Sejak bulan Jun tahun lepas, telah kami laporkan yang Nothing Phone (3) akan dilancarkan pada tahun 2025 dan Nothing OS yang akan digunakan adalah versi dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan generatif. Ia adalah satu langkah awal dalam pembangunan sistem operasi tersendiri kerana wujudnya teknologi AI.

Terbaru, satu emel oleh Carl Pei kepada pekerja Nothing telah tertiris. Di dalam memo ini, Carl Pei menyatakan tahun 2025 adalah tahun Nothing Phone (3). Peranti ini akan membawakan inovasi dalam antaramuka sistem operasi untuk interaksi pengguna dengan integrasi penuh AI. Phone (3) dikatakan akan menjadi peranti dengan teknologi yang boleh mengenali pengguna, memudahkan hidup pengguna dan sentiasa berada di sisi pengguna.
Untuk menjayakan Phone (3), Nothing turut telah menggandakan pasukan perisian dan kamera mereka ke 50%. Tiga peranti dijangka akan dilancarkan pada tahun 2025. Jika satu disahkan adalah Phone (3), mungkin dua lagi adalah Phone (3a) dan CMF Phone 2 atau terus serentak dengan Phone (3a) Plus?
Menurut Nothing, pengguna Phone (2a) adalah antara yang paling ramai. Mungkin siri Phone (3) dan (3a) boleh mencipta sejarah baru? Sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut oleh Nothing tidak lama lagi.