Arab Saudi Dilaporkan Akan Membina Bangunan Setinggi 2 Kilometer
Effi Saharudin
Bangunan tertinggi dunia pada waktu ini ialah Burj Khalifa di Dubai dengan ketinggian 828 meter. Tetapi Jeddah Economic Company Tower (JEC Tower) dengan ketinggian akhir 1007 meter akan memintasnya apabila siap pada tahun 2028 nanti. Tetapi hari ini muncul laporan sebuah bangunan setinggi 2 kilometer pula akan dibina di Riyadh yang akan membuatkan JEC Tower kelihatan bantut.

Menurut laporan MEED, pihak Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) telah mula menerima bidaan daripada syarikat pengurusan untuk membina menara 2 kilometer ini kawasan pinggiran Riyadh. Bangunan yang masih belum mempunyai nama ini direka oleh firma senibina terkemuka Foster & Partners. Ini selari dengan ura-ura menara lebih tinggi daripada 1 KM akan dibina di Riyadh yang mula didengari pada tahun 2022.
Sekiranya projek berjalan seperti dirancang, Riyadh akan menjadi bandaraya dengan bangunan tertinggi di dunia dan juga bangunan berbentuk kiub terbesar dunia menerusi projek Mukaab. Pembinaan Mukaab yang menerima nama jolokan “Kaabah Jahiliyah” sudahpun dimulakan tahun lalu dengan ia bakal mempunyai ketinggian 400 meter serta keluasan lantai 2 juta meter persegi.
Ia akan menjadikan Arab Saudi sebuah negara yang mengumpulkan bangunan paling tinggi, paling panjang di dunia menerusi The Line, dan paling dalam di duni menerusi Project Aquellum kesemuanya terletak di NEOM.