Cari @ Amanz

Semua orang tahu tak ada benda di dunia ini yang percuma. Oksigen yang dihirup ke dalam alveolus paru-paru juga perlu dibayar dengan berterima kasih kepada tuhan. Vaksin percuma di hospital pula dibayar dengan cukai. Tetapi di Internet, terdapat banyak pula perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma. Ok ini bukanlah kenyataan yang tepat kerana sebenarnya anda membayarnya dengan perkongsian data peribadi kepada pembangun yang kemudiannya digunakan untuk menyasarkan iklan secara terus.

Pada tahun 2021, perkhidmatan percuma akan semakin lama semakin terhapus. Bermula Jun 2021, Google Photos yang selama ini menawarkan storan awanan gambar secara percuma (pada kualiti tinggi) akan mula mengira storan setiap Bit gambar yang dimuat naik. Selepas storan percuma 15GB (yang amatlah kecil) habis digunakan, bersedialah untuk membayar storan tambahan secara bulanan.

Tidak terhenti di situ, storan Google Docs juga akan mula dikira. Anda tidak mempunyai pilihan lain kecuali membeli langganan Google One atau alternatif yang ditawarkan syarikat ketiga. Google kini semakin agresif untuk mengenakan bayaran kepada setiap perkhidmatan yang dahulunya percuma.

Pengiklanan di YouTube sebagai contoh semakin meningkat dan membuatkan pengalaman menstrim sama seperti menonton TV yang dipenuhi iklan. Malahan mereka mengubah terma dan syarat baru-baru ini untuk meletakkan iklan pada kesemua video yang ditawarkan pada platform mereka.

Saya antara insan yang sudah tidak tahan lagi dengan serangan iklan yang bertali arus dan telah melanggan ke YouTube Premium. Hanya setahun lalu jumlah iklan di YouTube adalah amat sikit dan kini terasa seperti berlaku peningkatan tiga kali ganda.

Kenapa?

Jadi persoalannya kenapa tiba-tiba perkhidmatan percuma mula mengenakan caj langganan bulanan? Jawatan mudah ialah keperluan untuk mengaut keuntungan. Tetapi ini adalah jawapan yang malas. Jawapan yang lebih tepat ialah pengguna sekarang lebih cakna mengenai bagaimana data peribadi mereka digunakan.

Skandal Cambridge Analytica membuka mata orang ramai mengenai bagaimana data peribadi boleh dijual oleh syarikat yang menawarkan perkhidmatan percuma untuk mengaut keuntungan. Data ini kemudiannya boleh dijadikan senjata di tangan pihak yang ingin memanipulasi sentimen perkauman, keagamaan dan fahaman politik.

Apple Privasi

Bukan kebetulan secara tiba-tiba iOS dan Android memperkenalkan pelbagai kawalan privasi kepada pengguna. Dalam kes iOS 14, Apple akan memberikan kemas kini yang menghalang terus sebarang penjejakan oleh pihak pengiklan pada sistem operasi ini. Impaknya adalah amat besar sehingga diramalkan mengurangkan keuntungan pengiklanan di Facebook sehingga 50%!

Mark Zuckerberg dua tahun lalu juga bertekad untuk membentuk semula Facebook sebagai syarikat yang mementingkan privasi sehingga kedengaran ura-ura bayaran mungkin akan dikenakan bagi pengguna yang tidak ingin data mereka dikumpul.

Dalam kes Google pula, mereka mula memberikan cara untuk pengguna mengawal data peribadi mereka selari dengan keperluan GDPR oleh Kesatuan Eropah. Tahun lalu misalnya ciri memadam data secara automatik diperkenalkan. Mereka juga telah disaman oleh Kesatuan Eropah kerana mengamalkan perniagaan monopoli yang didakwa tidak adil kepada syarikat lain.

Akibat

Dengan kata lain sumber pendapatan syarikat-syarikat ini mula terjejas. Model perniagaan yang diamalkan dengan jayanya sejak berdekad lamanya kini mula terancam. Maka yuran pembayaran ialah mode perniagaan yang dilihat paling sesuai kerana menggembirakan pihak penguasa dan pengguna yang inginkan privasi dihormati.

Pengguna juga sekarang sudah semakin terbuka kepada perkhidmatan berbayar. Di iOS misalnya pembelian Apple iCloud sudah menjadi kebiasaan dan Apple One yang ditawarkan baru-baru ini dilihat sebagai berkas yang amat berbaloi. Google One juga menawarkan pakej yang menarik sebagai persediaan kepada pengguna Photos yang inginkan storan awanan lebih besar.

Era perkhidmatan percuma akan berakhir dalam masa terdekat. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh anda untuk menghalang ini dari berlaku. Kombinasi sumber pendapatan menerusi data pengguna yang semakin terhad, pengguna yang semakin sedar akan hak mereka dan pengguna sendiri sudah terbuka kepada perkhidmatan berbayar menyebabkan semua ini berlaku.

Photos bukan perkhidmatan pertama yang mengubah model perniagaan mereka dan pastinya bukan yang terakhir. Terletak kepada anda untuk terus menggunakan perkhidmatan secara berbayar atau mencari alternatif lain.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd