepada PADU juga kurang memberangsangkan dengan hanya sekitar 10.61 juta rakyat Malaysia sahaja yang sudah berdaftar. Pihak PADU tidak berjaya menyampaikan mesej mengapa pendaftaran adalah baik untuk negara dan akan membantu mereka yang mendaftar. Naratif menakut-nakutkan pengguna dengan kebocoran data dibiarkan tanpa sebarang tindakan serius.

Apabila pengguna melaporkan masalah untuk mendaftar pula, bantuan yang diberikan tidak begitu memuaskan. Kesemua isu ini menyebabkan PADU mempunyai persepsi sebagai satu projek yang gagal tahun ini.


2. Humane AI Pin

Bagi mengikuti trend kecerdasan buatan (AI) yang hangat tahun lalu, beberapa syarikat pemula menawarkan peranti AI kendiri ke pasaran. Humane AI Pin ialah peranti yang paling mendapat perhatian kerana ia dibangunkan oleh dua bekas kakitangan Apple yang terlibat dengan pembangunan iPhone, iPad dan MacBook. Peranti diumumkan pada penghujung 2023 dengan jualan bermula April tahun ini.

Ulasan awal AI Pin menerima kritikan negatif daripada pempengaruh teknologi seperti MKBHD seperti perisian tidak responsif, sistem projektor tidak cukup terang untuk digunakan di luar dan hayat bateri pula terlalu pendek. Isu pemanasan melampau dan pengecas yang boleh menyebabkan kebakaran menyebabkan nasib AI Pin semakin gelap.

Humane kemudiannya cuba dijual kepada HP pada nilai $1 bilion tetapi ini tidak berlaku. Setakat Jun, hanya 10,000 AI Pin telah dijual yang jauh lebih rendah berbanding sasaran 100,000 unit jualan dalam tahun pertama.


3.Siri Google Pixel 9

Penantian selama lapan tahun untuk Google Pixel memasuki pasaran Malaysia secara rasmi berakhir tahun ini dengan siri Pixel 9. Kerana penantian yang terlalu lama, harapan pengguna di Malaysia adalah amat tinggi setelah sekian lama mendengar pujian menggunung daripada pengguna luar negara. Pasca pelancaran kami kecewa dengan siri Pixel 9 kerana harga jualannya yang tinggi tidak setanding dengan prestasi cip pemproses Tensor G4 yang hanya setanding peranti kelas pertengahan.

Pasaran Malaysia dipenuhi banyak peranti kelas mercu dan kelas pertengahan premium daripada China yang menawarkan nilai yang lebih baik berbanding Pixel 9. Ini berbeza dengan di Amerika Syarikat, Pixel 9 masih lagi kompetitif kerana kurangnya pesaing dalam dunia Android. Sukar untuk mengatakan penantian untuk Pixel 9 adalah berbaloi kerana peranti yang ditawarkan tidak memenuhi harapan yang tinggi.


4.Apple Vision Pro

Apabila Apple Vision Pro mula dijual awal tahun ini, harapan meninggi di kalang peminat teknologi kerana lazimnya Apple menawarkan produk yang mampu memenuhi permintaan pengguna. Jualan awal peranti adalah amat menggalakkan tetapi kemudiannya mula perlahan kerana kurangnya ciri yang benar-benar berguna.

Pemilik awal merungut Vision Pro terlalu berat sehingga ia tidak selesa digunakan untuk tempoh yang lama. Bagi pemakai cermin mata, penyesuai yang ditawarkan dijual pada harga yang tinggi. Harga jualan Vision Pro juga terlalu premium untuk dimiliki ramai pengguna jika dibandingkan dengan Meta Quest 3. Kini sudah di penghujung 2024 dan Apple masih tidak mempunyai killer app yang menjadikan pembelian Vision Pro berbaloi.

Hanya masa akan menentukan sama ada Vision Pro akan mengikut nasib Apple Watch yang memerlukan masa beberapa tahun untuk mendominasi pasaran atau nasib AirPods Max yang sekadar dikemaskini dengan USB-C sahaja walaupun sudah beberapa tahun dilancarkan.


5. Huawei Mate XT

Huawei Mate XT dilancarkan sebagai telefon skrin tri-lipat pertama dunia pada bulan September. Menerusi konfigurasi ini peranti boleh digunakan dalam tiga saiz skrin berbeza iaitu 6.4″, 7.9″ atau 10.2″ yang menjadikannya lebih layak dipanggil sebagai sebuah tablet boleh-lipat. Harga jualannya di China mencecah RM12,000 sebuah. Pada tanda harga seperti ini pasti pembeli perlu dijanjikan pengalaman penggunaan yang premium.

Tetapi muncul laporan di China peranti mengalami kerosakan skrin pada hari pertama di dibeli. Skrin OLED yang digunakan tidak begitu tahan lasak. Kos membaiki skrin pula adalah melebihi RM4000 sekeping. Ini mungkin menjadi sebab mengapa inovasi Huawei ini masih belum berani diikuti oleh pengeluar telefon skrin boleh lipat yang lain. Sama seperti Samsung yang mempelopori teknologi skrin-lipat,. Huawei kini menyedari menjadi “yang pertama” tidak begitu menguntungkan apabila produk yang dikeluarkan bermasalah.


