Cari @ Amanz

Tahun 2020 melihat Huawei Mate Xs dipasarkan di Malaysia pada harga RM11,111 yang meletakkannya sebarang peranti edisi biasa paling mahal pernah ditawarkan di pasaran tempatan. Mate Xs memintas rekod yang sebelum dipegang oleh Samsung Galaxy Fold tahun lalu apabila dijual pada harga RM8388.

Trend harga telefon pintar yang semakin meningkat ini tidak terhad kepada peranti mercu semata-mata tetapi turut dapat dilihat di segmen lain. Laporan dari Counterpoint Research minggu lalu mendapati harga jualan telefon pintar global meningkat 10% pada suku kedua 2020. Walaupun ekonomi global menyusut akibat penangan pandemik, harga peranti menongkah arus tanpa sebarang petanda akan kembali ke harga lalu.

Pada tahun 2021 trend peningkatan harga akan berterusan kerana beberapa faktor seperti keperluan menyertakan sokongan 5G. Umum diketahui cip 5G memerlukan sistem antena yang berbeza. Maka tidak mengejutkan peranti 5G generasi pertama adalah lebih mahal.

Faktor kedua ialah nilai Ringgit yang terjejas sejak awal tahun ini. Kombinasi situasi politik yang kurang stabil serta koronavirus menyebabkan nilai Ringgit kini agak rendah berbanding Dollar Amerika. Terdapat petanda pemulihan akan berlaku tetapi tidak dalam jangka masa pendek.

OnePlus, Honor dan Xiaomi yang sebelum ini terkenal dengan penawaran harga yang mesra dompet sudah mula berjinak-jinak dengan harga T20. Hanya Poco yang nampaknya berpegang kepada prinsip asal penubuhan syarikat setakat ini.

Bagi yang tertanya-tanya mengapa ini berlaku jawapannya mudah. Telefon pintar kini semakin canggih dengan pelbagai fungsi baharu ditambah saban tahun. Hanya lima tahun lalu skrin melangkaui 6″ dianggap hanya sesuai untuk peranti mercu tetapi sekarang tidak lagi. Peranti kelas permulaan kini sudahpun mempunyai sokongan kuad-kamera, pengimbas cap jari, bateri berkapasiti tinggi dan storan yang besar.

iPhone 12 Mini

Pengeluar pula pasti enggan mengurangkan ciri pada peranti apabila melihat reaksi negatif pengguna selepas bicu audio dan pengecas tidak lagi disertakan. Apple kelak akan menyertakan LiDAR, Samsung pula akan menyertakan lima kamera pada siri Galaxy A (yang merupakan siri mampu milik mereka) dan pengeluar dari China akan memperkenalkan kamera menyelinap bawah skrin.

Kesemua ini tidak akan membantu untuk mengurangkan kos peranti. Menuju 2021, norma baharu bagi pengguna ialah harga peranti yang akan semakin meningkat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd