Carian
Ulasan Oppo Reno13 – Cantik Dan Memuaskan
January 15, 2025 Amy Maizuraa

Dalam dunia peranti pintar yang semakin kompetitif menjadikan Oppo terus mengukuhkan kedudukan dengan melancarkan model baharu Reno13. Dikenali dengan rekaan yang menawan dan teknologi canggih, Oppo Reno13 menjanjikan pengalaman yang baik kepada pengguna. Dalam artikel ulasan ini kami akan membincangkan kelebihan dan kekurangan yang ditawarkan pada peranti ini.


Spesifikasi

OPPO Reno13
Skrin6.59″ LTPO AMOLED FHD+
120Hz, HDR10+, ProXDR
PemprosesMediatek Dimensity 8350 (4 nm)
Cip1 x 3.35 GHz Cortex-A715
3 x 3.20 GHz Cortex-A715
4 x 2.20 GHz Cortex-A510
Cip GrafikMali G615-MC6
RAM12GB RAM LPDDR4x
RAM Maya (+12GB RAM)
Muatan Dalaman256/512GB UFS 3.1
Kamera Utama50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), OIS
8 MP, f/2.2, 15mm, (ultra lebar)
2MP, f/2.4. 26mm (kedalaman)
Kamera Depan50 MP, f/2.0
Bateri5600 mAh
Berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68/69
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM2299 (12/256GB)
RM2599 (12/512GB).

Rekabentuk Dan Skrin

Rekaan peranti tidak jauh berbeza dengan model pro yang dilengkapi panel hadapan dan belakang rata sepenuhnya bersama sisi yang membulat. Konsep itu bukanlah perkara baharu kerana Oppo sudah menggunakannya sejak Oppo Reno6. Namun sudah tentulah diberi peningkatan berterusan untuk menjadikan ia kekal relevan dalam zaman serba canggih ini.

Oppo Reno13 dirasakan sesuai bagi mereka yang mencari peranti bersaiz kompak disebabkan saiz yang lebih kecil berbanding pada model pro. Pengalaman memegang memberikan keselesaan yang baik disebabkan oleh rekaan yang nipis dan ringan. Bahagian belakang peranti juga nampak cantik melalui panel kaca dengan kemasan pusam dan tidak begitu memerangkap kotoran dengan mudah.

Ini terutamanya bagi Reno13 warna Luminous Blue yang sememangnya menyerlahkan kecantikannya menerusi kesan seakan cahaya terang yang berkilau di sekeliling modul kamera. Ia sebenarnya bukanlah lampu LED seperti yang ditawarkan pada peranti Reno7 dan Reno8 F sebaliknya dihasilkan daripada teknik pewarnaan Oppo yang rumit. Warna ini juga mempunyai kemasan yang agak berkilat dan teksturnya terasa licin apabila dipegang.

Ruangan yang sama turut memuatkan modul kamera berbentuk empat segi yang bersaiz sederhana. Sistem tri-kamera disediakan dengan dua daripadanya bersaiz besar manakala sensor ketiga lebih kecil yang diletakkan bersebelahan dengan LED Flash. Seterusnya bingkai aluminium gred aeroangkasa yang kukuh mengelilingi peranti bagi memastikan Reno13 tidak mudah melentur.

Susun atur butang standard pula menunjukkan butang kuasa dan laras audio pada bahagian sisi kanan. Bahagian kiri pula tidak menempatkan sebarang port dan butang. Sokongan pemancar infra merah turut disediakan pada bahagian sisi atas bersama satu kekisi untuk pembesar suara stereo. Manakala sebuah lagi pembesar suara boleh ditemui di bahagian bawah bersama port USB-C dan talam dwi-SIM nano.

Pembesar suara mampu memberikan audio yang kuat tetapi tidak seimbang. Hal ini disebabkan lontaran audio yang menembak ke sisi dan bahagian bawah kedengaran lebih kuat berbanding di bahagian atas. Sekali lagi bicu audio 3.5mm tidak disediakan sama seperti pada Reno13 Pro. Namun sebenarnya yang mencuri perhatian tentulah kemampuan kalis air IP69 yang sepatutnya mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi.

Justeru pengguna tidak perlu risau jika terperangkap dalam hujan atau situasi harian yang kompleks. Elemen rekaan lain seperti imbasan cap jari dalam skrin yang berfungsi dengan baik dan sensitif terhadap sentuhan. Selain itu mempunyai sistem biometri lain meliputi imbasan wajah, kata laluan dan nombor pin sebagai pilihan tambahan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna.

Skrin kelihatan jelas dan cantik menerusi panel LTPO AMOLED 6.59-inci yang digunakan. Resolusi 1.5K bersama kecerahan puncak 4500nits bantu menjadikan kandungan skrin boleh dibaca dengan mudah dalam pelbagai senario keadaan. Kadar segar semula 120Hz disediakan berfungsi sebaiknya dengan pengalaman tatalan yang responsif tanpa masalah tersekat-sekat. Penghasilan semula warna juga dilihat memuaskan dengan sudut tontonan yang tidak menimbulkan isu kronik.