6.Windows Recall

Windows Recall pada asalnya adalah ciri paling menarik untuk Copilot+ PC tahun ini. Ia akan membantu pengguna mengingati maklumat penting dengan mengambil tangkapan skrin secara berkala. Sebelum dilancarkan pada pertengahan tahun, penganalisa sekuriti menemukan pelbagai risiko privasi yang serius. Tangkapan skrin tidak disulitkan dan boleh diakses penggodam jika sistem diceroboh.

Pelancaran ditangguh beberapa kali dengan ia kini akan menjalani beberapa lagi pusingan ujian Beta. Ia kini tidak diaktifkan secara lalai dan pemilik PC diberikan pilihan membuangnya terus jika masih risau mengenai keselamatan data peribadi. Secara keseluruhan untuk tahun 2024 terdapat banyak ciri kecerdasan buatan yang dikatakan boleh membantu pengguna tetapi kemudiannya tidak memenuhi keperluan sebenar pengguna.


7. Ekosistem NFT Malaysia

Ekosistem NFT di Malaysia yang tenat tahun lalu tahun boleh dikategorikan sebagai telah meninggal dunia dengan penutupan Pentas.IO. Sebagai laman dagang NFT utama tempatan, ia menjadi pentas NFT termahal Malaysia dijual iaitu Rusuk Emas pada tahun 2021. Kini semua koleksi aset digital pengguna tidak lagi boleh diakses. Kami menyedari ia tidak boleh diakses pada bulan Julai dengan pengendali laman mengatakan mereka akan kembali pada bulan Oktober.

Ia kemudian boleh diakses buat sementara waktu untuk penyerahan dana Digital Asset Onboarding yang dilakukan dengan kerjasama MDEC. Selepas ia dilakukan Pentas.IO kemudiannya berhenti beroperasi pada bulan November. Ketika artikel ditulis muka depan Pentas boleh diakses tetapi laman dagang NFT masih tidak boleh diakses.


8. AI Yang Terbina Pada Peranti

Terdapat beberapa model bahasa kecil (SLM) seperti Gemini Nano dilancarkan tahun ini dengan ia dibangunkan untuk dijalankan terus pada telefon pintar dan komputer riba. Tetapi realitinya kecerdasan buatan (AI) ini masih lagi memerlukan internet untuk beroperasi kerana penyedia perkhidmatan ingin memastikan ia tidak melanggar terma dan syarat penggunaan. Imej yang ingin dijana akan dihalang jika mengandungi terma tertentu dalam prom. AI yang menulis semula frasa tulisan pengguna juga akan berhenti beroperasi jika mengesan penggunaan bahasa kasar.

Dua tahun lalu kita dijanjikan AI pada peranti yang lebih pantas, dan tidak memerlukan internet. Tahun ini terdapat banyak sistem AI yang boleh digunakan tetapi kesemuanya memakan masa yang lama untuk memberikan jawapan. Ia mengingatkan kami seperti era mencari laman web menggunakan AltaVista dan sambungan internet moden 56K. Teknologi AI semasa masih terlalu perlahan untuk menjadi benar-benar berguna.


9. Concord

Concord ialah permainan video atas talian yang dibangunkan dengan kos menelan belanja $400 juta. Ia dilancarkan pada 23 Ogos 2024 tetapi kemudian pelayar permainan ditutup selepas hanya dua minggu. Ini menjadikannya sebuah lagi permainan yang menelan belanja tinggi tetapi gagal mendapat sambutan dalam barisan yang sama dengan Anthem, Artifact, dan Babylon’s Fall.

Penutupan pelayar permainan video diikuti pula oleh penutupan Firewalk Studios yang membangunkan permainan pada bulan Oktober. Firewalk Studios ialah hanya satu daripada beberapa studio yang ditutup tahun ini disebabkan oleh jualan permainan video yang tidak memberangsangkan.


10. Google AI Overview

AI Overview diaktifkan pada pertengahan Mei lalu sebagai ciri yang akan memberikan ringkasan kepada carian yang dilakukan menerusi Google Search. Tetapi ciri yang sepatutnya membantu menjadi bahan jenaka internet selepas jawapan yang diberikan tidak masuk akal, salah dan juga boleh membahayakan nyawa mereka. Ini berlaku kerana data daripada Reddit dijadikan sumber jawapan walaupun ianya hanya sekadar jenaka sarkastik.

Google menghalang AI Overview daripada memberikan jawapan untuk topik tertentu bagi mengelakkan insiden memalukan ini berulang. Tetapi ia masih lagi berlaku walaupun pada kekerapan yang lebih rendah. Yang menjadi isu lebih besar ialah AI Overview mencuri trafik laman web yang dijadikan sumber melatih model kecerdasan buatan Google.


Komen