Carian
OnePlus 13R Turut Diperkenalkan – Dijana Snapdragon 8 Gen 3 Dan Tiada Kamera Hasselblad
January 8, 2025 Fahim Zahar

Dengan pelancaran siri OnePlus 13, OnePlus 13R turut dilancarkan bersama. Ia adalah OnePlus Ace 5 di pasaran China untuk pasaran global, termasuk Malaysia. Peranti ini dilihat banyak meminjam spesifikasi OnePlus 12 tetapi dengan rekaan OnePlus 13.

OnePlus 13R menggunakan skrin bersaiz 6.78-inci dengan teknologi paparan yang sama dengan OnePlus 13 seperti LTPO 120Hz, ProXDR dan Dolby Vision – cuma resolusi terhad kepada FHD+. Untuk cip ia menggunakan Snapdragon 8 Gen 3 berbanding Snapdragon 8 Elite, memori pula sehingga 16/512 GB LPDDR5X/UFS 4.0. Kamera peranti terhad kepada 50+8+50 Megapixel, tanpa Hasselblad tetapi sensor telefoto baharu menyokong 2x zum optikal.

Bateri peranti sama dengan OnePlus 13 iaitu 6000mAh tetapi pengecasan terhad kepada 80W SuperVOOC. Tiada sokongan pengecasan nirwayar 50W AirVOOC, tetapi pengecas SuperVOOC diberikan di dalam kotak. Perlindungan peranti kini adalah IP65, sesuatu yang kurang pada OnePlus 12R tahun lepas. Ciri lain seperti Oxygen OS 15 generasi baharu dan ciri AI generatif baharu yang ada pada OnePlus 13 turut disokong pada peranti ini.

OnePlus 13R adalah peranti mercu mampu milik. Tahun lepas OnePlus 12R dijual pada harga RM3,199 tetapi jika OnePlus 13 pun boleh dijual pada harga lebih rendah berbanding OnePlus 12 – mungkin OnePlus 13R akan dijual pada harga bawah RM3,000? Sama-sama kita nantikan.

Komen