Cari @ Amanz

Sukan Olimpik Tokyo Akan Dibatalkan Sekiranya Ditunda Sekali Lagi

Link Copied!

Sukan Olimpik Tokyo sepatutnya berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos 2020 tetapi kerana wabak koronavirus telah ditangguh ke 2021. Sungguhpun begitu masih terdapat pendapat menganjurkan temasya sukan yang memerlukan ratusan ribu duduk berhampiran antara satu lain bukanlah idea yang bijak memandangkan anti-virus Covid-19 masih belum wujud.

Jadi apakah akan terjadi jika temasya sekali lagi perlu ditangguh ke 2022? Di dalam temubual bersama laman Nikkan Sports, Presiden Olimpik Tokyo 2020 Yoshiro Mori berkata temasya sukan ini akan dibatalkan terus dan tidak akan diubah ke tarikh yang baharu. Pembatalan acara sukan akan mendatangkan impak yang besar terhadap Jepun yang dilaporkan telah membelanjakan lebih $13 bilion (~RM57 bilion) dalam persediaan temasya setakat ini.

Antara persidaan yang telah dilakukan ialah kemampuan memancarkan acara pada resolusi 8K, mengitar semula logam untuk dijadikan pingat, penggunaan kenderaan elektrik swapandu dan robot yang membantu atlet di perkampungan sukan. Kesemua ini adalah bagi mempamerkan kemajuan teknologi Jepun sebagai negara tuan rumah.

Dalam sejarah Olimpik moden yang dianjurkan sejak 1896, acara pernah dibatalkan lima kali akibat perang dunia yang meletus. Tiga adalah acara musim panas (1916,1940, 1944) dan dua acara musim sejuk (1940,1944). Fakta menarik di sini ialah Sukan Olimpik musim Panas 1940 sepatutnya berlangsung di Tokyo dan Olimpik musim sejuk 1940 pula ialah di Sopporo yang kedua-duanya terletak di Jepun.


Komen ()