Indonesia Membeli 48 Pesawat Pejuang TAI KAAN – Masa Depan Kerjasama KF-21 Semakin Kabur
Effi Saharudin
Indonesia bersetuju membeli 48 pesawat pejuan TAI KAAN yang dibangunkan oleh Turkiye. Pengumuman pembelian dilakukan oleh Presiden Erdogan menerusi akaun X beliau semalam. Projek TAI KAAN bermula sebagai TAI TF-X sebagai pesawat pejuang generasi kelima buatan tempatan sepenuhnya selepas Turkiye dihalang daripada membeli Lockheed Martin F-35.

Pembelian TAI KAAN ini menjadi satu lagi petanda kerjasama Indonesia dan Korea Selatan membangunkan program pesawat pejuang KAI KF-21 Boromae semakin kabur. Walaupun lima pesawat prototaip KF-21 telah dihasilkan, prototaip ke lima yang sepatutnya diserahkan kepada Indonesia masih lagi di Korea Selatan. Bendera Indonesia tidak lagi diletakkan pada pesawat prototaip yang diuji sejak 2023.
Isu Indonesia gagal membayar sebahagian daripada 20% kos pembangunan KF-21 sudah berlarutan selama beberapa tahun. Ini tidak dibantu dengan skandal jurutera Indonesia ditahan selepas cuba menyeludup keluar rahsia KF-21 menggunakan pemacu USB tahun lalu.

TAI KAAN mempunyai kelebihan kerana ia adalah pesawat pejuang gen-5 berbanding KF-21 yang merupakan pesawat pejuang gen-4.5. KAAN mempunyai kemampuan beroperasi dengan dron. Awal tahun ini firma Baykar dari Turkiye bersetuju membina kilang pemasangan dron di Indonesia. Dron keluaran mereka terbukti berkesan dalam konflik Nagorno-Karabak dan Ukraine. Baykar sedang membangunkan dron pengiring yang boleh beroperasi dengan TAI KAAN.
Korea Selatan dan Turkiye kedua-duanya pernah menjemput Malaysia untuk menyertai program TAI KAAN dan KF-21 kerana negara memerlukan pesawat ganti di bawah program Pesawat Tempur Pelbagai Peranan (MRCA) 5G yang sudah beberapa kali ditangguhkan. Pesawat pilihan MRCA akan menggantikan MIG-29, FA-18 dan F-5 yang sudah terlalu usang.