Perkakasan Dan Perisian

Oppo Reno13 dikuasai pemproses lapan teras MediaTek Dimensity 8350, memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 512GB UFS 4.0 yang cukup pantas. Kombinasi pemproses, memori dan storan dalam yang ditawarkan adalah sama seperti model pro yang diterima sebelum ini. Pesaing terhampir untuk cip pemprosesan berkenaan adalah Dimensity 8300 Ultra, Snapdragon 7 Gen 3 dan Exynos 2400e dengan kesemuanya menggunakan teknologi 4nm.

Ruang storan adalah tetap memandangkan tiada slot untuk kad microSD diberikan. Namun memori boleh dikembangkan secara maya melalui RAM Expension dengan pilihan saiz mencapai 12GB RAM. Secara lalai 4GB RAM diaktifkan dan boleh dimatikan jika lebih mementingkan ruang storan. Ujian penanda aras yang dibuat menunjukkan kutipan sebanyak 109,1425 mata dalam penanda aras Antutu. Sementara itu, penanda aras Geekbench 6 mencatatkan 1,328 mata dalam ujian satu teras dan 4,054 mata dalam ujian pelbagai teras. Selain itu sebanyak 1557/1535/2007 untuk kutipan mata dalam ujian Geekbench AI.

Antutu 3D

  • Oppo Reno13 – 109,1425
  • Oppo Reno13 Pro – 115,0560
  • Samsung Galaxy S24 FE – 1,574,170
  • OnePlus Nord 4 – 1,049,461

Geekbench 6

  • Oppo Reno13 – 1328/4054
  • Oppo Reno13 Pro – 1319/4143
  • Samsung Galaxy S24 FE – 2030/6589
  • OnePlus Nord 4 – 1384/3932

3D Mark Wildlife Extreme

  • Oppo Reno13 – 2841
  • Oppo Reno13 Pro – 2880
  • Samsung Galaxy S24 FE – 2475
  • OnePlus Nord 4 – 2713

Geekbench AI

  • Oppo Reno13 – 1557/1535/2007
  • Oppo Reno13 Pro – 1724/ 1703/2329
  • Samsung Galaxy S24 FE – 2594/2603/4131
  • OnePlus Nord 4 – N/A

Pujian diberikan kepada kemampuan peranti ini berfungsi dengan baik tanpa isu yang kronik. Ia mampu menjalankan setiap tugasan harian dengan sebaiknya dan tiada masalah kegagalan aplikasi yang berlaku. Proses bertukar di antara aplikasi juga tidak memberikan masalah sama seperti yang dialami sewaktu mengulas peranti Reno13 Pro.

Bermain permua terasa memuaskan dengan grafik yang boleh ditetapkan pada tahap tertinggi khususnya bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang. Begitu juga dengan kategori permainan berat seperti CarX Street yang boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan medium. Prosesnya juga dibantu oleh teknologi AI Hyperboost yang menjadikan kadar bingkai permainan kekal stabil secara konsisten. Malahan tiada isu pemanasan melampau dengan ia sekadar menjadi suam sahaja untuk sesi permainan yang panjang.

ColorOS 15 berasaskan Android 15 digunakan dalam mencipta pengalaman pengguna yang efektif. Ia dilengkapi teknologi Aurora dan Tidal Engine untuk peranti menjalankan animasi aplikasi secara selari seterusnya memastikan peralihan yang lancar apabila bertukar di antara aplikasi. Ia juga memanfaatkan fungsi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pengguna dalam menyelesaikan pelbagai tugas harian.

Antaranya adalah seperti AI Summary untuk meringkaskan kandungan panjang menjadi lebih padat dan relevan. AI Speak yang membolehkan peranti membaca kandungan untuk pengguna mendengarnya tanpa perlu melihat skrin. Aplikasi AI Studio juga ditambah dengan fungsi AI Motion untuk menjadikan imej pegun menjadi bergerak. AI Writer pula boleh digunakan untuk menulis, menyunting dan membaiki teks secara automatik.

Aqua Dynamics kini bukan sahaja boleh disesuaikan malah lebih mirip seperti Dynamic Island pada peranti Apple. Akhir sekali fungsi Touch to Share yang membolehkan perkongsian fail seakan Airdrop antara Reno13 dan iPhone. Proses perkongsian bagaimanapun perlu dilakukan bersama aplikasi O+ Connect yang boleh dimuat-turun pada peranti iPhone.


Sistem Kamera

Kamera utama terdiri daripada sensor lebar 50MP (OIS) + 8MP Ultra lebar + 2MP kedalaman yang diikuti dengan kamera swafoto 50MP. Tiada lensa telefoto seperti pada Oppo Reno13 Pro. Aplikasi kamera memaparkan antara muka yang mudah digunakan bersama pilihan tangkapan pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.

Selain itu mempunyai kebolehan merakam video 4K/60FPS pada kedua-dua belah kamera dengan penstabilan terbina yang berfungsi pada 1080P/30FPS. Penawaran mod fotografi dan simulasi filem terbina juga disediakan dalam aplikasi kamera. Turut diberi fokus ialah Underwater Photography Mode yang memudahkan proses tangkapan gambar di bawah air.

Kamera utama dilihat memberi kualiti gambar yang baik dalam kebanyakan situasi pencahayaan. Melihat contoh yang dilampirkan sebahagian besarnya nampak tajam dengan penghasilan semula warna yang semula jadi. Perincian juga dijaga dengan baik bersama hingar yang minimum kecuali pada hasil gambar ultra-lebar. Ia juga menyediakan ciri AI terbina yang boleh meningkatkan kualiti gambar.

Fungsi potret pula memberi hasil yang tidak konsisten dengan masalah edge detection tidak sempurna menjadikan bahagian latar belakang gagal dikaburkan dengan sebaiknya.


Bateri Dan Pengecasan

Reno13 dilengkapi bateri 5,000mAh sejenis karbon silikon sepatutnya memberikan ketumpatan tenaga lebih tinggi dalam saiz lebih kecil. Prestasi dilihat memuaskan dengan kemampuan peranti bertahan sepanjang hari melalui bacaan SOT mencapai 8 jam untuk kegunaan harian biasa. Antara aktiviti terlibat meliputi melayari web, menatal media sosial, mengambil gambar dan bermain permua untuk beberapa sesi.

Kesemua aktiviti ini juga melibatkan kebergantungan capaian sambungan LTE dan WiFi. Selain turut digunakan dalam skrin 120Hz sepanjang masa. Pengecasan 80W SuperVOOC pula membolehkan proses pengecasan semula bateri boleh dilakukan dalam masa kurang satu jam.


Pesaing

OPPO Reno13OnePlus Nord 4Samsung Galaxy S24 FE
6.59″ LTPO AMOLED FHD+ 120Hz, HDR10+, ProXDR6.78″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+
Dimensity 8350 (4 nm)
1 x 3.35 GHz Cortex-A715
3 x 3.20 GHz Cortex-A715
4 x 2.20 GHz Cortex-A510
Snapdragon 7+ Gen 3 (4nm)
1 X 2.8 GHz Cortex X4
4 X 2.6 GHz Cortex A720
3 X 1.9 GHz Cortex A520
Exynos 2400e (4nm)
1 x 3.11 GHz Cortex-X4
2 x 2.9 GHz Cortex-A720
3 x 2.59 GHz Cortex-A720
4 x 1.95 GHz Cortex-A520
Mali G615-MC6Adreno 732Xclipse 940
12GB RAM LPDDR5X16GB LPDDR5X8GB LPDDR5X
256/512GB UFS 4.0512 UFS 4.0256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), OIS
8 MP, f/2.2, 15mm, (ultra lebar)
2MP, f/2.4. 26mm (kedalaman)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Lebar)
8MP f/2.4 (Periskop Telefoto)
Kamera Hadapan
50 MP, f/2.0
Kamera Hadapan
16 MP f/2.4
Kamera Hadapan
10MP f/2.4
IP68/69IP65IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5600mAh
Berwayar 80W
5500 mAh
Berwayar 100W
4700 mAh
Berwayar 25W
Nirwayar 15W
RM2299 (12/256GB)
RM2599 (12/512GB).
RM 2599 (16/512GB)RM3299 (8/256 GB)
RM3899 (8/512 GB)

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :

  • 1 x Oppo Reno13 5G.
  • 1 x Kepala Pengecas 80W SuperVOOC.
  • 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual Pengguna.
  • 1 x Pencungkil SIM.

Kesimpulan

Reno13 adalah sebuah peranti menarik dengan perbezaan yang kecil berbanding daripada model pro. Ia juga sesuai dijadikan pilihan untuk mereka yang mencari sebuah peranti boleh menghampiri siri Find X8. Hal ini memandangkan rangkaian peranti Reno merupakan cerminan untuk Find X dalam julat harga lebih berpatutan.

Terdapat juga ciri berasaskan AI dalam Find X8 yang boleh ditemui pada peranti ini seperti AI Clarity Enhancer, AI Unblur, AI Reflection Remover, Smart Scene, Live Alerts, Touch to Share dan lain-lain. Prestasi menyeluruh peranti juga memuaskan untuk pelbagai keperluan pengguna seperti Reno13 Pro. Lambakan aplikasi gendut dan iklan masih menjadi isu utama yang diharapkan pihak Oppo boleh menyediakan inisiatif lebih baik untuk masa akan datang.

PRO

  • Skrin terang, jelas dan nyata.
  • Prestasi memuaskan dalam kelasnya.
  • ColorOS 15 yang memanfaatkan AI.
  • Pembesar suara stereo.
  • Kalis air IP68/69

KONTRA

  • Tiada bicu audio.
  • Tiada sokongan kad mikroSD.
  • Lambakan aplikasi gendut dan iklan.
  • Sensor kedalaman 2MP sekadar gimik.
Komen