Cari @ Amanz

Hanya berbaki kira-kira beberapa bulan sahaja lagi sebelum tahun 2020 berakhir. Seiring dengan perkembangan teknologi yang bergerak pantas, kita dapat lihat semakin banyak inovasi dan kreativiti di luar kotak pemikiran mula terhasil. Bagaimana pula dengan tahun 2021 kelak? Adakah tahun tersebut kelak bakal disajikan dengan lebih banyak inovasi yang memberi keterujaan buat semua? Jika sebelum ini, segmen artikel #seratus21 penulis berkaitan kamera swafoto di bawah skrin, kemudian diikuti pula dengan transaksi nirtunai dan bateri berasaskan grafena.

Kali ini, penulis ingin menulis topik mengenai peranti dengan warna tubuh boleh diubah pula. Ia mungkin bakal menjadi pemangkin kepada wujudnya perubahan menyeluruh kreativiti di luar kotak pemikiran untuk sesebuah produk kelak. Mengapa penulis berkata sedemikian, sebabnya ia sebenarnya adalah sesuatu yang menarik untuk direalisasikan. Seperti kita sedia melihat, peranti pintar kini dihiasi dengan pelbagai jenis trend kemasan pada panel belakang. Kita ada kemasan berasaskan metalik, pusam, warna cerun dan juga disalut dengan emas 24K. Bahkan boleh dikatakan, kesemua trend ini telah diguna pakai oleh hampir semua pengeluar yang ada. Tetapi, dengan persembahan berbeza bertujuan meletakkan sesebuah peranti itu dalam kelas tersendiri.

Justeru itu, bagi mencipta kelainan pada masa mendatang, trend ini mungkin akan berubah kepada panel belakang peranti dengan warna tubuh boleh diubah pula. Tapi, apa agaknya yang boleh kita harap melaluinya? Menarik, cukup menarik sekali! Di mana, ia akan memberikan mutu pengalaman pengguna ke tahap yang lebih baik. Trend ini mula mendapat perhatian ramai selepas tularnya sebuah video pendek memperlihatkan peranti prototaip daripada Vivo dengan warna tubuh yang boleh diubah.

Apa yang penulis faham, Vivo mengambil pendekatan menggunakan teknologi kaca elektrokromisme bagi menghasilkan inovasi tersebut. Ia merupakan bahan khas yang membolehkan kaca berubah warna apabila arus dialirkan menerusinya. Turut difahamkan, perubahan warna ini berlaku dengan sendiri tanpa perlu sebarang pergerakan pada peranti. Selain, kelajuan perubahan warna ini juga boleh dikawal sendiri oleh pengguna.

Mungkin akan ada di antara pembaca yang berpendapat, disebabkan ianya memerlukan aliran arus. Maka, ia pastinya akan memberi kesan kepada ketahanan bateri peranti tersebut. Tetapi, perkara itu mungkin tidak akan berlaku. Sebabnya, Vivo mendakwa teknologi ini hanya memerlukan kuasa arus yang rendah. Jadinya, ia tidak akan memberi impak besar kepada hayat bateri dan juga masalah peranti menjadi panas yang melampau. Bagaimanapun, ia masih sekadar prototaip sehingga ke hari ini dan tidak diketahui lagi bilakah Vivo bakal memperkenalkannya kepada umum.

Tetapi, kita boleh menyasarkan mereka mungkin membawakan inovasi ini pada peranti siri X mereka yang seterusnya iaitu Vivo X60. Kami katakan mungkin kerana Vivo adalah pelopor kepada teknologi kamera pop naik dan pengimbas cap jari bawah skrin menerusi Vivo NEX sebelum ini. Oleh itu kebarangkalian teknologi tubuh berubah warna diperkenalkan dalam masa terdekat adalah tinggi apabila melihat apa yang dilakukan oleh Vivo sebelum ini.

Berbalik kepada kaca elektrokromisme, pada dasarnya ia bukanlah satu perkara yang baru. Sebaliknya, sebelum ini ia sering digunakan untuk kaca bilik mesyuarat dan tandas awam di Jepun. Apa yang menjadikannya kelihatan sebuah perkara baru adalah apabila penggunaannya mula dikembangkan ke dalam segmen peranti pintar pula. Sebelum penulis terlupa, OnePlus sebelum ini turut pernah menggunakan kaca ini pada peranti OnePlus Concept One yang diperlihatkan kepada umum sekitar awal tahun lalu.

Tetapi, konsep yang digunakan oleh OnePlus adalah berbeza dengan Vivo. Di mana, Vivo dilihat memberi fokus kepada kemasan panel belakang secara menyeluruh. Sebaliknya, OnePlus menggunakan kaca ini bagi menyembunyikan kamera pada bahagian belakang sahaja. Melaluinya, perubahan daripada kaca legap ke kaca lutsinar akan berlaku apabila aplikasi kamera dibuka.

Berdasarkan semua ini, tidak keterlaluan jika dikatakan peranti dengan warna tubuh boleh diubah bakal menjadi trend seterusnya pada masa mendatang. Ia bukan sahaja kelihatan menarik, sebaliknya ia memberi pengeluar peluang untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif. Tetapi, bagaimana pula dengan pendapat anda? Jangan lupa untuk kongsikan di ruangan komen di bawah dan teruskan membaca artikel menarik #Seratus21 kami yang lain dengan klik pada pautan ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd