Carian
Apple Didenda €500 Juta dan Meta €200 Juta Oleh EU Kerana Melanggar DMA
April 23, 2025 Effi Saharudin

Apple dikenakan denda €500 juta (RM 2.5 bilion) dan Meta pula €200 juta (~RM 1 bilion) oleh Suruhanjaya Eropah (EC) kerana amalan anti persaingan yang melanggar Akta Pasaran Digital (DMA) Kesatuan Eropah. Dalam kes Apple, amalan menghalang pembangun aplikasi untuk mengarahkan pembayaran di luar ekosistem App Store didapati melanggar DMA. Sementara itu Meta pula melanggar DMA kerana memaksa pengguna melakukan langganan bulanan atau terpaksa melihat iklan untuk menggunakan platform milik mereka.

Apple dan Meta diberikan tempoh 60 hari untuk membayar denda yang dikenakan atau berhadapan dengan denda tambahan. Sebelum ini Apple dan Meta telahpun ditegur oleh EC untuk mematuhi DMA tetapi tiada perubahan dilakukan.

Tindakan Apple membenarkan stor pihak ketiga dan pilihan pembayaran luar ekosistem tahun dilihat tidak mematuhi DMA sepenuhnya kerana mereka masih meminta €0.50 untuk setiap pemasangan aplikasi untuk Core Technology Fee daripada pembangun. Akibatnya Spotify dan Epic Games mengatakan garis panduan Apple masih lagi mengelirukan.

Selepas ini giliran Google pula berhadapan dengan jumlah denda yang besar kerana Mac lalu EC mendapati mereka juga masih gagal mematuhi DMA dalam perniagaan pengiklanan dan pembayaran Play Store.

DMA yang berkuat kuasa pada tahun 2023, bukan sahaja meminta pemilik platform pasaran digital untuk membuka ekosistem pembayaran mereka tetapi juga menegaskan sokongan aksesori dan aplikasi pihak ketiga juga dibuka. Apple sudahpun diminta EC untuk membenarkan sistem NFC, tambatan aksesori seakan AirPods, AirPlay dan AirDrop dibuka kepada pihak ketiga dengan ia menerima tentangan Apple kerana dikatakan mendatangkan risiko kepada sekuriti pengguna

Komen