Cari @ Amanz

Robot adalah sejenis mesin yang mampu melakukan apa jua perkara. Ia dibina bagi membantu manusia. Robot ada banyak jenis, dari yang mesin gergasi sehinggalah saiz mikro atau juga bersaiz dan mempunyai bentuk seakan manusia. Banyak filem juga memperlihatkan kehebatan sebuah robot. Ada yang baik, ada yang ngeri. Robot hanya jadi ngeri jika sistemnya mempunyai kesedaran sendiri dan ingin hapuskan manusia. Lihat sahaja filem Terminator.

Tetapi disebabkan Covid-19, penggunaan robot lebih berleluasa. Ini adalah kerana bagi mengelakkan masalah tersentuh, memastikan pembatasan sosial dan banyak lagi. Percaya atau tidak, manusia akan mula hilang pekerjaan dek kerana digantikan oleh robot. Ini adalah perkara yang tidak boleh dielakkan, kerana robot memang bertujuan membantu manusia bagi memudahkan lagi kerja harian dan lebih produktiviti.

Contoh adalah menyorak di stadium. Disebabkan Covid-19, orang ramai tidak dibenarkan berada di stadium. Bagi mengekalkan keceriaan ketika acar sukan sedang berlangsung, robot digunakan untuk sorak. Sambil peminat pasukan masing-masing tonton dan sorak dari rumah secara penstriman, stadium tidak akan rasa hambar. Perkara ini akan menjimatkan kos tiket peminat, yang mana itu adalah baik.

Ada kemungkinan besar, peluang pekerjaan di akuarium juga akan pupus. Ini kerana haiwan kelak akan digantikan dengan robot animatronik, yang mana adalah sangat realistik. Ini adalah bagi mengurangkan masalah kekejaman ke atas haiwan. Bukan itu sahaja, penggunaan pekerja manusia juga berkurang apabila “haiwan” hanyalah robot – hanya pakar teknologi atau robotik sahaja yang diperlukan.

Banyak pekerjaan akan digantikan oleh robot. Kedai serbaneka juga kelak tidak lagi memerlukan manusia. Contoh adalah FamilyMart, yang mana menggunakan robot sebagai pekerja. Tetapi ini sedikit berbeza, kerana ia masih memerlukan manusia. Pekerja boleh mengamalkan kerja dari rumah dan hanya menggunakan set kepala realiti maya untuk mengawal robot. Perkara ini bukan sahaja selamat, bebas dari Covid – malah turut membenarkan pekerja membuat pelbagai kerja sehari.

Pizza Hut Robot

Pernah atau tidak anda bayangkan hidup anda dipenuhi dengan robot? Di Jepun dan China ini mungkin sudah jadi perkara biasa. Di China, ada sebuah restoran yang pekerjanya sepenuhnya adalah robot. Manakala di Korea pula, mereka menguji robot sebagai barista. Bayangkan, anda ke Starbucks dan robot yang mengambil tempahan anda dan terus menghidangkan espreso untuk anda. Robot memang ada banyak jenis, sehinggakan untuk goreng telur pun ada robot khas.

Masa hadapan manusia adalah robot. Robot akan membantu kita memudahkan lagi urusan harian, kerja, meringankan bebas serta menjamin keselamatan. Ini adalah seperti mana, masa hadapan kelak kenderaan kita juga akan ada swa-pandu Tahap 5 yang mana sepenuhnya automatik. Kereta sedemikian masih lagi di peringkat awal dan boleh dikatakan fasa percubaan. Begitu jugalah robot, ia masih lagi di fasa awal untuk perubahan dunia.

Mana tidaknya, Robot Spot yang dicipta untuk kajian turut dijual jika pengguna inginkan “haiwan peliharaan” tersendiri.

Penggunaan robot mungkin akan menjadi satu isu kontroversi, kerana ramai takut akan kehilangan pekerjaan atau takut tragedi dalam filem Terminator berlaku di dunia nyata. Seperti yang dinyatakan tadi, fasa robot masih lagi awal dan berada di peringkat ujian. Kesemua robot yang sudah wujud juga, masih ada pemilik dan manusia yang ada akses kawalan. Sekarang adalah fasa di mana data dicatit untuk diperbaharui dalam robot generasi baru.

Penggunaan robot adalah bergantung kepada sang pencipta, yang mana mengikut visi dan misi mereka – apakah yang mereka inginkan. Jika seperti Jepun, iaitu memberikan lagi peluang pekerjaan adalah bagus. Ia bukan sahaja hal jimat kos, tetapi perlu ambil kira hal kesihatan dan keselamatan.

Kami rasakan tiada orang inginkan robot mengambil alih kehidupan manusia. Tetapi hanya inginkan yang terbaik, seperti lebih kepada membantu. Menjelang tahun 2030, 38% robot di Amerika Syarikat akan menggantikan manusia. Ini mungkin akan berlakunya pelbagai masalah, tetapi mana tahu lagi 10 tahun – robot yang akan wujud adalah berbeza. Mana tahu manusia masih akan kekal, hanya kendalikan robot dari jarak jauh.

Selain robot, kecerdasan buatan juga ada kemungkinan besar menggantikan manusia. Atau memudahkan. Ada banyak ujian telah dilakukan dan ada juga yang telah diimplementasikan. Seperti baca berita, sunting video atau juga tulis artikel.

Apakah pendapat anda? Adakah anda boleh terima jika robot menggantikan anda? Atau anda lebih rela bekerja bersyukur dengan kerja yang anda ada?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd