Ulasan Samsung Galaxy Note20 Ultra – Raja Tanpa Tengkolok

Ulasan Samsung Galaxy Note20 Ultra – Raja Tanpa Tengkolok

Diterbitkan pada Okt 19, 2020 oleh .

Sembilan tahun yang lalu Samsung Galaxy Note dilancarkan dengan skrin “gergasi” 5.3-inci. Kewujudannya menjadi bahan ketawa tetapi selepas 13 iterasi dilancarkan, ia sehingga kini kekal di persada peranti dengan stylus S Pen terbina di pasaran. Tanpa pesaing sebenar, Samsung bebas melakukan apa sahaja pada peranti mercu ini tanpa perlu risau jualan akan terganggu. Masakan ini berlaku sekiranya hanya mereka menawarkan peranti sepertinya di pasaran.

Tetapi sejak tahun lalu Samsung mewujudkan sendiri pesaing kepada siri Note dengan melancarkan dua model berbeza. Pada Note20 dan Note20 Ultra, mereka mengulangi strategi yang sama. Tetapi tidak seperti tahun lalu perbezaan di antara Note20 dan Note20 Ultra kini lebih ketara. Perbezaan paling ketara ialah teknologi skrin serta kamera yang jauh berbeza.

Maka adakah Note20 Ultra menjadi pilihan lalai kerana di atas kertas ia adalah peranti yang lebih berbaloi atau tahun ini akhirnya ia tergugat kerana wujudnya peranti yang lebih baik yang dijual pada harga yang lebih kompetitif?

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Samsung Galaxy Note20 Ultra
Skrin6.9″ Dynamic AMOLED 2X, WQHD+,
HDR10+, 120Hz boleh ubah.
PemprosesExynos 990 (7nm)
Cip2 X 2.73 GHz Mongoose M5
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 2 GHz Cortex A55
Cip GrafikMali-G77 MP11
RAM12 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.0 (MikroSD 1TB)
Kamera Utama108+12+12 Megapixel.
f/1.8+f/2.2+f/3.0, OIS, HDR, 8K 24p
Kamera Depan10 Megapixel f/2.2, 4K 60p
Bateri4500 mAh
(Pengecasan pantas 25W)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari terbina dalam skrin
Harga JualanRM5199

Dengan skrin sebesar 6.9″, ia adalah saiz yang sama seperti yang ditawarkan pada S20 Ultra 5G. Ini ialah kali pertama dalam sejarah Samsung menawarkan saiz skrin yang sama untuk kedua-dua model siri S dan siri Note mereka. Perbezaan hanya terletak pada rekaan skrin yang melengkung pada Note20 Ultra (ianya rata pada S20 Ultra) dan kadar segar semula 120Hz boleh ubah.

Dengan kadar segar semula boleh ubah, peranti akan memilih bilakah kadar segar semula 120Hz akan digunakan. Sebagai contoh ia aktif ketika menatal laman web dan antaramuka peranti. Ia kemudian diturunkan ke 60Hz apabila aplikasi YouTube dibuka. Malahan ia boleh turun ke 11Hz apabila menggunakan aplikasi membaca ebuku yang langsung tidak memerlukan kadar segar semula yang tinggi

Yang tidak diselesaikan berbanding tahun lalu ialah skrin dwi-lengkung pada bahagian sisi. Peranti terasa lebih licin dan pemandangan menonton video pada skrin penuh adalah sedikit terganggu. S20 Ultra membuktikan skrin rata adalah pilihan lebih bijak mulai sekarang. Jika anda inginkan skrin rata pada peranti Note tahun ini, anda tiada pilihan selain membeli Note20 sahaja.

Tapi kami tahu bagi orang kebanyakan kesemua yang kami tulis di atas boleh dirumuskan sebagai skrin yang terbaik di dalam kelasnya, paparan warna yang amat baik dan kini akhirnya menyokong kadar segar semula tinggi bagi menawarkan tatalan paling lancar yang boleh anda nikmati.

