Carian
Kos Pembinaan Bangunan Terpanjang Dunia Dianggarkan Mencecah RM39 Trilion
March 13, 2025 Effi Saharudin

Fasa pertama pembinaan bangunan terpanjang dunia The Line yang terletak di Neom, Arab Saudi telah bermula tahun ini. Kini muncul laporan Wall Street Journal mengatakan pembinaan bangunan 170 kilometer ini mula mengalami masalah berikutan kos pembinaan yang kini dianggarkan mencecah $8.8 trilion (RM 38.97 trilion) dan hanya akan siap sepenuhnya pada tahun 2080.

Ini adalah jauh daripada anggaran asal $1 trilion dan siap sepenuhnya pada tahun 2045. Anggaran kos baharu ini adalah melampau memandangkan ia adalah 25 kali ganda belanjawan tahunan Arab Saudi. Dalam laporan audit yang dilihat oleh WSJ, terdapat bukti kos sebenar pembinaan dimanipulasi bagi membolehkan projek diluluskan oleh Putera Muhammed bin Salman (MBS).

The Line- Hidden Marina

Beberapa usaha untuk mengecilkan skala projek ini sendiri ditentang oleh MBS. Sebagai contoh terdapat sarana merendahkan ketinggian The Line tetapi MBS tegas ia perlu setinggi 500 meter yang adalah lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas (452 meterO) bagi memenuhi visi asal beliau.

The Line juga bukan satu-satunya projek mega di Neom yang mengalami masalah. Terdapat juga manipulasi kos pusat ski mewah Projek Trojena yang akan menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029 dan pusat peranginan Sindalah yang masih belum siap sepenuhnya walaupun dilancarkan Oktober tahun lalu.

Kesemua projek mega ini adalah usaha MBS untuk mengubah imej Arab Saudi daripada sebuah negara pengeluar minyak menjadi destinasi pelancongan utama dunia. Antara projek mega yang telah diluluskan ialah taman tema Dragonball, roller coaster terpanjang dunia, bangunan bawah tanah paling dalam dunia, pusat luncur air di tengah padang pasir dan kolam renang tergantung terpanjang dunia.

Komen