Meta Membina Pusat Data AI Hyperion Dengan Kuasa 5GW Sebesar Manhattan
Effi Saharudin
Ratusan juta telah dibelanjakan Meta untuk memancing pekerja syarikat kecerdasan buatan (AI) lain untuk menyertai pasukan Meta Superintellgence Labs (MSL). Mark Zuckerberg sudah mengumpul pasukan “Avenger” yang terdiri daripada insan yang mencipta ChatGPT dan beberapa model GPT berkuasa d OpenAI. Kini Zuckerberg mengumumkan pula pembinaan pusat data Hyperion yang bukan sahaja berkuasa tinggi tetapi juga bersaiz Galactus.
Dalam muatan yang dinaikkan ke Facebook Zuckerberg berkata, Meta sedang membina pusat data Hyeprion yang apabila siap kelak mempunyai kuasa keseluruhan 5GW. Sebelum Hyperion, pusat data Prometheus akan beroperasi pada tahun 2026 dengan ia berkuasa 1GW.

Keperluan tenaga yang amat tinggi in menjadi sebab Meta dan syarikat teknologi utama Amerika Syarikat melakukan pelaburan ke dalam syarikat loji tenaga nuklear dan pembangunan reaktor nuklear modular kecil (MSR) sejak kebelakangan ini. Sementara di China reaktor garam lebur thorium, ladang solar terbesar dan tokamak dibangunkan untuk menjana tenaga tanpa had.
Ini hanyalah dua daripada beberapa pusat data klustersuper yang akan dibina oleh Meta dengan setiap satunya mempunyai keluasan hampir sebesar kepulauan Manhattan di New York. Hyperion akan dibina di Louisiana dengan kampus berhampiran mempunyai keluasan lantai 4 juta kaki persegi.
Zuckberg juga mengumumkan Meta akan membelanjakan ratusan bilion dolar bagi membina pusat-pusat data bagi keperluan MSL. Kesemua ini adalah bagi memastikan Meta akan menjadi syarikat pertama di dunia berjaya menghasilkan kecerdasan am buatan (AGI).