Idea kereta terbang sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Henry Ford, bapa penghasilan kereta pada skala industri pernah berkata pada tahun 1940 “kombinasi kereta dan kapal terbang bakal hadir. Anda mungkin tersenyum tetapi ia pasti ia akan tiba”. Sejak zaman permulaan kereta dihasilkan, terdapat puluhan usaha untuk merealisasikan kereta terbang.
Antara yang terawal ialah Aerocar oleh Milt Taylor pada tahun 1949 yang merupakan sebuah kereta kecil dengan sayap tambahan yang boleh dipasang untuk mod penerbangan. Kesemua usaha awal ini gagal mendapat sambutan kerana faktor harga, keselamatan dan teknologi yang masih belum cukup matang.

Menuju 2021, idea gila Henry Ford dan puluhan novel serta filem fiksyen sains semakin hampir menjadi realiti. Di China Ehang telahpun memulakan operasi kereta terbang yang digunakan untuk tujuan pelancongan dan memadam kebakaran. Sementara itu di Jerman pula, Volocopter bergerak agresif untuk memasarkan Volocity sebagai teksi terbang di kawasan bandar dengan kejayaan ujian di Dubai dan Singapura.
Idea yang selama ini dianggap kurang realistik mendapat perhatian bukan sahaja dari syarikat pemula tetapi juga dari nama besar industri aeronautik seperti Boeing yang melabur ke dalam Kitty Hawk dan Airbus dengan projek Vahana mereka sendiri.
Apakah yang berlaku sejak sedekad lalu yang menyebabkan ledakan pembangunan kereta terbang di peringkat global? Jawapannya ialah dunia yang semakin sesak dengan kereta dan teknologi yang sudah cukup matang. Malahan mania untuk membangunkan kereta terbang juga telah tiba di Malaysia tahun lalu walaupun ia kini berakhir dengan hilai ketawa sahaja.

Di Malaysia dron Ehang 184 telah dijenamakan semula menjadi Super Dron dan diumumkan sebagai “kereta terbang pertama buatan Malaysia”. Pasca pelancarannya November lalu (selepa pelancaran asal dibatalkan kerana tidak mendapat lesen dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) tiada berita baru mengenainya dari Eastcap Berhad diumumkan. Kemas kini laman web dan Facebook syarikat terhenti selepas pelancaran Super Dron November lalu. Tiada maklumat mengenai kilang yang akan dibina di Kuala Linggi dan pesanan 1000 dron pertama.
Kami tiada masalah dengan projek membangunkan kereta terbang tetapi cuma mempersoalkan mengapa di Malaysia kita cukup gemar menjenamakan semula produk sedia ada dan kemudian mendakwa ia buatan tempatan. Ini berlaku pada tahun 1985 dengan Proton menukar lencana kereta Mitsubishi dan kemudian Perodua pula melakukannya dengan kereta Daihatsu.

Tambah mengecewakan perancangan jangka panjang penggunaan kereta terbang juga masih belum diumumkan. Apakah lesen yang diperlukan? Adalah pemilikan kereta terbang peribadi dibenarkan? Di mana laluan lebuh raya udara akan dibenarkan? Ini semua adalah persoalan yang perlu dijawab kerana kerajaan Singapura telahpun mengumumkan pelan mereka untuk memperkenalkan penggunaan dron penghantaran barang dan kenderaan awam swapandu menjelang 2040
Dari pengamatan kami yang duduk di luar memandang ke dalam, projek kereta terbang nasional setakat ini seperti melepaskan tinja di tangga. Selepas mendepositkan tinja di lantai, tiada siapa ingin membersihkannya. Ia kemudian terus meninggalkan bau dan dibiarkan kering. Pemandangan akan tercemar setiap kali anda menggunakan tangga.

Tiada kesungguhan dapat dilihat oleh kementerian dan agensi kerajaan untuk menggembleng tenaga merealisasikan pelan kenderaan terbang negara. Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP) yang diumumkan Februari lalu kini tidak diketahui masa depannya selepas berlakunya pertukaran kerajaan. Di dalam NAP yang diumumkan ini, sistem pengangkutan terbang hanya muncul dalam tujuh baris perkataan yang tidak memberikan penerangan yang jelas.
Mungkin ada di kalangan pembaca yang merasakan Malaysia tidak perlukan industri kenderaan terbangnya yang tersendiri. Lebih baik menumpukan kepada penambahbaikan sistem jalan raya dan pengangkutan awam terlebih dahulu. Tidak boleh menafikan bahawa pendapat ini ada banyak kebenarannya lebih-lebih lagi selepas melihat bagaimana industri automotif negara mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sejak diperkenalkan (pengangkutan awam dianaktirikan dan harga kenderaan melonjak).
Tetapi sampai bilakah kita ingin sekadar meminjam teknologi dan terus menukar lencana kenderaan? Sampai bilakah perlu memandang ke belakang dan sekarang tanpa memandang kedepan? Menjelang 2021, diharap pelan yang lebih terperinci dapat diumumkan sebelum kita terus kebelakang bukan sahaja di peringkat dunia tetapi juga di rantau Asia Tenggara.