Skrin juga memaparkan warna yang baik dan terang. Perbezaan yang dapat kami lihat jika dibandingkan dengan panel skrin S20 Ultra hanyalah keterangan maksimum. Peranti mercu Samsung adalah nyata lebih terang tetapi pada waktu yang sama harus diingatkan ini bukanlah perbandingan yang adil kerana harga jualan S20 Ultra adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi. Pengalaman penggunaan skrin adalah memuaskan asalkan anda tidak berubah dari sebuah peranti berskrin 90Hz atau menyokong resolusi yang lebih tinggi.

Pemproses yang digunakan hanyalah Exynos 990 yang dikitar semula dari S20 Ultra 5G. Anda mendapat sokongan rangkaian 5G tetapi tiada penambahbaikan pada kuasa memproses. Dalam hal ini Note20 Ultra adalah mengecewakan kerana ia tidak menggunakan cip yang terbaik. Sekurang-kurangnya tahun lalu Note10+ dilengkapi Exynos 9825 yang lebih baik berbanding Exynos 9820 pada S10+. Tambah sakit hati apabila memikirkan pengguna di China dapat menikmati Note20 Ultra dengan Snapdragon 865+ yang paling berkuasa untuk peranti Android setakat ini.

Satu perkara yang tidak mengecewakan ialah penawaran memori sebesar 12GB RAM LPDDR5, storan sebesar 256GB UFS 3.0 dan sokongan kad mikroSD sehingga 1TB. Saiz storan Note20 Ultra adalah dua kali ganda lebih besar berbanding S20 Ultra. Namun begitu kami masih merasakan Samsung seharusnya menawarkan storan lebih besar kerana pada hemat kami 256GB kini adalah saiz yang agak kecil bagi sebuah peranti yang menyasarkan golongan profesional.

Jika storan Note20 Ultra adalah lebih baik berbanding S20 Ultra. Perkara sebaliknya berlaku pada spesifikasi kamera. Dengan tri kamera 108+12+12 megapixel, ia adalah lebih rendah berbanding 108+48+12+3D TOF. Kemampuan zum optikal adalah sehingga 5X (berbanding 4X pada S20 Ultra) dan zum digital pula sehingga 50X (berbanding 100X pada S20 Ultra). Lensa 3D TOF ditukar dengan sistem zum laser yang sepatutnya memberikan kemampuan zum yang lebih baik.

Walaupun spesifikasi kamera adalah lebih “rendah”, bonggol kamera Note20 Ultra adalah lebih tinggi berbanding S20 Ultra. Ia adalah bonggol kamera yang paling kami benci setakat ini. Mengapa rekaan ini masih dikekalkan sedangkan tidak ada seorang homosapiens yang kami kenali merasakan ia adalah rekaan yang dikehendaki.

Pujian masih ingin kami berikan pada Samsung kerana sekurang-kurangnya saiz lensa Note20 Ultra adalah lebih sekata. Tri-kamera nampak seimbang dan tidak lagi canggung. Samsung mengambil inspirasi dari iPhone 11 Pro untuk mendapatkan rekaan tri-kamera yang walaupun berbonggol besar tetapi sekurang-kurangnya masih sedap mata memandang.

Peranti juga terasa lebih seimbang di dalam tangan. Isu bahagian atas lebih berat S20 Ultra nampaknya berjaya diselesaikan. Kedua-dua peranti selesa di dalam genggaman kami walaupun saiznya adalah besar. Ini mungkin kerana kami sudah membiasakan diri sejak Februari menggunakan S20 Ultra, Black Shark 3 Pro dan ASUS ROG Phone 3 yang juga bersaiz lebih besar berbanding majoriti peranti di pasaran.

Oleh itu kami tidak boleh menjamin siri Note20 akan turut selesa digunakan oleh anda. Yang pasti mereka yang bertangan kecil pasti mempunyai isu untuk menggunakan kedua-dua peranti dengan sebelah tangan.

Bercakap tentang rekaan dua lagi perubahan besar pada rekaan perlu kami ketengahkan. Pertama sekali ialah butang kuasa dan laras suara kini diubah semula ke sisi kanan. Terima kasih Samsung kerana mendengar keluhan pengguna yang merungut butang sisi kiri Note10 yang amat canggung untuk digunakan.

Satu langkah kanan ke hadapan ini kemudian dibatalkan dengan langkah kiri kerana tempat simpanan S Pen diubah pula ke sisi kiri. Ini ialah kali pertama ia dilakukan sejak generasi pertama. Sepanjang sesi pandang pertama kami terpaksa mengingatkan diri S Pen kini terletak pada pada sisi kiri. Keputusan ini kami yakin hanya akan menggembirakan mereka yang bertangan kidal atau pengguna baharu Note.

Akhir sekali ialah kapasiti bateri yang hanya sedikit lebih besar digunakan tahun ini dengan sistem pengecasan lebih pantas. Kesemua ini dimasukkan ke dalam kerangka berketebalan 8.3mm yang kalis air IP68.

Antaramuka Dan Pengalaman Penggunaan

Perubahan terbesar Note20 Ultra sebenarnya lebih kelihatan pada perisian yang bukan sahaja menambah ciri baharu tetapi turut menambahbaik ciri yang sedia ada. Kami jarang sekali bercakap mengenai perisian kerana ia adalah satu aspek yang secara lazimnya sama pada kesemua peranti Android. Menerusi One UI 2.5 yang berasaskan Android 10 ciri tambahan yang diperkenalkan membuatkan Note20 Ultra mempunyai beberapa senjata rahsia untuk menumpaskan musuh.

Pertama sekali ialah sokongan melancarkan aplikasi Android di dalam komputer Windows 10 menerusi aplikasi Your Phone. Ini adalah satu lagi “ciri membunuh” yang sehingga kini tidak diumumkan akan diberikan kepada peranti pengeluar lain.

Kerjasama Samsung dan Microsoft mengintegrasikan sistem operasi telefon pintar nombor satu dunia dengan sistem operasi komputer dunia dengan lebih sempurna. Anda boleh melakukan panggilan telefon, menjawab mesej dan menyalin tampal rentas platform terus dari Your Phone. Kami merasakan ini berlaku sejak Bill Gates dilaporkan menggunakan telefon Samsung dan Microsoft melancarkan Surface Duo yang menggunakan Android tahun ini.

Bagi insan tidak mahu mengangkat telefon ketika bekerja di pejabat atau menggunakan telefon tanpa disedari majikan di pejabat, sokongan ciri-ciri Your Phone adalah amat diperlukan. Kami menyedari kadang gangguan di pejabat turun mendadak selepas menggunakan Your Phone pada Note20 Ultra.

Tetapi juara sebenar dan penambahbaikan yang paling penting sekali pada hemat kami ialah sokongan sistem operasi selama tiga tahun oleh Samsung. Komitmen sokongan yang lebih lama ini adalah penting kerana peranti dijual pada harga RM5199 sebuah. Tetapi sebenarnya kami berharap sokongan selama lima tahun boleh diberikan seperti yang dilakukan oleh Apple.

Bagaimana pula dengan pengalaman pengguna peranti? Kerana ia sebuah peranti mercu, tiada masalah yang boleh kami laporkan. Tatalan amat lancar terutamanya jika mod skrin 120Hz diaktifkan dan banyak aplikasi dapat dilancarkan serentak kerana RAM sebesar 12GB yang digunakan memastikan proses segar semula tidak akan berlaku.

S Pen

Tahun ini ia S-Pen ditambah baik lagi masa pendam lebih rendah 9ms berbanding 32ms tahun lalu. Ini meletakkannya setanding dengan Apple Pencil. Air Actions ditambah lagi dengan empat gestur “kayu ahli sihir” baharu iaitu melancarkan skrin multi tugas, melakukan tangkapan layar, kembali ke skrin pemula dan melakukan aksi back tanpa skrin disentuh.

Secara peribadi kami merasakan sokongan kayu ahli sihir ini adalah lebih kepada gimik yang jarang sekali digunakan. Ciri tahun lalu yang membenarkan kamera dikawal dengan S Pen adalah jauh labih berguna dan praktikal. Samsung mungkin tepanggil untuk menawarkan ciri baharu pada moden tahun ini walaupun sebenarnya tidak diperlukan.

Perbezaan melakar pada skrin dengan S Pen baharu dapat kami rasai sendiri dalam pelbagai aplikasi melukis yang digunakan. Kami bukanlah artis tetapi ciri S Pen yang paling kerap digunakan ialah menandatangi pelbagai dokumen digital. Proses ini terasa lebih semula jadi pada Note20 Ultra berbanding pada Note10.

Penanda Aras

Ya kami tahu anda cukup tidak gemar dengan pemproses Exynos Samsung yang sudah tiga tahun gagal memberikan cabaran yang bermakna kepada cip siri A dari Apple dan Snapdragon dari Qualcomm. Markah penanda aras yang dicatatkan mengesahkan kesemua berita yang anda dengar sejak awal tahun ini. Markah yang dicatatkan Note20 Ultra juga secara konsisten lebih rendah berbanding yang dapat kami catatkan pada S20 Ultra 5G. Ini adalah aneh kerana kedua-dua peranti mercu ini menggunakan Exynos 990 di Malaysia.

Apple A13 Bionic dan Snapdragon 865+ mencatatkan markah yang sekitar 20-30% lebih tinggi dalam situasi tertentu. Tetapi ingin kami katakan ulasan Note20 Ultra dilakukan serentak dengan ulasan ROG Phone 3 dan Galaxy Z Fold2. Kedua-dua peranti ini menggunakan Snapdragon 865+ dan kami rasakan tiada perbezaan yang amat ketara dari segi kepantasan serta kelancaran peranti.

Pengalaman pengguna Note20 Ultra dan Z Fold2 adalah sama. Kedua-duanya pantas (terutamanya jika skrin 120Hz diaktifkan) dengan Fold2 sedikit lebih pantas dalam memproses video yang disunting. Pelancaran aplikasi permua hampir tiada beza juga. Tahap pemanasan yang kami alami juga terasa sama di dalam tangan. Kami yakin tanpa menggunakan aplikasi AIDA64, anda mungkin tidak dapat meneka peranti manakah yang menggunakan Exynos 990 ataupun tidak.

Tetapi kami tahu ramai yang kecewa dengan keputusan Samsung tahun ini. Tablet Tab S7 dan Fold2 boleh ditawarkan dengan Snapdragon 865+ dan S20 FE pula dengan Snapdragon 865. Adalah sukar untuk memberikan justifikasi peranti berharga RM5199 tidak menggunakan pemproses terbaik 2020.

Kamera

Kemampuan kamera peranti Samsung pernah suatu ketika dahulu adalah yang terbaik di pasaran. Dengan kemunculan Huawei dan Apple tersedar dari lamunan mimpi, kedudukan Samsung mula goyah. Apabila spesifikasi Note20 Ultra diumumkan kami mempunyai beberapa keraguan kerana ia mirip S20 Ultra yang mempunyai beberapa masalah yang memerlukan beberapa kemas kini sebelum ia diselesaikan sepenuhnya.

Kerisauan terubat selepas peranti tiba di makmal Amanz. Dengan menggantikan sensor 3D TOF dengan pemancar laser, sistem pemfokusan kamera Note20 Ultra terasa lebih pantas. Kesukaran memfokus yang menghantui S20 Ultra tidak kami alami sepanjang tempoh ulasan.

Sistem zum periskop hanya sehingga 50X tetapi secara ikhlasnya kami tidak mempunyai sebarang rungutan kerana zum 100x pada beberapa peranti yang kami ulas tahun ini kesemuanya terasa seperti gimik. Imej yang terhasil dengan zum 100% majoritinya tidak memuaskan. Ada baiknya jika sokongan sehingga 50x sahaja diberikan kerana ianya jauh lebih praktikal.

Pujian juak kami berikan kepada perisian kamera yang ditambahbaik. Mod Profesional kini menawarkan kawalan audio yang lebih memuaskan. Terdapat pilihan memilih mikrofon mana yang akan menangkap audio termasuk mikrofon bluetooth untuk pertama kalinya. Kawalan kelajuan zum yang lebih lancar juga diberikan.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar adalah lebih baik berbanding S20 Ultra. Pemfokusan jauh lebih pantas dapat dinikmati kerana menggunakan sistem laser. Dalam situasi pencahayaan yang sempurna gambar yang tajam dengan warna yang hidup dapat diambil walaupun sedikit kekuningan. Pada waktu malam objek masih kelihatan tajam dengan hingar yang sedikit.

Isu kamera memanas, sukar memfokus dan gagal memfokus tidak berlaku dengan kerap. Isu ini hanya kami sedari apabila cuba mengambil gambar mikro dengan perisian enggan memfokus pada bahagian yang ingin diambil. Kamera hadapan pula sekadar menghasilkan imej yang sederhana kerana pasca-proses yang agak keterlaluan. Kulit menjadi licin dan warna kulit terlalu kekuningan.

Di bawah ialah sampel gambar pada tetapan sudut ultra lebar, zum 10X dan zum 50X. Prestasi zum pula adalah memuaskan sehingga sekitar 10X sahaja. Selepas tahap ini gambar mula kurang tajam dengan imej yang jelas menjalani proses pasca proses yang agresif.

Audio

Sistem audio stereo digunakan dengan satu menghala ke hadapan manakala satu lagi menghala ke sisi. Anda pasti sudah mengagak dengan konfigurasi ini prestasi audio adalah kurang seimbang dengan pembesar suara bawah lebih lantang.

Prestasi audio hanya menunjukkan penambahbaikan apabila sistem Dolby Atmos diaktifkan. Audio yang rata dan suram kedengaran lebih dinamik. Ia bukan sistem audio pada telefon pintar yang terbaik pernah kami dengari tetapi bukan terbaik juga. Sekadar berada di pertengahan seperti roh yang tidak diterima bumi.

Kualiti audio apabila menggunakan aksesori audio sahaja yang boleh kami kategorikan sebagai senonoh. Tetapi ini amat bergantung kepada aksesori yang dipakai juga. Fon telinga yang diberikan (dengan sambungan USB-C) adalah memuaskan begitu juga jika fon kepala dengan LDAC ditambat. Kesimpulannya di sini ialah sistem audio fizikalnya sederhana, sistem audio menggunakan aksesori adalah memuaskan. Jika Note20 Ultra ialah pasukan bola sepak ia adalah Arsenal.

Bateri

Ketahanan bateri adalah amat bergantung kepada bagaimana anda menggunakan Note20 Ultra. SOT 10 jam dengan hayat penggunaan sekitar 16 jam kami nikmati ketika di rumah dengan WiFi. SOT 5 jam dan hayat penggunaan sekitar 11 jam berlaku apabila kami bekerja di luar bergantung sepenuhnya kepada rangkaian selular. Ini ialah prestasi bateri yang sederhana sahaja mengikut piawaian 2020.

Peranti hanya menyokong pengecasan 25W tidak seperti S20 Ultra yang menyokong sehingga 45W. Waktu pengesan yang diambil ialah sekitar 80 minit yang adalah perlahan mengikut piawaian peranti mercu semasa.

Di pasaran sekarang terdapat beberapa peranti seperti Black Shark 3S dengan pengecas 65W yang mampu mengecas peranti sepenuhnya dalam masa 50 minit. Samsung dilaporkan akan menyokong pengecasan 65W tahun hadapan.

