Cari @ Amanz

Dapat diperhatikan negara kita kini menuju kearah untuk menjadi masyarakat nirtunai (cashless society). Rasanya memang tidak mengejutkan jika pendekatan ini bakal digunakan sepenuhnya pada masa akan datang. Malah kalau anda semua masih ingat, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Khairy Jamaluddin juga sebelum ini pernah menyasarkan Malaysia bakal menjadi masyarakat nirtunai sepenuhnya menjelang tahun 2025.

ePenjana

Mungkin dalam tempoh tersebut juga, kita tidak lagi melihat orang sekeliling membuat pembayaran menggunakan wang tunai lagi. Lihat sahaja dalam situasi wabak pandemik COVID-19 ini, bagaimana usaha pelbagai pihak dalam menggalakkan pembayaran nirtunai dalam kalangan masyarakat untuk pengalaman pembelian lebih cepat, mudah serta selamat. Ditambah pula dengan penawaran program e-penjana oleh kerajaan yang memberikan kredit sebanyak RM50 untuk rakyat Malaysia sebelum ini. Maka, tidak mustahil ia berpotensi mewujudkan hal itu menjadi kenyataan.

ePenjana Dompet Digital

Dalam usaha ke arah itu, pelbagai idea dan pendekatan kreatif yang telah diambil oleh pelbagai pihak. Antaranya seperti pengenalan perkhidmatan dompet digital atau juga lebih dikenali sebagai e-dompet yang sudah wujud dan diguna pakai sejak sekian lama. Sebagai contohnya seperti Touch ‘N Go e-Wallet, WeChat Pay, Grab Pay, Razer Pay, Ali Pay dan banyak lagi. Bezanya ialah setiap satu daripadanya hadir dengan penawaran menarik yang tersendiri.

Melaluinya, pelbagai transaksi boleh dibuat termasuklah untuk beli-belah atas talian, pembayaran bil, pembayaran di kedai dan juga pemindahan wang antara pengguna. Di samping itu, terdapat sejumlah aplikasi khusus lain yang memudahkan pembayaran perkhidmatan kerajaan negeri yang turut diperkenalkan seperti Sabah Pay, Sarawak Pay, Pahang Go dan lain-lain.

Malahan, kita juga dapat lihat kini sejumlah perkhidmatan seperti pengangkutan awam, pembayaran parkir dan zakat, sumbangan atau derma dan sebagainya turut telah ditawarkan dengan kaedah pembayaran secara tanpa sentuh. Pengguna dikatakan boleh membuat pembayaran melalui alternatif berbeza termasuk menggunakan aplikasi mudah alih (atau juga imbas melalui Kod QR), perkhidmatan perbankan dalam talian dan sebagainya.

Antara contoh terkini adalah pelaksanaan pembayaran parkir menggunakan aplikasi sepenuhnya yang telah dikuatkuasakan bermula 1 Oktober lalu. Pelaksanaan ini sekaligus menamatkan kaedah pembayaran secara mesin, selain turut memperkasakan lagi pendekatan pembayaran tanpa tunai.

Seterusnya, kita turut dapat lihat kewujudan kiosk bayaran layan diri di Malaysia kini semakin bertambah. Antara kiosk layan diri terkini yang boleh dijadikan sebagai contoh terdekat adalah kiosk layan diri di MyNews.com yang terletak berhampiran pejabat penulis.

Kiosk layan diri ini juga telah diperkenalkan di beberapa cawangan sekitar Lembah Klang dan proses imbasan untuk bayaran boleh dibuat menggunakan sistem payWave, paypass, MyDebit atau dompet digital. Menggunakan konsep yang sama, sebenarnya masih terdapat lagi sejumlah pilihan kioks layan diri lain yang tersedia di negara kita seperti yang terdapat di Tesco, KFC dan juga McDonalds.

Tesco Nirtunai

Sebenarnya, masih banyak lagi contoh usaha lain yang dibuat. Tetapi, apa yang dinyatakan oleh penulis dalam penulisan di atas adalah antara inisiatif yang dirasakan mampu memberi kesan secara langsung kepada perubahan ke arah era transaksi nirtunai lebih menyeluruh. Situasi ini juga secara tidak langsung lebih memudahkan pengguna tanpa perlu bersusah payah membawa dompet atau mencari mesin ATM semata-mata untuk mengeluarkan wang tunai. Dengan virus Covid-19 ditemukan mampu hidup pada permukaan wang kertas sehingga 20 hari, penggunaan nirtunai perlu menjadi norma baharu menjelang 2021 dan seterusnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd