Cari @ Amanz

#Seratus21 – Privasi, Privasi, Privasi Dan Privasi

Link Copied!

Kami yakin ramai di kalangan pembaca Amanz kini lebih cakna dengan perkhidmatan “percuma” yang mereka gunakan di atas talian. Hakikatnya tidak ada satupun benda dunia ini adalah percuma. Oksigen di udara misalnya perlu dibalas dengan menyatakan kesyukuran kepada tuhan setiap hari. Data anda yang diberikan kepada laman seperti Facebook telah dikumpul sebelum dijual untuk memudahkan iklan disasarkan dengan lebih tepat. Ia kemudian digunakan pula untuk memanipulasi sentimen ketika musim perayaan.

Pasca skandal Cambridge Analytica kami mengenali semakin ramai teman-teman yang bersara dari media sosial atau mengurangkan perkongsian kepada umum bagi mengelakkan data dikumpul. Kesannya ke atas imej Facebook adalah amat besar sehingga Mark Zuckerberg menyatakan hasrat untuk membina semula Facebook sebagai platform media sosial yang memfokuskan privasi. Pada tahun 2021 isu mengenai privasi dan data pengguna akan menjadi semakin hangat diperkatakan.

Apple dan Google, dua syarikat teknologi besar kedua-duanya mula memberikan pengguna kawalan yang lebih terperinci terhadap data atas talian, rekod carian dan akses yang diberikan kepada aplikasi yang dipasang pada peranti. Kesemua ciri anti intipan ini menakutkan syarikat media sosial sehingga Mark Zuckerberg sendiri dipetik berkata iOS 14 akan mendatangkan impak yang besar terhadap pengiklanan Facebook dalam masa terdekat.

Privasi iPhone

Apple sudah menggunakan privasi sebagai sebab mengapa anda perlu menggunakan peranti-peranti mereka. Pengenalan Sign in With Apple mendapat sambutan yang hangat dari pengguna yang tidak mahu aktiviti atas talian mereka menjadi data raya yang digunakan secara percuma.

Google pula menggandakan usaha dengan membenarkan pengguna memadam data yang telah dikumpul secara pukal serta selama manakah ia akan disimpan cuma kami berharap pilihan tidak dikumpul langsung akan diberikan. Pilihan untuk hanya membenarkan akses hanya sekali kepada aplikasi ialah antara ciri privasi yang menarik pada Android 11.

Pengguna, maksud kami ANDA kini semakin cakna mengenai nilai data peribadi yang selama ini diberikan percuma seperti bunga manggar di akhir majlis perkahwinan. Produk yang boleh meyakinkan privasi anda akan dijaga bakal menjadi trend pada tahun 2021. Percubaan mengelat akan dapat dikesan dan pembangun aplikasi tidak lagi boleh menggunakan alasan tidak sengaja atau ianya pepijat lagi. Menjelang 2021, privasi, privasi, privasi dan privasi akan menjadi isu yang besar.


Komen ()