Oppo Reno5 adalah siri Reno terbaru dari Oppo bagi menggantikan Oppo Reno4. Sebelum ini telah tertiris dua peranti dalam siri ini, iaitu Reno5 dan Reno5 Pro. Buat masa ini tidak banyak maklumat spesifikasi yang disenaraikan. Apa yang diketahui adalah pilihan memori yang mencapai 12/256 GB, kamera 64-Megapixel, pengecasan pantas 65W dan sokongan 5G.
Terkini, sebuah lagi peranti dalam siri ini telah tertiris. Kali ini, ia dikatakan adalah Oppo Reno5 Pro+ pula. Perkara paling menarik mengenai peranti ini adalah, ia dikatakan mempunyai panel belakang elektrokromisme yang boleh mengubah warna panel belakang peranti. Teknologi elektrokromisme telah diperlihatkan oleh Vivo, OnePlus dan merupakan teknologi baharu yang akan menjadi ikutan tahun 2021.
Modul kamera dilihat mirip dengan dengan Reno5 Pro, tetapi lensa keempat berbentuk segi empat dan bukannya bulat. Ini mungkin adalah untuk lensa periskop. Lensa utama dikatakan adalah 50MP dari sensor Sony IMX7xx yang terbaru dan peranti ini adalah antara yang terawal menyertakannya. Lensa seterusnya adalah 16MP yang mana adalah sudut ultra lebar dan lensa terakhir masih menjadi misteri.
Peranti ini juga akan dijana dengan cip pemproses Snapdragon 865m dan bukannya Snapdragon 888 atau Snapdragon 870 yang dikhabarkan sebelum ini. Teknologi elektrokromisme pada Oppo Reno5 Pro+ ini mungkin lebih kepada perubahan warna panel belakang dan mungkin bukan menyorokkan lensa kamera seperti OnePlus Concept One.