Pesaing

Samsung Galaxy Note20 Ultra 5GApple iPhone 12 Pro MaxSony Xperia 1 II
6.9″ Dynamic AMOLED 2X, QHD+, HDR10+, 120Hz (496 ppi)6.7″ OLED, 1284 x 2778, Dolby Vision, 60Hz (458 ppi)6.5″ OLED, 1644 x 3840, HDR10, 120Hz (643 ppi)
Exynos 990 (7nm)
2 X 2.73 GHz Mongoose M5
2 X 2.5 GHz Cortex A76
4 X 2.0 GHz Cortex A55
Apple 14 Bionic (5nm)
2 X ? GHz Firestorm
4 X ? GHz Icestorm
Snapdragon 865 (7nm)
1 X 2.84 GHz Kryo 585
3 X 2.42 GHz Kryo 585
1 X 1.80 GHz Kryo 585
Mali G-77 MP11Apple GPUAdreno 650
12 GB LPDDR56 GB8 GB LPDDR5
256 GB UFS 3.0
mikro SD 1TB
128/256/512 GB nVMe256 GB UFS 3.0
mikro SD 1TB
Kamera Utama 108+12+12 Megapixel (f/1.8+f/3.3+f/2.2),OISKamera Utama 12+12+12 Megapixel (f/1.6+f/2.2+f/2.4), OISKamera Utama 12+12+12+3D TOF Megapixel, (f/1.7+f/2.4+f/2.2)
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
12-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
8 Megapixel f/2.0
IP68IP68IP68
Tiada icu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby Atmos
4500 mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)3687 mAh (Berwayar 20W, Nirwayar 15W)4000 mAh (Berwayar 21W/ Nirwayar 11W)
Harga RM5199Harga bermula RM5299Harga RM5199

Kesimpulan

Samsung Galaxy Note20 Ultra 5G ialah telefon pintar dengan stylus terbaik di pasaran sekarang. Takhta dimenangi secara lalai kerana tiada peranti mercu lain yang menawarkan set ciri yang sama seperti Note20 Ultra di pasaran sekarang. Oleh sebab itu kami katakan ia raja tanpa tengkolok kerana langsung tidak mempunyai pesaing sekaligus membuatkan kemenangannya terasa sedikit kosong.

Tetapi kami juga merasakan ia adalah telefon pintar jenis candybar terbaik Samsung tahun ini walaupun ramai tidak menggemari Exynos 990. Seperti yang kami katakan dalam ulasan S20 FE, perbezaan di antara Exynos 990 dan Snapdragon 865 sebenarnya hampir sifar. Pengalaman penggunaan kedua-dua peranti adalah sama.

Note20 Ultra menjadi telefon pintar candybar terbaik kerana kombinasi rekaan yang premium, perkakasan yang cukup perkasa, perisian yang mempunyai pelbagai ciri tambahan, kemampuan kamera yang lebih baik berbanding S20 Ultra 5G dan ketahanan bateri yang memuaskan.

Kami akui pada harga RM5199 ia adalah di luar kemampuan kebanyakan pengguna namun kami sarankan Samsung Note20 Ultra untuk mereka yang mahukan sebuah peranti mercu yang menawarkan ciri yang boleh meningkatkan produktiviti.

Pro

  • Pemproses berkuasa dengan saiz RAM yang besar yang memastikan pelbagai aplikasi boleh dilancarkan dengan lancar dan pantas.
  • Samsung One UI 2.5 amat lancar dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik seperti YourPhone pada Windows 10.
  • Stylus S-Pen lebih pantas dan jitu.
  • Kemampuan kamera yang terbaik pada peranti Samsung tahun ini.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • Sokongan sistem operasi sehingga tiga tahun.

Kontra

  • Skrin melengkung masih digunakan.
  • Sokongan pengecasan hanya 25W. Lebih perlahan berbanding S20 Ultra dengan 45W.
  • Exynos 990 bukan cip paling berkuasa untuk sebuah peranti yang dijual pada harga lebih RM5000.
  • Lokasi tempat simpanan S-Pen diubah adalah kurang ergonomik bagi pengguna kinan.


TIPS & ULASAN